Utusan Malaysia: 03.06.2009
KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan bakal berdepan dengan risiko menanggung jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi jika berhasrat mewujudkan skim pinjaman wang untuk golongan tanpa kerja tetap dalam usahanya membanteras ceti haram atau 'ah long'.
Kemungkinan itu timbul sekiranya tiada garis panduan jelas disediakan, lebih-lebih lagi peminjam yang tidak bekerja tetap dan tidak memiliki sebarang dokumen atau cagaran bagi menjamin pinjaman mereka.
Penganalisis tempatan, Haim Hilman Abdullah berkata, sebelum mengadakan skim pinjaman itu kerajaan harus peka dan sedar bahawa risiko NPL adalah tinggi jika tiada satu kawal selia atau peraturan yang tertentu.
"Hasrat kerajaan memang baik untuk membantu dan memberi kelonggaran kepada golongan tersebut tetapi jika NPL tinggi di mana kerajaan hendak mendapat semula pinjaman yang telah dikeluarkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Haim Hilman berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang menyatakan bahawa kerajaan sedia mengkaji kemungkinan mewujudkan skim pinjaman wang untuk golongan yang tidak mempunyai kerja tetap bagi mengelak mereka menjadi mangsa ah long.
Ketika ini Timbalan Menteri berkata, skim pinjaman yang sedia ada kebanyakannya adalah untuk pekerja tetap dan ingin membuka perniagaan sahaja.
Menurut Haim Hilman, langkah itu bukan sahaja memberi gambaran negatif tetapi kerajaan juga perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila mengeluarkan pinjaman mudah sehingga beberapa bank di negara itu muflis.
Kalau boleh katanya, syarat-syarat ketat yang tidak membebankan peminjam harus dikenakan bagi mengelak pinjaman tidak berbayar.
Katanya, kerajaan perlu mengkaji punca di sebalik ramai orang yang meminjam ah long berbanding dari mewujudkan tabung khas itu.
"Kita kena tengok kenapa wujud tekanan kepada rakyat ketika ini yang menyebabkan orang sanggup meminjam dari ah long. Adakah kerana kos sara hidup yang tinggi atau di sebabkan hal-hal lain katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin berkata, kerajaan perlu membuat kajian yang menyeluruh dengan memberi kelonggaran kepada terma-terma pinjaman.
Katanya, faedah rendah perlu dikenakan kepada setiap jumlah pinjaman berbanding faedah yang tinggi yang diberikan oleh ah long ketika ini.
"Kalau Bank Rakyat dan koperasi boleh mengenakan faedah bawah lima peratus, tidak mustahil kerajaan boleh mengurangkan lagi faedah itu," katanya.
Bagaimanapun katanya, masalah yang dihadapi adalah tentang cara mendapat jaminan peminjam berkenaan berbanding mereka yang berpendapatan tetap.
Rusli berkata, satu mekanisme perlu diwujudkan secara menyeluruh agar pemiutang dan penghutang tidak akan terbeban dengan masalah NPL sehingga menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.
Sebagai projek perintis, kerajaan mungkin perlu mengehadkan jumlah pinjaman atau peruntukkan yang diberikan dalam tabung tersebut.
"Benar, pinjaman yang diberikan kerajaan lebih baik berbanding ah long tetapi kita juga perlu faham kerajaan mempunyai tanggungjawab lain dan peluang pihak lain membuat pinjaman susulan perlu diambilkira," katanya.
Tuesday, June 2, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)