Monday, December 19, 2011

Antara keuntungan dan ekonomi bangsa

Isnin (19.12.2011)

BAGI pemilik sesebuah syarikat, entiti atau organisasi, pembelian dan penjualan pegangan saham syarikat mungkin sesuatu yang biasa kerana berasaskan faktor untung rugi berniaga.

Oleh itu, tidak menghairankan aktiviti jual beli saham dan pegangan syarikat tempatan sama ada yang kecil atau besar tidak dihalang dengan harapan ia akan membangunkan syarikat berkenaan dan ekonomi negara.

Namun, apabila beberapa syarikat besar dijual, persoalan pasti timbul di kalangan rakyat biasa sama ada syarikat itu dijual kerana rugi dan gagal diuruskan atau kerana untung mudah semata-mata?

Tindakan pihak pengurusan dan pemegang saham yang menjual syarikat berkenaan kepada pihak asing pula membuatkan sesetengah pihak bimbang akan kesannya ke atas pegangan kuasa ekonomi negara kelak.

Antara penjualan pegangan yang menarik perhatian pemerhati dan rakyat negara ini adalah penjualan Permanis Sdn. Bhd. (Permanis) yang menghasilkan minuman seperti Pepsi, Mirinda, 7-Up, Gatorade, Lipton, Tropicana, Evervess dan juga jenama minumannya sendiri seperti Chill, Excel, Frost, Bleu dan Shot.

Anak syarikat milik C.I. Holdings Bhd. itu dijual kepada Asahi Group Holdings Ltd. dari Jepun dengan harga pembelian RM820 juta secara tunai, mewakili 70 juta saham Permanis.

Selain itu, 65 peratus kepentingan Esso Malaysia pula dijual Exxonmobil Corporation kepada San Miguel Corporation (SMC) dari Filipina walaupun mendapat tawaran daripada syarikat tempatan, Boustead Holdings Bhd.

Antara alasan penjualan diputuskan kepada SMC itu adalah kerana syarikat Filipina itu sahaja yang mengemukakan rancangan untuk melabur dan mengendalikan Loji Penapisan Port Dickson untuk jangka panjang.

Di ketika ramai pihak masih cuba meneruskan perjuangan ekonomi bumiputera yang masih jauh dari sasaran pegangan 30 peratus kek ekonomi negara, penjualan entiti besar perniagaan yang diutamakan kepada syarikat asing daripada syarikat tempatan menggusarkan ramai pihak.

Terkini, penjualan sejumlah besar saham KFC Holdings Bhd. (KFC) dan QSR Brands Bhd. (QSR) yang ditentang ramai pihak selama ini mungkin diteruskan sementara Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) pula berhasrat untuk melupuskan pegangannya dalam Proton Holdings Bhd. (Proton).

Apa yang dibimbangi ramai adalah kepentingan rakyat tempatan terutamanya pegangan ekonomi bumiputera dalam syarikat- syarikat utama ini akan semakin terhakis sehingga akhirnya sebahagian besar perniagaan dan ekonomi negara dikawal entiti asing.

Adakah atas alasan 'bisnes' dan keuntungan, mana-mana syarikat tempatan boleh dijual kepada sesiapa sahaja termasuk orang luar asalkan mereka menawarkan harga paling tinggi?

Pensyarah Kanan Kuliyyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat pilihan melepaskan pegangan syarikat tempatan perlu dilihat kepada punca penjualan sama ada demi keuntungan semata-mata atau kerana beban hutang mahupun menarik pelaburan asing.

"Ada syarikat yang sememangnya tiada pilihan kerana menanggung rugi besar dan terpaksa melepaskan pegangan mereka dalam syarikat.

"Secara mikro, ini akan meletakkan beban hutang kepada pihak yang mengambil alih, membawa masuk kepakaran luar, meningkatkan daya saing dan menjamin pekerja syarikat terus mempunyai pendapatan bulanan," katanya.

Namun secara makro, beliau bimbang penjualan kepada syarikat asing akan mendedahkan negara kepada masalah lebih besar kelak kerana sikit demi sedikit ekonomi negara akan dipegang orang luar.

"Masalah utama adalah jika tiada syarat mengekalkan tenaga kerja tempatan dan pemilikan terhadap aset syarikat terutamanya tanah.

"Jika pihak asing mempunyai pegangan dalam syarikat besar yang menggaji beribu- ribu pekerja, mereka juga boleh mengugut untuk menarik balik pelaburan demi mendapatkan sesuatu yang menguntungkan mereka," ujarnya.

Tambah beliau, masalah dari sudut kedaulatan akan timbul apabila sejumlah besar aset dan tanah dalam negara dipegang individu atau syarikat asing dan jika mahu dibeli kembali tentu mahukan harga yang tinggi.

