Friday, November 18, 2011

Langkah mengurangkan beban rakyat

PEMEROLEHAN aset dan liabiliti PLUS Expressways Bhd. (PEB) oleh UEM Group Bhd. (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) nampaknya membawa khabar gembira kepada pengguna.

Ini berikutan persetujuan UEM dan KWSP untuk mengurang kenaikan tol di empat lebuh raya kendaliannya pada kadar lima peratus setiap tiga tahun bermula 2016 berbanding perjanjian asal kenaikan antara 10 hingga 25 peratus setiap tiga atau lima tahun.

Empat lebuh raya berkenaan adalah Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Link Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (KLBK).

Mengikut perjanjian asal kenaikan tol PLUS adalah 10 peratus setiap tiga tahun, ELITE (10 peratus setiap tiga tahun), Linkedua (25 peratus setiap lima tahun) dan KLBK (15-25 peratus setiap lima tahun).

Dalam pada itu, terdapat khabar gembira lain khususnya penduduk Pulau Pinang dan mereka yang sering berkunjung ke negeri itu berikutan tiada kenaikan kadar tol Jambatan Pulau Pinang sehingga 2038.

Kenaikan sepatutnya dilakukan pada kadar 10 peratus setiap lima tahun. Kadar yang dikenakan ke atas kenderaan kelas dua di jambatan itu kini sebanyak RM7, yang mana kadar tolnya kekal sejak dibuka pada 1985.

Kenaikan setiap tiga tahun itu juga hanya akan bermula pada 2016, selaras dengan pembekuan kenaikan kadar tol bagi kesemua lebuh raya sehingga 2015 yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011, Oktober tahun lalu.

Untuk mengetahui sejauh mana penjimatan yang akan diperoleh pengguna, kita perlu membuat sedikit congakan iaitu kenaikan lima peratus setiap tiga tahun selepas 2015 adalah bersamaan dengan 1.7 peratus setahun. Kenaikan itu adalah di bawah kadar purata inflasi negara bagi tempoh tiga tahun iaitu 2.6 peratus setahun.

Sebagai contoh, kadar tol perjalanan dari Jalan Duta ke Ipoh Selatan ketika ini ialah RM26.50. Berdasarkan kiraan kenaikan lima peratus bermula 2016, kenaikan kadar tol untuk perjalanan berkenaan hanya meningkat RM1.30 kepada RM27.80 berbanding mengikut perjanjian konsesi lama iaitu jika peningkatan 10 peratus, kenaikannya ialah sebanyak RM2.60 kepada RM29.10.

Nampaknya, kesungguhan UEM dan KWSP yang kini dalam proses mengambil alih PEB membuktikan bahawa syarikat-syarikat besar telah menghayati gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dibawa oleh Najib.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah yang mengulas pengumuman terbaru itu berkata, sudah sampai masanya syarikat korporat beralih daripada matlamat untuk mendapat keuntungan sebanyak mungkin kepada matlamat membantu rakyat supaya tidak terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat.

''Dalam isu kenaikan tol, pengguna tidak akan terbeban sekiranya kadar peningkatan dilakukan secara berperingkat dan pada kadar munasabah serta bagi tempoh yang panjang.

''Nampaknya, sudah terdapat usaha awal ke arah ini yang melibatkan empat lebuh raya terbabit dan Jambatan Pulau Pinang. Saya berharap langkah yang 'berjiwa besar' ini dicontohi syarikat konsesi lebuh raya lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menyambut baik pengumuman Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif UEM, Datuk Izzaddin Idris mengenai persetujuan syarikat itu dan KWSP untuk menyemak semula syarat perjanjian konsesi tol supaya ia adil kepada kerajaan dan pengguna.

''Saya difahamkan semakan semula itu membolehkan kerajaan memperoleh penjimatan sehingga RM6.5 bilion kerana tidak perlu membayar pampasan kepada PEB," katanya.

Mengikut perjanjian konsesi tol lama, kerajaan perlu membayar pampasan tertunggak berjumlah RM2.9 bilion dan pampasan pembekuan kenaikan tol selama lima tahun sehingga 2015 berjumlah kira-kira RM3.6 bilion kepada PEB.

Beliau berkata, langkah UEM dan KWSP melupuskan pampasan tertunggak dan pampasan pembekuan kenaikan tol selama lima tahun dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan.

''Apabila beban kewangan dapat dikurangkan ia mampu mengurangkan defisit negara dan sekali gus memberi manfaat kepada kesemua rakyat secara keseluruhan," katanya.

Tambah beliau, semakan semula syarat perjanjian konsesi telah mewujudkan situasi menang dan menang.

