Saturday, January 24, 2009

Pencen: Pekerja Swasta Perlu Diberi Pilihan

Utusan Malaysia

Pencen: Pekerja Swasta Perlu Diberi Pilihan

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Pakar ekonomi meminta kerajaan menyediakan opsyen kepada para pekerja swasta di negara ini sama ada mahu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekali gus atau dalam bentuk pencen yang dibayar setiap bulan.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah itu perlu kerana pencarum mungkin mempunyai perancangan sendiri dalam menentukan kehidupan selepas bersara.

‘‘Jika pencarum ingin mengambil semua simpanan sekali gus selepas bersara, itu terpulang kepada mereka dan pekerja terlibat juga dibenarkan jika mahu menerimanya secara bulanan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat segelintir pencarum yang ingin melaburkan simpanan KWSP mereka ke dalam dana lain termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilihat lebih menguntungkan kerana dividennya lebih tinggi.

Mohd. Fauzi berkata, adalah wajar jika pekerja sendiri yang menentukan pilihan masing-masing dan selepas itu mereka boleh membuat perjanjian dengan KWSP mengenai cara pembayaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam bahawa Kabinet bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan skim pencen bagi pekerja swasta melalui KWSP.

Subramaniam berkata, skim itu akan menjamin pesara sektor swasta mendapat pencen setiap bulan mengikut jumlah caruman di dalam KWSP kerana ketika ini kebanyakan pencarum menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh dua tahun selepas bersara.

Pensyarah Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, pula berpendapat, skim pencen pekerja swasta itu mempunyai kesan positif dan negatifnya.

“Skim itu dilihat dapat membantu pencarum KWSP mempunyai simpanan dalam tempoh lebih panjang selepas bersara kerana hasil kajian yang dilakukan mendapati, ramai pencarum menghabiskan wang KWSP mereka dalam dua tahun selepas memperoleh wang itu,” katanya.

OPR Kini 2.50 Peratus

Utusan Malaysia: 22/01/2009

Oleh Ainul Asniera Ahsan, Daliza Ariffin dan Sarah Nadlin Rohim

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR), penanda aras utama kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus dalam pengurangan yang paling besar pernah diumumkannya.

Kadar OPR baru itu yang menjadikan kos pinjaman lebih murah, juga berada di paras terendah sejak Mei 2004.

Pada masa yang sama, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) turut menurunkan kadar Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga dikurangkan kepada 2.0 peratus daripada 3.5 peratus mulai 1 Februari ini.

Pengumuman itu adalah bertepatan dengan spekulasi penganalisis ekonomi yang meramalkan OPR akan diturunkan sebanyak 50 hingga 75 mata asas pada suku pertama dalam usaha untuk merangsang aktiviti ekonomi.

''Dengan risiko pertumbuhan perlahan, pengurungan OPR dan SRR bertindak sebagai penyokong kepada persekitaran kewangan yang lebih kukuh kepada ekonomi domestik,'' kata kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM di sini hari ini.

Kali terakhir BNM menurunkan kadar OPR adalah pada 24 November tahun lalu, sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus buat pertama kali sejak April 2006 daripada paras 3.50 peratus sebelumnya.

BNM dalam kenyataannya berkata, industri ekonomi utama sedang mengalami kemelesetan dan keadaan ini telah menyebabkan timbulnya risiko yang besar terhadap pertumbuhan global.

''Penguncupan permintaan dan dagangan global serta penurunan harga komoditi dunia telah meninggalkan kesan kepada pendapatan eksport negara-negara rantau, termasuk Malaysia.

''Faktor penguncupan itu telah diburukkan oleh krisis berpanjangan pasaran kewangan dunia,'' katanya.

BNM berkata, penurunan yang ketara dalam ekonomi global dijangka memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Malaysia.

''Kemerosotan nyata dalam permintaan luar negeri telah mengakibatkan penguncupan eksport dan aktiviti pelaburan swasta yang sederhana. Perkembangan ini juga memberikan kesan terhadap keadaan pasaran pekerja.

''Dalam keadaan ini, pelaksanaan segera langkah dasar adalah penting ke arah memastikan ekonomi Malaysia terus mencapai pertumbuhan yang positif pada tahun ini,'' jelasnya.

Berikutan itu, pertumbuhan yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah mengakibatkan inflasi terus berkurangan kepada 4.4 peratus pada bulan Disember 2008.