Zaharuddin lebih cenderung ke arah kaedah di Arab Saudi yang hanya membenarkan orang tempatan membeli tanah sementara individu atau syarikat asing cuma boleh menyewa atau menguruskannya secara kontrak.

"Penjualan pegangan syarikat juga bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan hutang, menambah modal atau mendapatkan untung.

"Dalam standard di Malaysia, sukuk Islamik merupakan antara pilihan terbaik di mana pengurusan syarikat boleh mendapat jumlah kewangan yang diperlukan tanpa perlu melepaskan aset atau pegangan syarikat," jelasnya.

Menurutnya lagi, langkah itu lebih baik berbanding melepaskan terus pegangan yang sukar diperolehi kembali kerana aset berkenaan akan dikembalikan apabila sampai tempoh matangnya (tenor).

Bagi pensyarah kanan pengurusan strategik, Kolej Perniagaan UUM, Dr. Haim Hilman Abdullah, semuanya kembali kepada jati diri peniaga, warga korporat dan pemegang saham sama ada hanya mahukan keuntungan peribadi atau memikirkan kelangsungan pegangan ekonomi untuk generasi akan datang.

"Prinsip situasi ini senang sahaja, melepaskan lebih mudah daripada membina. Bagi saya, kita perlu cari kekayaan bukannya dengan cara singkat tetapi melihat secara menyeluruh sudut positif dan negatif terutama sekali dalam jangka panjang.

"Apa yang patut menjadi amalan terutamanya di kalangan peniaga bumiputera bukanlah menjual apa yang dimiliki tapi mengekalkan dan membangunkannya selain berusaha menambah apa yang dimiliki dengan membeli pegangan pihak lain pula," tegasnya.

Beliau yang kecewa dengan mentaliti sesetengah usahawan bumiputera yang menjual pegangan ekonomi dalam konteks keuntungan peribadi sedangkan perbuatan itu umpama pengkhianatan kepada bangsa dan negara sendiri apabila individu semakin kaya tetapi pegangan ekonomi bangsanya makin luntur.

"Orang lain yang mendapat pegangan dalam syarikat atau perniagaan tidak akan melepaskannya lagi malahan berusaha membangun dan mengembangkan ia dari satu generasi ke satu generasi.

"Ahli korporat bumiputera juga perlu faham yang membangunkan perniagaan dan meningkatkan pegangan mengambil masa. Jangan pula ambil langkah mudah menjual pegangan untuk untung segera tanpa mengira kesan jangka panjang," katanya.

Tambahnya, pegangan ekonomi seorang ahli korporat itu juga tidak boleh dianggap sebagai pemilikan peribadi individu sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada pemilikan bangsa dan negara.

Walaupun bercanggah dengan konsep pasaran terbuka, Haim Hilman tetap berharap sebarang bentuk pegangan bumiputera yang ingin dilupuskan dapat dikekalkan dalam tangan orang bumiputera juga jika benar-benar mahu melihat peningkatan pegangan ekonomi bangsa sendiri.

"Penjualan atau pengambilalihan itu perkara biasa dalam pasaran terbuka tetapi kita tidak boleh terlalu terbuka kerana milikan ekuiti bumiputera dalam jangka panjang perlu juga diberi perhatian.

"Segala bentuk jualan kepada pembeli lain terutamanya syarikat asing akan memberi implikasi besar dalam realiti sebenar kekuatan dan kelangsungan ekonomi bumiputera," ujarnya.

Beliau juga berharap tumpuan diberikan kepada meletakkan orang yang berkemampuan di kedudukan yang betul agar syarikat dapat diuruskan dan dimajukan ke tahap tertinggi.

"Pemimpin dalam entiti perniagaan adalah paling utama disusuli strategi perniagaan yang mantap. Jika ada masalah, tengok dahulu di mana lopongnya dan betulkan, jangan ambil jalan singkat dengan menjual sesuatu perniagaan yang boleh menjana pendapatan besar jika diuruskan dengan baik," katanya.

Haim Hilman juga berharap pelbagai agensi, pertubuhan dan persatuan yang menjaga ekonomi bumiputera lebih proaktif dengan memantau urusniaga jual beli dan turut serta sebagai penasihat dan pembimbing agar pegangan bumiputera dalam entiti berkenaan dapat dikekalkan.

"Janganlah sampai menteri dan kerajaan perlu campur tangan. Kerajaan tidak boleh dilihat mencampuri urusniaga jual beli pegangan kerana itu akan dianggap bertentangan dengan pasaran terbuka dan dilihat pelabur asing sebagai melanggar rancangan transformasi ekonomi," jelasnya.