''Keuntungan yang mungkin tidak sebanyak seperti sebelum ini masih membolehkan syarikat menampung kos penyelenggaraan lebuh raya kira-kira RM800 juta setahun dan membuat bayaran kepada pemberi pinjaman," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berharap semua syarikat konsesi lebuh raya lain turut mencontohi langkah UEM dan KWSP untuk menyemak semula syarat perjanjian konsesi tol.

''Saya berpendapat masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan termasuk memastikan kenaikan kadar tol setiap tiga atau lima tahun turut mengambil kira jumlah trafik di laluan lebuh raya terbabit.

''Pada waktu sekarang kita mendapati walaupun jumlah trafik telah meningkat berlipat kali ganda berbanding anggaran asal, kadar kenaikan tol tetap diteruskan seperti yang diputuskan dalam perjanjian," katanya.

''Penyelesaian terbaik adalah untuk syarikat terbabit berkongsi keuntungan dengan rakyat termasuk mengurangkan kenaikan kadar tol atau tidak menaikkan langsung kadar tol seperti yang dilakukan di Jambatan Pulau Pinang," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas langkah pembekuan kenaikan tol sehingga 2015, beliau berkata, ia memang sesuatu yang terbaik berikutan rakyat kini dibebani dengan kenaikan harga barangan dan lain-lain perkhidmatan.

''Nampaknya, Najib telah mengotakan janjinya sejak menjawat jawatan Perdana Menteri untuk memastikan rakyat negara ini mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak dibebani dengan kenaikan kos sara hidup," katanya.

Kepada semua pengguna lebuh raya, anda seharusnya menggunakan kemudahan itu dengan sebaibaik mungkin termasuk memastikan tidak membuang sampah-sarap merata-rata, tidak merosak kemudahan di kawasan rehat dan rawat serta tidak membuat tuntutan tidak munasabah agar lampu jalan dipasang di sepanjang lebuh raya.

Jika ini tidak dipatuhi, kos penyelenggaraan sudah pasti akan meningkat dan syarikat konsesi mempunyai alasan untuk mendesak kadar tol ditingkatkan lagi.

Tuesday, November 1, 2011

Bukan sekadar penjawat awam

Utusan Malaysia (Selasa: 11.10.2011)

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bajet 2012 yang diumumkan kerajaan dilihat sebagai satu aspirasi kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat secara menyeluruh dan bukannya berpihak kepada penjawat awam semata-mata.

Pensyarah Kanan, Pengurusan Strategi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, peruntukan dalam bajet berkenaan harus diteliti sedalam-dalamnya supaya tidak tersalah tafsir.

"Biarpun penjawat awam mendapat kemudahan seperti kenaikan gaji, bonus setengah bulan gaji dan pencen, itu tidak bermakna kerajaan berat sebelah dalam membantu kakitangan swasta.

"Kerajaan juga menyediakan peruntukan yang besar seperti imbuhan RM500, pemansuhan yuran persekolahan dan pembangunan luar bandar.

"Itu jelas menunjukkan kerajaan prihatin dan

bersungguh untuk mengurangkan beban rakyat tanpa mengira penjawat awam atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan dengan dakwaan segelintir pihak yang berpendapat Bajet 2012 yang diumumkan Jumaat lalu lebih berpihak kepada kakitangan awam.

Bagaimanapun, Haim Hilman menegaskan, kerajaan perlu merangka satu pelan strategi untuk menetapkan gaji minimum di sektor swasta.

"Tangga gaji minimum ini perlu bagi mengurangkan beban pekerja swasta, justeru itu satu kajian yang komprehensif perlu dilakukan.

"Itu kerana ada beberapa sektor yang dikuasai oleh warga asing dan sekiranya ia dilaksanakan akan menimbulkan masalah lain apabila aliran wang keluar bertambah dan ia nyata akan menguntungkan pekerja asing," ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, masyarakat harus melihat gambaran bajet secara keseluruhan dalam membuat kesimpulan.

"Sebenarnya, jika dilihat pada bajet-bajet sebelum ini, ia lebih menguntungkan sektor swasta.

"Pembangunan projek koridor niaga dan pembangunan yang dilakukan kerajaan membuka lebih banyak peluang untuk golongan swasta berbanding kerajaan," jelasnya.

Beliau juga menyifatkan Bajet 2012 adalah bajet transformasi dalam usaha kerajaan membawa Malaysia menuju negara maju sekali gus menjaga kebajikan rakyat kelas menengah dan kelas bawahan.

Belum terlambat kerajaan 'selamatkan' Esso

Utusan Malaysia (Selasa: 13.9.2011)

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Masih belum terlambat untuk kerajaan melakukan sesuatu atau 'campur tangan' dalam usaha menyelamatkan Esso Malaysia Berhad (Esso) daripada jatuh kepada syarikat luar.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pastinya boleh menawarkan satu penyelesaian terbaik bagi memastikan syarikat tempatan mampu menguasai saham di dalam syarikat minyak itu.