''Penurunan ini dijangka berterusan berikutan keadaan permintaan yang lebih lemah dan inflasi diimport yang lebih rendah,'' katanya.

Sambil menyatakan sistem perbankan Malaysia terus kukuh, BNM menambah, pihaknya akan terus berusaha ke arah memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada kredit dan penurunan kadar faedah melalui kos pinjaman yang lebih rendah.

Sementara itu, tokoh ekonomi tempatan, Datuk Zainal Aznam Yusof berkata, pengurangan OPR itu semenangnya dijangkakan dalam usaha BNM mengukuhkan kedudukan ekonomi domestik.

Beliau berkata, bank pusat itu telah mengguna pakai secara serentak dasar fiskal dan polisi monetari untuk membantu ekonomi daripada terus terjejas.

''Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara 3.5 peratus tahun ini. Meskipun berdepan kesukaran, penurunan OPR ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan berlakunya pertumbuhan negatif,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berharap penurunan OPR dapat membantu institusi perbankan tempatan menyalurkan pinjaman kepada sektor swasta, sekali gus dapat meningkatkan sentimen pengguna.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali pual menyifatkan penurunan OPR itu mengejutkan kerana kebanyakan penganalisis menjangka penurunan hanya antara 25 hingga 50 mata asas sahaja.

Bagaimanapun, penurunan itu tiada gunanya jika institusi perbankan tempatan begitu selektif dalam memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk tujuan perniagaan.

''Dalam keadaan sekarang kepada peniaga-peniaga tidak kira apa kategori memerlukan aliran tunai untuk menyokong perniagaan.

''Tetapi sekiranya bank mengambil sikap berhati-hati untuk mengeluarkan pinjaman, tidak ada gunanya juga,'' katanya.

Berikutan itu, beliau menyarankan supaya BNM 'turun padang' dan memantau secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh golongan peniaga.

Seorang lagi pakar ekonomi, Haim Hilman berkata, pengurangan OPR adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengelak daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

Katanya, penurunan kadar faedah ini akan meningkatkan keyakinan pengguna untuk memohon pinjaman dan seterusnya bakal memberi kesan kepada sektor yang berkaitan.

''Adalah tidak mustahil bagi BNM menurunkan lagi OPR pada suku kedua atau ketiga tahun ini tetapi ia masih tertakluk kepada perkembangan ekonomi ketika itu,'' jelasnya.

Monday, January 19, 2009

Kemas Kini Sumber Manusia

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (Wartawan Utusan)

20.01.2009

KEMUNGKINAN untuk kira-kira 45,000 pekerja daripada pelbagai sektor perkilangan hilang mata pencarian seperti laporan Kementerian Sumber Manusia kelmarin, sememangnya sesuatu yang sudah dijangkakan.

Malah, kira-kira 14,000 pekerja dari pelbagai sektor terutamanya yang berkait secara langsung dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) lebih dahulu kehilangan pekerjaan awal tahun ini selepas ekonomi dunia terjerumus ke kancah kegawatan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu pastinya bertambah, malah mungkin mencecah sehingga 200,000 hingga 400,000 pekerja seperti yang dibimbangi oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) jika mengambil kira ramalan kelembapan ekonomi sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini.

Kemungkinan itu diburukkan lagi dengan kebanjiran pekerja Malaysia di luar negara, terutamanya dari Singapura yang turut kehilangan kerja dan terpaksa mencari kerja baru di tanah air.

Dalam persekitaran yang menuntut perbelanjaan yang tinggi seperti hari ini, kehilangan punca pendapatan bukanlah satu tekanan yang mudah untuk dihadapi.

Beban kewangan yang mendesak boleh mendorong seseorang untuk bertindak lebih jauh, sehingga tergamak melakukan jenayah semata-mata untuk mencari sesuap nasi.

Justeru, krisis pemberhentian kerja ketika ini tidak wajar dipandang sebelah mata. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai isu perdana yang memerlukan penglibatan semua pihak dalam mencari penyelesaian.

Bagaimanapun ketika berdepan dengan kegawatan ketika ini, sektor swasta tidak sewajarnya mengambil pendekatan mudah dengan membuang pekerja sesuka hati.

Sesebuah syarikat lebih-lebih lagi yang bertaraf internasional pastinya mempunyai pelan atau pakej sokongan untuk menyerap sebaik mungkin risiko kegawatan ekonomi tanpa perlu membuang pekerja dalam jumlah yang besar.

