Wednesday, January 12, 2011

Ekonomi Malaysia kian pulih

Utusan Malaysia: Khamis, 13.01.2011

ADAKAH ekonomi Malaysia sudah pulih dan keluar daripada kemelesetan global? Itulah persoalan yang sering dilontarkan oleh orang ramai yang skeptikal dengan hakikat itu, berikutan dakwaan bahawa mereka tidak menerima kesan langsung daripada pemulihan berkenaan.

Bagi kakitangan kerajaan, kesan langsung itu mungkin bermakna mereka mendapat bonus tahunan berkali-kali ganda banyaknya dan bagi orang ramai, ia bererti mereka dapat membeli barangan pada harga rendah seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, jika diukur pemulihan itu berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diguna pakar dalam menilai 'kesihatan' ekonomi sesebuah negara, nampaknya secara keseluruhan keadaan ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda untuk 'kebah' setelah sekian lama diserang 'demam panas.'

Antara petunjuk itu, ramai pelabur asing kembali membeli saham di pasaran saham tempatan setelah 'berehat' beberapa ketika dek pukulan harga saham yang menjunam. Nilai mata wang kita juga semakin kukuh.

Pada awal bulan ini, Indeks Komposit Bursa Malaysia meningkat melebihi 1,500 mata iaitu paras tertinggi dalam sejarah manakala nilai mata wang tempatan diniagakan pada RM3.06 berbanding sedolar Amerika Syarikat (AS) iaitu catatan nilai paling kukuh sejak 13 tahun lalu.

Perkara itu diakui oleh penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai sangat positif.

Beliau berkata, peningkatan bursa saham tempatan dan ringgit itu digalakkan oleh sentimen positif yang ditunjukkan pasaran serantau dan juga prospek pertumbuhan yang baik.

''Berdasarkan perkembangan ini, saya melihat ekonomi Malaysia telah mula menunjukkan proses pemulihan dan saya ramal prospek ekonomi pada tahun ini adalah lebih baik berbanding 2010," katanya.

Bagaimanapun, Haim Hilman mengakui peningkatan Bursa Malaysia dan pengukuhan ringgit bukan satu-satunya petunjuk untuk membuat kesimpulan bahawa ekonomi negara telah pulih.

Beliau berkata, pemulihan itu juga bergantung kepada sejauh mana keseriusan kerajaan untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti dijanji sebelum ini.

''Saya gembira kerana kerajaan mengotakan janji-janjinya ini dan ia terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 19 lagi projek di bawah ETP," katanya.

Ketika membuat pengumuman, Perdana Menteri berkata, projek baru itu akan melibatkan pelaburan hampir RM67 bilion dan menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion.

Antara projek berkenaan adalah pengeluaran sel tenaga solar AUO Sunpower di Melaka yang melibatkan belanja RM2.2 bilion dan membina Metropolis Kesihatan Universiti Malaya (UM) di Petaling Jaya yang menelan belanja RM1.25 bilion.

Ia juga melibatkan projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan pelaburan sebanyak RM36.6 bilion.

Mengulas mengenai pengumuman terbaru Perdana Menteri itu, pensyarah di Kuliah Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

''Ia adalah sesuatu yang bagus kerana tidak hanya tertumpu di Lembah Klang dan Selangor, malah kawasan pelaksanaan menjangkaui Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin turut sependapat bahawa pemulihan ekonomi bukan angan-angan kerana projek di bawah ETP khususnya membabitkan sektor minyak, gas dan tenaga mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada negara.

''Sektor bahan api tersebut berkait rapat dengan industri automotif negara, justeru pembangunan automotif negara akan turut berkembang dengan pesatnya.

''Malaysia juga akan turut menjadi pengeluar minyak dan gas yang utama sekali gus menjimatkan penggunaan kos rakyat terhadap bahan mentah ini," katanya.

Berdasarkan hujah-hujah ini, kita harus mengakui bahawa ekonomi negara telah menunjukkan tanda-tanda untuk pulih. Bagaimanapun, persoalannya adakah pemulihan ini akan menguntungkan rakyat di peringkat bawahan.

Kebimbangan ini nampaknya disedari oleh Najib yang secara jelas semalam menyatakan keyakinan beliau bahawa projek yang telah diumum itu akan memberikan pulangan yang ketara kepada orang ramai sedikit masa lagi.

Mengulas keprihatinan Najib itu, Timbalan Dekan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Shahwahid Othman mencadangkan supaya agensi khusus diwujudkan bagi memantau penglibatan masyarakat bawahan dalam ETP.

''Agensi ini turut berperanan memberi penerangan kepada rakyat mengenai bagaimanakah mereka boleh mengambil peluang dan mendapat manfaat daripada proses transformasi ekonomi negara yang sedang berlaku," katanya.

Jelas Mohd. Shahwahid, kesan langsung yang ketara daripada projek-projek yang diumumkan itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

Beliau berkata, antaranya jangkaan penggunaan sehingga 130,000 tenaga pekerja pada peringkat pembinaan MRT.

Jika dilihat pada keseluruhan projek-projek di bawah ETP, kira-kira 3.3 juta jawatan kosong akan diwujudkan.

Bagi yang tidak berkemahiran, mereka juga tidak harus bimbang kerana Najib ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen pada Oktober lalu mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) yang bertanggungjawab menetapkan gaji minimum untuk pekerja.

Pekerja kurang berkemahiran sudah pasti tidak akan dipinggirkan kerana mereka juga akan mendapat gaji lebih tinggi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Gaji di bawah garis kemiskinan sebanyak RM700 sebulan sekarang mungkin hanya akan tinggal kenangan sahaja.

Jika fakta-fakta ini diteliti secara lebih objektif, keceriaan sebenarnya bukan sahaja akan mula terpancar pada wajah pelabur saham dan tokoh korporat yang sekian lama sugul sebelum ini, sebaliknya, rakyat di peringkat bawahan juga sudah mampu untuk tersenyum.