Thursday, January 26, 2012

Tolak rancangan REHDA

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) agar status hartanah lot bumiputera yang gagal dijual ditukar secara automatik kepada bukan bumiputera perlu ditolak.

Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, ia penting bagi menjaga kepentingan pemilikan bumiputera terhadap aset di kawasan-kawasan strategik di negara ini.

Katanya, dalam tempoh jangka panjang, cadangan tersebut boleh memberi kesan negatif kepada sosioekonomi negara dan ia hanya meminggirkan lagi golongan bumiputera daripada arus pembangunan.

"REHDA tidak boleh hanya memikirkan faktor untung rugi ahli mereka semata-mata, mereka sewajarnya berfikir jauh mengenai sosioekonomi di negara ini dan keperluan masyarakat bumiputera memiliki aset-aset strategik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Presiden REHDA, Datuk Seri Michael K C Yam mencadangkan status hartanah lot bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju.

Haim Hilman berkata, memandangkan harga hartanah terutamanya di kawasan Lembah Klang melambung begitu tinggi, beliau mencadangkan agar agensi-agensi kerajaan serta dewan-dewan perniagaan Melayu membentuk dana bagi membeli aset tersebut dalam menjaga kepentingan masa hadapan.

Beliau turut mencadangkan kerjasama agensi kerajaan serta pemaju-pemaju perumahan untuk membentuk mekanisme yang membolehkan orang ramai melihat secara online lot-lot bumiputera yang tidak terjual bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

Sementara itu, Pengerusi Institut Perniagaan Beretika Malaysia, Dr. Zainal Abidin Abd. Majid berkata, polisi sedia ada perlu dikekalkan kerana golongan bumiputera tidak mempunyai kuasa beli tinggi berbanding kaum-kaum lain.

"Ketulusan dalam perkara ini juga perlu diberi keutamaan kerana saya sendiri pernah pergi ke sebuah majlis pelancaran projek perumahan yang mana lot-lot bumiputera dimaklumkan telah habis dijual.

"Perkara ini mesti ada panel yang melibatkan agensi kerajaan serta NGO (pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan) untuk memantau secara serius masalah yang berlaku dan melindungi hak bumiputera," katanya.

Usaha Terbaik Kerajaan Bantu Rakyat

Utusan Malaysia
Sabtu: 14.1.2012

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Ahli-ahli ekonomi menyifatkan usaha kerajaan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) sebagai inisiatif terbaik setakat ini dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Menurut mereka, langkah kerajaan mewujudkan Sara 1Malaysia tepat pada masanya, sekali gus merealisasikan impian rakyat berpendapatan rendah untuk menabung.

Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, mereka yang layak menyertai skim itu diharap tidak melepaskan peluang membuat pelaburan kerana pulangannya dijamin kerajaan.

Katanya, walaupun terpaksa membayar pinjaman daripada institusi kewangan terpilih melalui skim itu, rakyat masih menikmati lebihan pulangan daripada program tersebut.

''Saya menganggap program Sara 1Malaysia ini adalah yang terbaik daripada program yang pernah diperkenalkan sebelum ini dan sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat berpendapatan rendah.

''Akhirnya, hasrat mereka ini untuk membuat pelaburan masa depan menjadi kenyataan melalui program Sara 1Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Sara 1Malaysia bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dengan jaminan pulangan antara RM5,000 hingga RM13,000 selepas lima tahun.

Selain itu, menurut Haim Hilman, usaha kerajaan itu mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi negara berikutan peningkatan kuasa beli yang lebih besar dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Beliau turut mengesyorkan agar kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada isi rumah yang berkelayakan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, usaha kerajaan itu dianggap terbaik dan murni demi memastikan rakyat berpendapatan rendah tidak terkecuali membuat pelaburan.

Namun, katanya, pelaksanaan Sara 1Malaysia perlu dijelaskan secara terperinci bagi mengelak kekeliruan pelbagai pihak terutama rakyat sendiri,

''Usaha ini satu inisiatif yang baik, namun saya bimbang jika rakyat tidak diberi penjelasan terperinci berhubung pelaksanaannya akan ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan pula dan akhirnya program ini gagal mencapai matlamatnya,'' katanya.

Pandangan itu turut disokong Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof. Amir Baharuddin yang menyifatkan inisiatif kerajaan itu mampu meningkatkan pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, rakyat yang disasarkan dalam skim ini tidak perlu bimbang dengan sebarang risiko kerugian memandangkan ia dijamin kerajaan, malah menjanjikan pulangan tetap setiap bulan.