Sekiranya pengurangan pekerja dilihat jalan terakhir untuk mengurangkan kos operasi sekali pun, pekerja asing yang lebih mendominasi peringkat bawahan di sektor-sektor swasta seharusnya diberi keutamaan. Merekalah yang seharusnya diberhentikan kerja dan dihantar pulang dan bukannya menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

Bagi syarikat yang beroperasi 24 jam sehari misalnya, waktu operasi itu mungkin boleh dikurangkan bersama-sama tempoh bekerja dengan gaji yang berpatutan.

Pendekatan itu jauh lebih baik bagi mengelak pekerja kehilangan punca pendapatan secara kekal. Pada masa yang sama, ia boleh memberi peluang kepada pekerja melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Dalam hal ini, kerajaan menerusi agensi berwajib boleh memainkan peranan yang lebih agresif mendekati golongan pekerja dengan skim dan bantuan kewangan tertentu untuk mereka menceburkan diri dalam sektor perniagaan secara kecil-kecilan.

Peluang yang sama juga boleh digunakan untuk menarik minat pekerja swasta terbabit menceburi bidang lain yang berpotensi.

Sebagai contoh di daerah yang terkenal dengan aktiviti pertanian, kerajaan boleh membuka peluang dengan projek-projek yang dirancang dan diusahakan secara berkelompok.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, pensyarah ekonomi di Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah berkata, pihak berwajib terutamanya Kementerian Sumber Manusia perlu menyusun keperluan sumber manusia mencakupi semua peringkat dan lapangan sektor pekerjaan.

Pengemaskinian sumber manusia itu bertujuan mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang terdapat pengurangan. Hakikatnya jika diperhatikan dalam persekitaran kerja yang masih meluas ketika ini, masih terdapat banyak peluang pekerjaan untuk diterokai.

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan rakyat tempatan yang mempunyai sumber kepada peluang pekerjaan itu kerana kekurangan maklumat mengenainya.

Justeru di sinilah perlunya sebuah pangkalan data yang diselenggarakan oleh kerajaan bagi mengenal pasti peluang-peluang pekerjaan yang wujud di seluruh negara.

Pangkalan data yang mirip kepada enjin pencarian kerja itu pula diperluaskan kepada zon-zon yang lebih menyeluruh termasuk di daerah dan bandar di setiap negeri.

"Bagaimanapun pangkalan data ini menuntut kepada komitmen yang tinggi dan menyeluruh daripada agensi kerajaan terutamanya Jabatan Sumber Manusia yang perlu proaktif mendekati industri untuk mencari peluang pekerjaan dan bukan sebaliknya," ujar beliau.

Dalam konteks peranan kerajaan juga, kebimbangan terhadap lebih banyak syarikat yang akan menghentikan operasi perlu ditangani secara menjalin hubungan segera dengan syarikat-syarikat terbabit.

Kerajaan boleh membantu meringankan beban kos menerusi pelbagai insentif seperti pelepasan cukai, suntikan dana dan sebagainya.

Bentuk-bentuk sokongan seperti itu juga perlu diperluaskan tidak hanya kepada syarikat-syarikat kecil, malah syarikat gergasi yang tidak dinafikan turut bergelut untuk mencapai sasaran keuntungan seperti yang diunjurkan.

Jelas Haim, pentingnya intensif secara menyeluruh daripada kerajaan adalah bagi mengelak lebih banyak syarikat terpaksa gulung tikar seterusnya menyaksikan lebih ramai menjadi menganggur.

Pendekatan itu sebenarnya boleh dijadikan strategi serampang dua mata kepada kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan sektor swasta terhadap pekerja asing.

Kerajaan dalam menyalurkan intensif itu perlu mensyaratkan syarikat terbabit mematuhi keutamaan dalam mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja.

Mengikut rekod sehingga tahun lalu, dianggarkan seramai 2.3 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini terutamanya perladangan, perindustrian dan pembinaan.

Pekerja asing ini juga mengisi kira-kira 40 peratus daripada 252,600 peluang kerja baru yang diwujudkan di negara ini setiap tahun, iaitu hampir separuh daripada apa yang seharusnya diisi oleh rakyat tempatan.

Melihat kepada jumlah itu, perlu diakui bahawa limpahan pekerja asing terutamanya dari Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal itu menutup peluang rezeki di kalangan rakyat tempatan.

