Wednesday, December 3, 2008

Bukan Masa Ubah Dasar

Utusan Malaysia: 29.10.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

UNTUK rekod, pemilikan ekuiti di kalangan orang Melayu setakat ini cuma berjumlah 18.9 peratus, manakala kaum bukan bumiputera pula sebanyak 40.6 peratus. Selebihnya iaitu kira-kira 40.5 peratus ekuiti dimiliki oleh warga asing.

Jika angka itu diteliti dengan bijak dan tanpa sebarang maksud yang tersembunyi, pastinya ramai yang bersetuju bahawa jumlah 18.9 peratus itu masih terlalu jauh daripada angka 30 peratus seperti yang diperuntukkan kepada bumiputera dalam dasar pemilikan ekuiti.

Justeru, apakah sebenarnya yang menjadi kebimbangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai terhadap dasar pemilikan ekuiti bumiputera yang sebenarnya tidak pun mencapai sasaran sehingga sanggup dipersoalkan?

Adalah satu kedangkalan untuk mengatakan peruntukan ekuiti bumiputera itu mengekang daya saing sesebuah syarikat terutamanya dalam berdepan dengan krisis ekonomi global, sedangkan dasar yang sama juga selama ini melonjak kepada kekukuhan ekonomi negara.

Bagaimana pula dengan puluhan atau mungkin ratusan syarikat senaraian awam yang langsung tidak mempraktikkan dasar peruntukan 30 peratus ekuiti kepada bumiputera tetapi masih dibenarkan beroperasi?

Adakah terlalu sukar untuk melihat toleransi kerajaan itu adalah atas semangat untuk menjaga keharmonian antara kaum dan memberikan ruang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia mengecapi kekayaan negara meskipun ia jelas membelakangkan dasar dan Perlembagaan negara?

Umum mengetahui bahawa meskipun komposisi orang Melayu di negara ini berjumlah 67 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding kaum Cina (25 peratus) dan India (tujuh peratus), namun penguasaan ekonomi orang Melayu sangat terkebelakang.

Selain pemilikan ekuiti yang rendah, kaum bumiputera juga hanya menguasai 20.3 peratus pemilikan syarikat berbanding bukan bumiputera iaitu sebanyak 75.7 peratus.

Malah, daripada aspek penguasaan ekonomi lain seperti pemilikan bangunan komersial, jawatan pengurusan tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), perbandingan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera ibarat langit dan bumi.

Adalah sesuatu yang menyedihkan seperti yang dijelaskan oleh pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sangat lemah selepas pilihan raya umum lalu, secara berterusan dieksploitasi oleh rakan-rakan dalam barisan yang sama.

Cubaan demi cubaan yang menekan kerajaan untuk melepaskan satu persatu kepentingan orang Melayu katanya, tidak lebih daripada tindakan keterlaluan untuk memperlihatkan kerajaan terutamanya UMNO tidak lagi kuat, walhal parti komponen yang mewakili kaum Cina itulah yang sebenarnya ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

Tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu, isu-isu yang membabitkan kaum bumiputera yang dibangkitkan baik oleh pembangkang apatah lagi di kalangan parti komponen BN sendiri, dilakukan dengan niat seolah-olah untuk mencabar.

Dalam ketika gelora politik masih belum reda kini, sebarang pendirian atau pandangan yang menyentuh mengenai kaum lain, tidak wajar dilontar secara terbuka, apatah lagi oleh seorang pemimpin kanan bertaraf menteri.

Kenyataan-kenyataan berbentuk menjuarai sesuatu kaum dan terserlah cuba untuk meraih populariti, akan hanya mengusutkan lagi suasana politik sedia ada dan memanjangkan perdebatan isu-isu sensitif yang boleh mengeruhkan semangat perpaduan.

Mendominasi

Membincangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan sesuatu kaum oleh mana-mana pemimpin sekali pun, sewajarnya mengambil kira masa dan wadah yang sesuai, dan sesuatu yang jelas kini bukanlah waktu dan ketikanya.

"Apatah lagi ketika kaum bukan bumiputera lebih mendominasi ekonomi dan kekayaan negara, permintaan sebegitu hanya membayangkan sikap tamak segelintir pihak yang masih berasa tidak cukup dengan kelebihan yang dinikmati," ujar Haim.

Mengajak kaum bumiputera untuk bersaing secara adil dan saksama di gelanggang ekonomi terbuka juga bukanlah satu cabaran yang terlalu gerun untuk disahut. Malah, sudah ramai orang Melayu yang membuktikan bahawa mereka juga mampu menguasai ekonomi jauh lebih hebat daripada kaum-kaum yang lain.

Namun, agenda kerajaan khususnya memperkasakan kaum bumiputera terutamanya orang Melayu secara keseluruhannya masih terlalu jauh. Apatah lagi dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi di kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman yang masih terkebelakang.

Menurut Haim, tanpa bimbingan, dorongan, sokongan dan insentif tertentu kepada golongan ini, membuka persaingan secara merit kononnya untuk mempersiapkan diri dalam persekitaran ekonomi global, hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

Justeru, peruntukan khusus kepada bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan atau dasar negara sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya sewajarnya dipertahankan dan dijayakan dengan sebaik-baik mungkin.

Kerajaan juga tambah Haim, pastinya tidak mempunyai halangan untuk menghapuskan peruntukan ekuiti itu setelah benar-benar yakin golongan yang ingin dibantu mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan sokongan tertentu.

Namun sehingga itu, kerajaan perlu kekal dengan tanggungjawab menyediakan sokongan sewajarnya sama ada dalam bentuk pembangunan modal insan, pelaburan dan sebagainya dalam menawarkan ruang dan peluang yang sama kepada semua golongan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, parti mana sekali pun yang memerintah negara perlu memastikan taraf hidup dan sosio-ekonomi kaum majoriti sentiasa dibela dan dipertahankan.

"Kerajaan yang gagal merubah nasib dan masa depan kaum majoriti, adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bagaimana cara pelaksanaan dan penyampaiannya bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh pemerintah," tambah beliau.

Hakikatnya, biar sebanyak mana sekalipun dasar diperkenalkan oleh kerajaan, kaum bukan bumiputera sedikit pun tidak pernah diabaikan, malah masih mampu meraih kekayaan tanpa sebarang halangan.

Sewajarnya juga, dasar-dasar itu tidak dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain, sebaliknya lebih kepada satu usaha untuk meningkatkan taraf sosio bumiputera terutamanya orang Melayu yang realitinya masih jauh ketinggalan.

Bagaimana pula jika kaum bumiputera meminta kerajaan memperkecilkan lagi penguasaan ekonomi bukan bumiputera dengan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera sehingga 50 peratus? Tidakkah tercalar perasaan bukan bumiputera dengan tuntutan sebegitu?

Dengan sekian banyak ancaman ke atas keistimewaan kaum bumiputera dijadikan senjata berkepentingan politik oleh segelintir pihak, orang Melayu tidak lagi boleh sekadar memandang dan membiarkan sesuatu selama ini menjadi hak mereka gugur satu per satu.

Tanpa mengambil kira perbezaan ideologi atau asas perjuangan parti, kaum bumiputera perlu bersatu hati dalam mengekang suara-suara yang berterusan menyerang secara membuta tuli apa yang selama ini menjadi hak dan keistimewaan masyarakat bumiputera.

No comments: