Thursday, February 3, 2011

Inflasi masalah global, bukan setakat di Malaysia

Utusan Malaysia - Khamis 27.01.2011

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia malah merupakan masalah global yang sering melanda terutamanya negara yang mengalami pertumbuhan pesat.

Pakar ekonomi yang juga Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Alpha, Dr. Hamzaid Yahya berkata, inflasi akan berlaku di negara yang mengalami pertumbuhan enam peratus ke atas seperti di China, India, Singapura dan Jepun.

"Buat masa ini, inflasi tidak akan dirasai dengan jelas. Jika pertumbuhan ekonomi negara berkembang enam peratus, kita akan merasai kesan inflasi mulai tahun depan.

"Kenaikan harga barang keperluan juga menunjukkan berlakunya inflasi. Kenaikan tersebut disebabkan negara pengeluar tidak dapat memenuhi permintaan akibat bencana alam dan faktor-faktor lain. Contohnya seperti harga bawang yang meningkat berkali ganda," katanya ketika diminta mengulas mengenai inflasi di Malaysia dan negara lain di sini hari ini.

Tambah beliau, inflasi juga berlaku apabila kenaikan permintaan melebihi pengeluaran kesan daripada kenaikan pendapatan yang tinggi.

Katanya, kenaikan harga minyak secara perlahan-lahan dan akan terus naik menyebabkan peningkatan harga import yang sebahagiannya digunakan semula dalam sektor pengeluaran negara.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kenaikan harga barang keperluan akan menyebabkan kuasa beli berkurangan.

"Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal.

"Inflasi berlaku disebabkan kenaikan harga makanan, komoditi dan bahan bakar yang bergantung kepada pengeluaran dalam dan luar negara," ujarnya.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin pula berkata, inflasi boleh berlaku di seluruh negara akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran.

"Inflasi dapat dilihat sedang berlaku di Amerika Latin dengan kadar tujuh peratus, Filipina tujuh ke lapan peratus dan Eropah empat ke lima peratus.

"Inflasi tidak boleh dihentikan sepenuhnya. Cuma kita boleh menyesuaikan diri dan belajar meningkatkan lagi produktiviti agar dapat memenuhi penawaran atau pengeluaran," jelasnya.

1 comment:

Anonymous said...

tahniah Dr



wsv_7087