Justeru, strategi itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan mencapai hasrat mengurangkan jumlah pekerja asing kepada hanya 1.5 juta orang menjelang 2015.

Tempoh yang sukar ini juga boleh digunakan oleh kerajaan dan pihak swasta untuk mencari pendekatan yang sesuai dalam mengatasi polemik kebergantungan sektor swasta kepada pekerja asing.

Isu seperti memilih pekerjaan di kalangan rakyat tempatan serta kos upah buruh murah yang menarik minat sektor swasta kepada pekerja asing perlu dicari penyelesaian yang mampu dipersetujui semua pihak.

Ia bertujuan memastikan pekerja asing tidak lagi kembali mencari rezeki di negara ini selepas berakhirnya kegawatan dan ekonomi rancak semula.

Lebih penting pekerja tempatan juga lebih berminat untuk mengisi peluang pekerjaan yang sebelumnya diisi oleh pekerja asing kerana tawaran gaji yang lebih menarik dan berbaloi.

Namun, dalam sektor pekerjaan swasta yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum, pastinya ada majikan yang tetap berdegil menggaji buruh asing yang murah.

Dalam hal ini, kerajaan terutamanya Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen perlu lebih bertegas dalam isu penguatkuasaan ke atas majikan yang mengingkari undang-undang berkaitan pengambilan pekerja asing.

Sunday, December 14, 2008

Pakar Ekonomi Sambut Baik LPT

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pakar ekonomi yakin penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion mampu memastikan wang royalti minyak negeri itu diuruskan dengan telus dan sekali gus dapat menjana ekonominya.

Pensyarah Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, idea itu amat baik dan bagi memastikan keberkesanannya, ia perlu dilaksanakan dengan telus dan tidak ada pertindihan dalam matlamat utamanya.

''Penglibatan dan pelaksanaan daripada golongan bijak pandai yang tidak terlibat dalam agenda politik adalah perlu bagi memastikan keberkesanan penubuhan LPT.

''LPT merupakan idea yang berwawasan jauh dan bagi melaksanakannya perlu ada golongan berwibawa dalam pengurusan dan kerajaan perlu menjadi pemantau untuk memastikan keberkesanan lembaga tersebut'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan pada prinsipnya telah meluluskan penubuhan lembaga itu untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri tersebut.

Najib berkata, LPT akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

Haim berkata, pemeriksaan daripada badan kira-kira bebas dan audit profesional perlu ada selain meletakkan kepentingan rakyat Terengganu mengatasi segalanya.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berkata, LPT merupakan inisiatif yang baik bagi negeri Terengganu kerana ia merupakan hasil negeri dan mesti dikembalikan kepada rakyatnya.

''Perlu ada tabung yang ditubuhkan untuk menyimpan hasil daripada pelaburan yang dibuat,'' katanya.

Menurutnya, lembaga seperti itu juga perlu diwujudkan di negeri-negeri yang mempunyai sumber petroleum seperti Sabah dan Sarawak kerana ia merupakan inisiatif yang amat baik.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh juga bersetuju dengan penubuhan LPT yang disifatkannya sebagai satu idea baik tetapi perlu dipastikan pelaksanaannya berada di landasan yang betul.

''Bagi memastikan ketelusan LPT, perlu ada badan-badan lain seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang boleh bekerjasama dengannya.

''Pelaburan dana RM10 bilion itu perlu diuruskan dengan baik dan LPT perlu mencontohi Khazanah dan Petronas serta peranan yang dimainkan haruslah sama seperti mereka,'' katanya.

Menurutnya, LPT juga perlu memainkan peranan utama dan tidak hanya sebagai penyumbang dana sahaja

Katanya, kewujudan lembaga itu akan lebih berkesan sekiranya pelaburan yang dibuat ditumpukan pada Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER) dan memberi kesan kepada negeri-negeri Pantai Timur yang lain.

