Wednesday, December 29, 2010

Penubuhan UPB satu keperluan

Utusan Malaysia: Khamis, 30.12.2010

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Penganalisis ekonomi menyokong penubuhan Unit Perancangan Pelaksanaan dan Pemantauan Prestasi Ekonomi Bumiputera (UPB) yang dicadangkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana terdapat keperluan mendesak terhadap kewujudannya.

Penubuhan tersebut dilihat perlu bagi memastikan pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera tercapai.

Ketua Penyelidik, Akademi Kajian Syariah Mengenai Kewangan Islam (ISRA), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kewujudan unit tersebut perlu dilihat secara komprehensif dan holistik demi pembangunan ekonomi bumiputera.

“Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditubuhkan pada 1971 hingga 1990, sasaran penguasaan 30 peratus ekuiti bumiputera masih tidak dicapai.

“Ia perlu direalisasikan agar bumiputera dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lain dan memastikan pembangunan ekonomi negara yang seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas gesaan Perkasa supaya kerajaan menubuhkan UPB yang setaraf dengan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

Tambah Asyraf, UPB dapat memantau pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhan dan memastikan tidak timbul sebarang ketirisan dalam agenda pembangunan itu.

Sementara itu pensyarah pengurusan strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, unit tersebut sepatutnya ditubuhkan lebih awal lagi.

“Ia boleh memantau dan menilai secara holistik segala agenda pembangunan bumiputera agar mencapai sasarannya. UPB akan menjadi lidah dan telinga kepada bumiputera.

“Gesaan tersebut perlu diperhalusi dan dilaksanakan agar satu bentuk pemantauan yang komprehensif dapat dibuat. Penubuhan unit ini juga dapat menghalang bumiputera daripada tercicir dalam arus transformasi negara,” ujarnya.

Tambahnya, penubuhan tersebut adalah amat baik kerana sebelum ini tiada badan yang memantau pembangunan ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

Penjualan QSR, KFCH dibantah

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Penganalisis ekonomi tidak bersetuju dengan langkah Johor Corporation (JCorp) mahu menjual QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pelaburan bumiputera.

Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, QSR serta KFCH merupakan satu cabang pelaburan bumiputera dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, ia perlu terus diterajui golongan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera.

Tambah beliau, memang tidak dinafikan JCorp akan mendapat keuntungan daripada penjualan tersebut tetapi ia hanya untuk tempoh yang singkat.

"Buat apa mereka mahu menjual kedua-duanya sedangkan keuntungan dijana QSR serta KFCH adalah jauh lebih baik selain dapat mengukuhkan kedudukan syarikat bagi tempoh jangka panjang.

"Lagipun, kedua-duanya merupakan wakil bumiputera dalam bidang perniagaan. Ia juga merupakan pelaburan terbaik bumiputera dalam bidang korporat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas mengenai kemelut yang dihadapi JCorp dan usaha syarikat itu untuk menjual QSR serta KFCH.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin pula berkata, JCorp tidak perlu menjual kedua-duanya tetapi perlu menambahkan sedikit inovasi kepada penghasilan produk oleh QSR dan KFCH.

Katanya, tiada sebab untuk menjual kedua-duanya melainkan ia memberi beban kepada JCorp.

"Bumiputera akan rugi besar sekiranya JCorp berkeras mahu menjual QSR serta KFCH kerana jelas sekali ia membantu menjana keuntungan syarikat sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi bumiputera," jelasnya.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh pula berkata, kemelut tersebut perlu diselesaikan segera kerana khuatir ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu untuk kepentingan peribadi.

Justeru, beliau berharap JCorp dapat mempertimbangkan semula rancangan untuk menjual QSR dan KFCH kerana ia akan memberi banyak kesan negatif kepada bumiputera.