Thursday, December 24, 2009

Kawal jualan minyak di sempadan

Utusan Malaysia
Khamis, 24.12.2009

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pelaksanaan sistem dua harga minyak berbeza kepada rakyat dan bukan warganegara tidak akan menyelesaikan masalah penjualan bahan api itu kepada rakyat asing.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman sebaliknya berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan di pintu masuk sempadan bagi mengurangkan jualan minyak kepada warganegara asing.

Jelasnya, masalah penjualan bahan api itu kepada warganegara asing tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya ia banyak berlaku di kawasan sempadan.

"Malah, terdapat juga sindiket warganegara asing yang menggunakan orang tempatan untuk membeli minyak.

"Oleh itu, kita mesti memperketatkan undang-undang dan kawalan di sempadan untuk mengenal pasti kenderaan yang didapati membeli minyak melebihi daripada yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai langkah kerajaan melaksanakan mekanisme dua harga minyak yang berbeza untuk rakyat dan warganegara asing.

Kerajaan akan melaksanakan mekanisme baru subsidi petrol dan diesel yang menetapkan harga berbeza mulai Mei tahun depan.

Haim berkata, mungkin tiada negara atau hanya segelintir negara di dunia yang memperkenalkan sistem dua harga minyak berbeza ini.

Menurutnya, langkah kerajaan memperkenalkan sistem itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya mengundang persepsi negatif negara jiran terhadap Malaysia.

"Pengenalan mekanisme baru ini menunjukkan unsur diskriminasi dan ia bukan merupakan satu langkah yang bijak.

"Malaysia sering melaungkan kebebasan perdagangan dan pengenalan dua harga minyak berbeza ini menunjukkan tindakan yang tidak mencerminkan unsur keterbukaan," katanya.

2 comments:

crewradix said...

Dia Olang mau PUSING MINDA RAKYAT..

Dr. Haim Hilman said...

Salam crewradix

Harap rakyat terus terbela..