Thursday, December 4, 2008

Renungan 1

Allah S.W.T ada berfirman yang bermaksud :

"DIA menjadikan kamu dari tanah ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci.DIA mengetahui tentang orang yang bertaqwa."
(Surah An-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombangan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Surah Luqman: 18)

Aku berpesan pada diriku dan izinkan aku berpesan untuk dirimu wahai saudara-saudaraku, ingatlah bahawa ibadah yang kita lakukan tidak sekali2 menjamin kedudukan kita di akhirat kelak. Sesungguhnya yang menjadi jaminan kepada kita adalah MARDHATILLAH (keredhaan Allah)..walaupun sebanyak mana dosa yang kita bawa di depanNya nanti, kalau Allah ingin mengampunkan dan sudi memasukan kita ke syurgaNya maka masuklah kita. Saudaraku, kita sebenarnya terlalu kerdil dan miskin segala-galanya disisi pencipta kita, amalan kita terlalu sedikit untuk diperdagangkan bagi 'membeli' syurga Allah. Dengan itu, marilah kita bersama-sama mencari keredhaanNya dengan penuh kesungguhan. Moga-moga di hari penghitungan nanti Allah 'memandang' kita dengan penuh keihsanan dan kasih sayang.. Amin..

Saudaraku, jadilah seperti Imam Syafie, dia memuliakan orang yang lebih tua, kerana dia menganggap mereka itu lebih banyak ilmu dan tinggi ketaqwaan dari dirinya, dan dia juga memuliakan mereka yang lebih muda darinya kerana dia menganggap mereka itu lebih sedikit berbuat dosa darinya..

Renung-renungkanlah..

Wednesday, December 3, 2008

Melayu

USMAN AWANG

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Mendepani Krisis Ekonomi

Mingguan Malaysia: 16.11.2008

Oleh Haim Hilman Abdullah


Krisis ekonomi yang melanda dunia masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat. Tokoh-tokoh ekonomi, kewangan dan ahli politik di seluruh dunia terus berusaha mencari formula terbaik agar krisis kemelesetan ekonomi terburuk yang pernah melanda dunia pada 1930-an tidak berulang kembali. Hakikatnya masyarakat dunia di setiap lapisan sosio-ekonomi mula terasa keperitan bahang krisis ini.

Bermula dengan krisis pinjaman sub prima di Amerika Syarikat (AS) iaitu satu bentuk pinjaman yang merujuk kepada amalan pemberian pinjaman untuk pembelian rumah kepada peminjam yang secara amnya tidak mampu membayar pinjaman mengikut kadar faedah semasa pasaran telah tidak dapat dibendung lagi.

Kegagalan institusi-institusi kewangan AS mengatasi masalah ini membawa kepada peningkatan jumlah keseluruhan pinjaman sub prima ini. Difahamkan pada March 2007 jumlahnya ialah AS$1.3 trilion iaitu meningkat sebanyak 79 peratus berbanding 2006. Kegagalan ini menyebabkan pembiaya utama pasaran kredit iaitu institusi kewangan mengalami kerugian besar. Ada antara mereka bankrap, diambil alih dan memohon bantuan penyelamat 'bail out' daripada kerajaan AS.

Dari aspek kemanusiaan mungkin langkah memudahkan pemberian pinjaman kepada golongan tidak layak sebagai baik tetapi dari segi prinsipnya tindakan tersebut salah dan berisiko tinggi kerana kegagalan mereka membayar kembali pinjaman mengundang padah yang bukan hanya kepada mereka tetapi AS dan dunia.

Hari ini dunia menyaksikan bagaimana kegagalan institusi-institusi kewangan terkenal yang sering dibanggakan oleh barat dan kerap menjadi penanda aras amalan perbankan dunia tersungkur kerana gagal berpegang kepada etika dan prinsip perbankan sebenar. Polisi perbankan yang lemah, longgar dan mudah dimanipulasi oleh eksekutif-eksekutif kewangan menyebabkan dunia kini di ambang kemeletan ekonomi.

Saham-saham di bursa-bursa saham utama dunia jatuh menjunam. Sebagai contoh Dow Jones Industrial Average (DJIA) mengalami kejatuhan terburuk iaitu jatuh sekitar 4,800 mata dari kadar semasa tertingginya pada 9 Oktober, 2007 iaitu 14,164.53. Pasaran saham Malaysia juga mengalami nasib yang sama apabila indek komposit yang pernah berada pada paras sekitar 1400 mata pada awal tahun 2008 jatuh menjunam ke paras 800 mata.

Apa yang dapat disimpulkan di sini krisis ekonomi hari ini jauh lebih buruk dan teruk berbanding krisis kewangan akibat serangan spekulator kewangan yang melanda Asia pada 1997/98. AS dan dunia mengetahui bahawa krisis ini jika tidak ditangani dengan bijak akan memusnahkan ekonomi dunia. Antara langkah segera yang diambil oleh kuasa besar ekonomi dunia sebagai contohnya AS ialah menyediakan pakej penyelamat bernilai ASS$700 bilion, Great Britain 500 bilion pound, dan China 4 trilion Yuan.

