Tuesday, February 16, 2010

Jangan pandang ringan penipuan pelaburan

Utusan Malaysia: Rabu: 17.02.2010


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Jangkaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengenai peningkatan penipuan menerusi pelaburan tidak harus dipandang ringan kerana ia mungkin membawa kerugian besar kepada individu yang kurang berpengetahuan dan berilmu dalam bidang itu.

Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah awal perlu diambil bagi memastikan penipuan seperti itu tidak berleluasa.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pendidikan merupakan jalan terbaik bagi mengatasi kelicikan penipu yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan individu-individu tertentu.

"Saya rasa PNB perlu turun ke kampung-kampung bagi menyedarkan penduduk luar bandar mengenai bentuk pelaburan yang selamat dengan yang terang-terang menipu.

"Perbanyakkan cawangan PNB di kampung-kampung. Ia bukan sahaja akan menggalakkan mereka melabur malah penduduk luar bandar juga boleh membuat rujukan terhadap sebarang bentuk pelaburan yang mereka minati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengenai jangkaan itu yang dibuat berdasarkan peningkatan minat masyarakat khususnya di luar bandar terhadap bidang pelaburan.

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam kesal kerana masyarakat negara ini masih belum belajar daripada kebanyakan kes penipuan yang didedahkan.

Katanya, penipuan seperti itu bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia tidak dijadikan pengajaran untuk masyarakat lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan.

"Terdapat individu merasakan diri mereka lebih bijak berbanding orang lain yang pernah 'terkena' dan itu membuatkan mereka yakin tidak akan tertipu.

"Malangnya, mereka tidak sedar betapa penipu itu jauh lebih cerdik. Mereka sudah terlebih dahulu membuat kajian tentang bagaimana mahu melepaskan diri daripada mangsa masing-masing juga dari segi perundangan," jelasnya.

Justeru beliau mengingatkan bakal pelabur agar memilih bank atau organisasi yang memang diketahui selamat walaupun ada di antaranya cuma memberi pulangan wang yang sedikit.

"Berhati-hatilah membuat pelaburan terutamanya melalui Internet. Dalam mana-mana pelaburan, tidak boleh ada teori atas angin. Pelaburan itu perlu dipastikan jelas dan barang yang didagangkan juga perlu dipastikan wujud," katanya.

Pensyarah Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah pula menjelaskan golongan penipu itu biasanya akan menyenaraikan testimoni daripada individu terawal menyertai pelaburan ditawarkan dengan cara memberi pulangan lumayan dan konsisten kepada mereka.

"Individu berkenaan pula tentunya berasa seronok dan akan memperkenalkan pelaburan itu kepada rakan dan saudara-mara mereka.

"Daripada situ pelaburan itu akan berkembang sehinggalah sampai satu ketika, apabila yang menipu itu mula mendapat keuntungan lumayan, para pelabur akan ditinggalkan tanpa diberi pulangan dijanjikan," katanya.

Sunday, February 14, 2010

Jadikan penjualan MV Agusta sebagai iktibar

Utusan Malaysia:Sabtu: 13.2.2010

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Penganalisis ekonomi berharap isu penjualan pegangan Proton Holdings Bhd. (Proton) dalam MV Agusta Motor Spa (MV Agusta) menjadi pengajaran kepada syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membuat keputusan perniagaan.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, penjualan tersebut yang dilakukan hampir empat tahun lepas boleh dikatakan satu kesilapan kerana syarikat tersebut berpotensi untuk maju.

"Sepatutnya Proton menggunakan kelebihan yang ada pada MV Agusta untuk menaikkan imejnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai isu itu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya.

Menerusi laporan sebuah majalah, MV Agusta yang dibeli oleh sebuah syarikat dari Itali dengan harga 1 euro (RM4) untuk 57.75 peratus pegangan saham Proton telah berjaya dijual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Kata Amir Hussin, Proton telah mengabaikan peluang tersebut hanya disebabkan kegagalan untuk menganalisis perniagaannya dengan baik.

Baginya, jika Proton ingin menjadi syarikat yang dipandang tinggi dalam dunia permotoran, ia seharusnya berusaha memperkembangkan MV Agusta dan menyelongkar kelebihannya daripada menjual pegangannya pada harga yang murah.

"Jika tidak, Proton boleh dijadikan satu bahan jenaka dalam dunia permotoran," ujarnya

Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman turut sependapat dalam hal itu apabila berkata, Proton tidak menilai potensi yang ada pada MV Agusta sebelum menjual pegangannya.

"Sekalipun ingin menjual pegangan tersebut, biarlah pada harga yang bersesuaian dengan imej MV Agusta," katanya.

Menurutnya, meskipun MV Agusta dikatakan memberi bebanan hutang kepada Proton, banyak alternatif lain boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu seperti menjalin kerjasama strategik dengan pihak lain.

"Sekurang-kurangnya Proton tidak menanggung beban sepenuhnya, malah mampu mewujudkan jaringan pasaran yang lebih luas," katanya lagi.

Baginya, GLC perlu mengambil iktibar daripada insiden itu selaras kedudukannya sebagai nadi ekonomi negara termasuk dalam aspek teknologi.

Walaupun menyedari perkara itu lebih bersangkut paut dengan risiko perniagaan, tetapi bagi beliau, GLC harus lebih terbuka menerima pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan yang boleh menjatuhkan imejnya