''Meskipun kerajaan terikat dengan dasar keterbukaan atau liberalisasi ekonomi, ia juga wajar mengambil kira kepentingan syarikat bumiputera terutama dalam mengelak adanya unsur monopoli oleh syarikat asing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi penjualan 65 peratus pegangan dalam syarikat dagangan petroleum tersenarai, Esso oleh ExxonMobil International Inc. (ExxonMobil) kepada syarikat minuman keras Filipina, San Miguel Corporation (SMC).

Penjualan itu mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak yang mahukan kepentingan syarikat minyak tersebut dijual kepada syarikat tempatan yang berminat antaranya Boustead Holdings Berhad yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Azwanddin menambah, penjualan kepentingan Esso kepada syarikat asing menutup peluang usahawan bumiputera untuk berkembang dalam sektor rantaian minyak termasuk peruncitan.

Ini kerana katanya, adalah sesuatu yang mustahil bagi syarikat asing berkongsi peluang perniagaan apatah lagi yang berprofil tinggi seperti sektor minyak dan peruncitan dengan usahawan tempatan dan bumiputera.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, penjualan saham Esso kepada syarikat asing wajar menjadi pengajaran berguna kepada negara bahawa perlu ada satu perancangan jelas dalam pengambilalihan perniagaan yang strategik.

Katanya, satu jawatankuasa khas di peringkat kerajaan perlu ditubuhkan bagi mengenalpasti syarikat tempatan yang berpotensi mengambilalih syarikat berprestasi tinggi bagi memastikan ia tidak terlepas kepada pihak luar.

''Malangnya kita tidak ada pendekatan seperti itu ketika ini dan ia merupakan satu keperluan kerana meskipun ekonomi negara menuju ke arah liberalisasi, kita juga perlu profesional dalam menjaga kepentingan yang strategik," katanya.

Malaysia destinasi pilihan syarikat gergasi

Utusan Malaysia (Jumaat: 9.9.2011)

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Malaysia terus menjadi destinasi pilihan bagi syarikat gergasi dunia untuk menanam modal sekali gus membuktikan keyakinan mereka kepada kestabilan ekonomi, politik dan sosial di bawah pemerintahan kerajaan sekarang.

Terbaru, syarikat gergasi Jerman, Bosch mengumumkan merancang membina kilang solar panel di negara ini selepas syarikat pengeluar telefon bimbit pintar Blackberry, Reseach In Motion (RIM) memilih Malaysia untuk mendirikan kilangnya.

Keyakinan dan pemilihan Malaysia sebagai 'lubuk' pelaburan oleh beberapa syarikat antarabangsa itu akhirnya mengundang rasa tidak puas hati negara jiran khususnya Indonesia sebagaimana disuarakan Badan Penyelarasan Penanaman Modal (BKPM) Indonesia.

Ketua BKPM, Gita Wirjawan berkata, pihaknya kesal apabila RIM memilih Malaysia sebagai pusat pengeluaran sedangkan penjualan Blackberry di negara terbesar di Asia Tenggara itu adalah empat juta unit setahun berbanding 400,000 unit di negara ini.

Dalam kes Bosch pula, beliau mencadangkan kerajaan Indonesia mengenakan tindakan bukan insentif ke atas syarikat tersebut kerana memilih Malaysia sedangkan hasil pengeluaran dari kilang di Malaysia itu akan dijual di Indonesia.

"Mengapa mereka memilih untuk membina di Malaysia," soal Gita sebagaimana dipetik dari portal berita berbahasa Inggeris, http://www.thejakartaglobe.com, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan oleh syarikat gergasi antarabangsa, penganalisis ekonomi tempatan, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kerana kerajaan mempunyai dasar yang jelas.

Katanya, transformasi yang dilaksanakan kerajaan khususnya dari sudut ekonomi seperti memperkenalkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) banyak menyakinkan pelabur asing untuk menanam modal di negara ini walaupun ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

"Semua transformasi ini sebenarnya memberi kelebihan yang cukup besar kepada kita berbanding negara serantau. Walaupun langkah itu belum berjaya sepenuhnya, tetapi hasil langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan telah dapat kita lihat dan rasai pada hari ini.

"Ia terbukti apabila RIM dan Bosch memilih Malaysia, tetapi untuk memastikan transformasi ini berjaya sepenuhnya rakyat perlu memberi sokongan. Ini kerana secantik mana pun sesuatu dasar itu digubal, jika rakyat tidak memberi sokongan, ia tidak berjaya," katanya.