Malaysia yang peka tentang kesan buruk krisis ini turut memperuntukan dana berjumlah RM5 bilion menerusi agensi pelaburannya Valuecap Sdn. Bhd. yang berperanan membeli saham rendah tetapi berpotensi bagi pihak kerajaan. Tindakan ini diharap dapat memberi keyakinan baru kepada pelabur di pasaran saham tempatan. Terbaru kerajaan memperuntukkan dana RM7 bilion lagi untuk menggerakkan projek-projek berimpak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Krisis ini menuntut seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam melindungi negara dari mengalami kesan lebih teruk. Kerajaan pula perlu terus mengenalpasti pendekatan-pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang yang mampu menggerakkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pakej-pakej rangsangan ekonomi harus diperkenalkan dari masa ke semasa.

Hubungan baik sedia ada di antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar diperkukuhkan lagi kerana suasana ekonomi segetir hari ini menuntut kerjasama erat di antara pemerintah dan penggubal dasar kewangan negara. Begitu juga perlunya diwujudkan hubungan baik di antara kerajaan, BNM dan institusi-institusi kewangan negara yang lain agar dasar-dasar baru dapat dibentuk mengikut perubahan persekitaran ekonomi negara dan dunia. Ini akan membantu mereka kekal kompetitif dan mampu menyalurkan pinjaman untuk projek-projek yang mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, pelabur domestik dan FDI (Foreign Direct Investment).

Pelaburan

Di samping itu, usaha menarik lebih ramai FDI menerusi penawaran pakej-pakej pelaburan menarik wajar terus menjadi agenda utama negara. Kemerosotan jumlah FDI akan melembapkan proses pemulihan ekonomi, mengurangkan aliran kemasukan mata wang asing, meningkatkan kadar pengangguran yang turut menjadi punca masalah sosial dan jenayah. Di samping itu, sektor-sektor yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK seperti perkhidmatan, pembuatan dan pertanian perlu terus diberi sokongan. Pakej-pakej rangsangan untuk setiap sektor dan di setiap peringkat perlu dikenalpasti dan dilaksanakan dengan telus.

Kerajaan dan pengusaha industri wajar membentuk kerjasama lebih erat agar kesan daripada apa juga pakej rangsangan yang diperkenalkan benar-benar memberi impak kepada industri tersebut dan negara. Di sinilah penjawat awam dituntut menjadikan diri mereka benar-benar professional dalam memastikan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kecekapan dan ketepatan tindakan mereka mampu mengembalikan kedudukan Malaysia salah sebuah destinasi pelaburan utama di kalangan pelabur domestik dan antarabangsa. Jika usaha ini dapat direalisasikan maka masalah kadar pengangguran tinggi yang dialami oleh negara hari ini dapat dikurangkan.

Rakyat

Dalam persekitaran ekonomi lembab ini golongan rakyat berpendapatan rendah akan menerima kesan paling teruk. Peningkatan kos sara hidup yang bermula dari krisis kenaikan harga minyak baru-baru ini melonjakkan perbelanjaan isi rumah rakyat. Kualiti hidup mereka merosot dan ini menjadikan mereka golongan yang boleh dikategorikan berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Menurut kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan daripada jumlah keseluruhan kajian 495,500 isi rumah. Ini menunjukkan 61 peratus daripada rakyat Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai miskin adalah orang Melayu. Hidup dengan pendapatan sebegitu rendah terutamanya buat mereka yang tinggal di bandar besar pastinya amat memeritkan.

Hari ini kita dapat lihat betapa rendahnya kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu di bandar-bandar besar mahupun di kampung-kampung. Walau apa juga sifat buruk yang dikaitkan oleh kaum lain di negara ini, orang luar ataupun orang Melayu itu sendiri terhadap bangsa bernama Melayu ini tidak harus membuatkan kerajaan mula termakan dengan tuduhan-tuduhan mereka dan mula membiarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan atas alas an kena bersaing secara meritokrasi.

Langkah-langkah pembangunan modal insan di kalangan anak-anak Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya iaitu yang berada dalam golongan miskin dan tercicir perlu dirancang dengan lebih rapi. Latar belakang ibu-bapa golongan ini yang agak rendah pendidikannya seringkali mendorong mereka tidak memberi penekanan terhadap aspek pendidik. Di sinilah tempat terbaik untuk NGO-NGO Melayu yang sering berbicara soal hak Melayu membuktikan keikhlasan mereka dalam membantu anak bangsanya. Kerjasama yang lebih erat di antara kerajaan dan NGO mampu membantu mengurangkan keciciran anak Melayu dalam pendidikan.

Kesanggupan sedemikian akan mengeluarkan NGO- NGO tersebut dari tanggapan serong masyarakat yang seringkali beranggap sebahagian daripada NGO Melayu tidak lebih daripada menjadi platform untuk tokoh-tokoh tertentu menonjolkan diri dalam usaha menempatkan dirinya dalam arena politik negara. Di samping itu adalah diharapkan kerajaan tidak sesekali tunduk kepada mana-mana desakan agar mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan orang Melayu. Ketegasan kerajaan dituntut dan rakyat pasti menghukum kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan.

Minyak

Terdapat beberapa langkah yang boleh kerajaan ambil untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat. Adalah perlu kerajaan menyegerakan penurunan harga minyak. Jika mengikut harga pasaran semasa minyak dunia, kerajaan boleh menurunkannya ke paras sekitar RM1.70 seliter atau lebih rendah. Sebagai negara pengeluar minyak, adalah menjadi hak rakyat untuk menikmati rahmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Penurunan ini pasti mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan pengusaha di semua sektor dan industri. Rakyat akan dapat menikmati kembali hidup yang lebih berkualiti dan begitu juga dengan pengusaha industri yang pastinya mampu membantu mereka mempertingkatkan semula daya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa. Melengah-lengahkan penurunan harga minyak akan hanya memburukkan imej kerajaan di mata rakyat kerana majoriti rakyat adalah mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan tidak sewajarnya terlalu bersifat pelindung kepada pengusaha-pengusaha minyak dengan memberi alasan mereka akan kerugian jika harga minyak diturunkan ke paras lebih rendah.

Kerugian adalah lumrah dalam perniagaan tetapi kerugian itu pastinya boleh dielak jika pengusaha mengamalkan strategi perniagaan yang betul di samping menawarkan kualiti perkhidmatan bermutu.

Pada dasarnya sekarang adalah peluang terbaik untuk kerajaan mengotakan janjinya membela rakyat. Kegagalan akan hanya membuatkan rakyat menghukum kerajaan dengan lebih keras lagi dalam pilihan raya akan datang. Isu minyak ini dengan jelas berjaya dieksploitasi oleh pembangkang dalam pilihan raya lalu dan pastinya ia akan digunakan lagi dalam pilihan raya akan datang. Berdolak-dalih dan beranggapan isu ini terlalu awal untuk dieksploitasi memandangkan pilihan raya masih jauh akan hanya membuka ruang kepada pembangkang untuk terus menjatuhkan populariti kerajaan.

Kesan segera penurunan harga minyak dapat dilihat di mana terdapat beberapa pasar raya dan persatuan restoran menurunkan harga barangan. Ini jelas menunjukkan yang warga peniaga bersedia bekerjasama dengan kerajaan kerana mereka turut memahami keperitan hidup rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam hal ini kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus lebih kerap turun ke seluruh pelosok negara iaitu dari Perlis sehingga ke pedalaman Sabah memantau harga barang.

Walaupun ada pasukan pemantau harga tetapi sumbangan mereka masih terbatas. Gunakan juga persatuan-persatuan penduduk sebagai pemantau. Lebih penting langkah penguatkuasaan harus lebih ditonjolkan. Hukum dan dedah mereka yang melakukan kesalahan menjual barang pada harga lebih tinggi berbanding harga kawalan dalam media cetak dan elektronik. Langkah ini dijangka mampu memberi peringatan kepada peniaga.

Di samping itu senarai harga barangan kawalan itu juga perlu disemak dari masa ke semasa. Pastinya kini kerajaan mempunyai perangkaan tentang kadar permintaan dan penawaran untuk setiap barang kawalan tersebut. Maklumat itu boleh atau mungkin telah dikongsi dengan agensi lain bagi memastikan penyelarasan dari segi permintaan dan penawaran barangan serta harga di pasaran dapat dibuat dengan tepat dan menyeluruh. Kepentingan memastikan barangan dijual mengikut harga yang ditetapkan adalah penting kerana majoriti rakyat tinggal di luar bandar dan kebanyakan mereka tidak punya kesempatan atau peluang untuk membeli barang keperluan di pasar raya-pasar raya besar tersebut. Kalau pendekatan ini tidak digembeling maka penderitaan rakyat pasti akan berpanjangan.

Kad Kredit

Jika dilihat dari perspektif cara rakyat berbelanja mungkin beberapa langkah wajar diberi perhatian. Kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan semakin ramai rakyat menanggung beban hutang dan ada yang sampai ke tahap muflis. Gejala ini amat wajar diberi perhatian kerana perancangan kewangan yang lemah akan memusnahkan ekonomi individu, keluarga, bangsa dan negara. Berbelanja di luar kemampuan pastinya membawa permasalahan ini. Krisis subprima yang meletakkan AS dan dunia di ambang kemelesetan ekonomi jelas menunjukkan bahawa sikap suka berhutang iaitu melebihi kemampuan kewangan sebenar adalah sangat berbahaya.

Dalam konteks penggunaan kad kredit di Malaysia yang bagaikan menjadi trend yang melambangkan status dan gaya hidup terutamanya di kalangan golongan muda telah meningkatkan jumlah individu muflis akibat penggunaannya kepada 1873 orang pada 2007. Dilaporkan tunggakan pinjaman kad kredit mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu dan sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Kad kredit adalah ah long elektronik. Kadar faedah yang agak tinggi, sekitar 18 peratus setahun seringkali membuatkan pengguna terbeban terutamanya buat mereka yang tidak berdisiplin dalam membuat pembayaran. Seseorang itu mungkin perlu memiliki kad kredit jika ianya hanya untuk kegunaan semasa kecemasan, membuat transaksi di Internet atau apa juga aktiviti berkaitan kewangan dan sewajarnya berperanan sebagai perantara sementara. Jika tidak ada kemungkinan sedemikian, maka adalah lebih baik tidak memilikinya.

Di samping itu, langkah pencegahan dengan mengenakan syarat-syarat permohonan kad kredit yang lebih ketat wajar dilaksanakan terutamanya dalam konteks persekitaran ekonomi hari ini. BNM mungkin perlu menyemak kembali syarat-syarat yang diguna pakai sekarang. Kerakusan pihak bank mempromosi kad kredit ini amat jelas kerana kad tersebut mudah diperoleh kerana mereka menggunakan ejen-ejen pemasaran yang diragui pengetahuan kewangannya untuk tujuan mempromosi kad kredit mereka.

Apa yang dapat dilihat, tiada langsung aspek nasihat tentang cara penggunaan, kebaikan dan keburukan penggunaannya. Ejen-ejen ini ini lebih cenderung mengejar komisen untuk setiap pelanggan yang berjaya dipengaruhi. Senario ini adalah perkembangan yang sangat tidak sihat dalam persekitaran ekonomi seperti hari ini.

BNM mungkin perlu lebih bertegas kerana peningkatan kos sara hidup dewasa ini mungkin akan menarik lebih ramai individu ingin memiliki atau menambah bilangan kad kredit mereka. Kebebasan memiliki kad kredit tanpa had juga amat membimbangkan kerana pada kebiasaannya setiap individu mempunyai dua atau lebih kad kredit. Apa akan berlaku jika individu itu menggunakan kesemua kadnya dan gagal menjelaskan hutangnya. Oleh itu, tindakan tegas dan semakan semula kelayakan memohon kad kredit adalah diperlukan kerana langkah sedemikian mampu membantu sistem kewangan dan ekonomi negara terus berada di landasan betul.

Dengan kata lain, langkah-langkah mengenal pasti dan usaha untuk meningkatkan daya tahan ekonomi individu, bangsa dan negara harus digembeling secara komprehensif. Masalah kelembapan ekonomi ini tidak harus ditangani oleh satu golongan sahaja. Dengan kata lain institusi kerajaan dan swasta, penguasa dan rakyat jelata, peniaga dan pengguna harus memainkan peranan secara positif iaitu bersama-sama membentuk persekitaran ekonomi domestik yang kondusif dan kukuh. Daya tahan ekonomi sesebuah negara terletak di tangan rakyatnya.

Seluruh rakyat Malaysia wajar bersatu dan melihat kelembapan ekonomi hari ini sebagai satu peluang untuk memperbetul, membina dan mengukuhkan asas ekonomi negara ke tahap lebih baik lagi kerana dengan komitmen sedemikian Malaysia mampu mendepani cabaran kemelesetan eokonomi yang sedang melanda dunia kini.