Sunday, July 12, 2009

ASM: Jangan jual kuota bumi

Oleh ainul asniera ahsan
ainul.ahsan@utusan.com.my
13.07.2009

KUALA LUMPUR 12 Julai - Permodalan Nasional Berhad (PNB) didesak supaya tidak mengambil jalan singkat menjual unit Amanah Saham Malaysia (ASM) kuota bumiputera yang masih gagal dilanggani kepada pelabur bukan bumiputera.

Tindakan itu bukan hanya tidak membantu penyertaan bumiputera dalam industri unit amanah saham tetapi bakal meluaskan lagi jurang pemilikan ekuiti kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Sebaliknya, PNB disaran lebih kreatif termasuk menggunakan pengaruh 'paksaan' bagi menarik penyertaan bumiputera melanggan unit-unit yang ditawarkan.

Pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya mempersoalkan tindakan PNB itu sambil mendakwa tindakan itu sudah menyimpang daripada matlamat asal penubuhan firma pelaburan terkemuka itu.

Menurut beliau, PNB ditubuhkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dan meskipun DEB sudah tiada tetapi rohnya masih kuat khususnya bagi kaum Melayu.

''Cadangan PNB ini bukan sahaja tidak membantu tetapi melebarkan lagi jurang pemilikan ekuiti kaum Melayu dengan kaum-kaum lain.

''Saya tidak nampak PNB akan mengalami kerugian sekiranya kuota ASM untuk bumiputera masih gagal dihabiskan.

''Dan, situasi ini juga menunjukkan PNB masih belum cukup berjaya untuk menarik penyertaan kaum bumiputera melabur,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kelmarin bahawa PNB akan menjual kuota bumiputera bagi unit ASM kepada kaum lain sekiranya dana itu masih tidak mendapat sambutan di kalangan bumiputera.

ASM yang mempunyai saiz dana 3.3 bilion unit menyaksikan kuota kaum Cina habis dilanggan sepenuhnya manakala kuota India pula semakin hampir dilanggani sepenuhnya.

Hamzaid bimbang sekiranya kuota unit ASM itu mula dibuka kepada semua, tidak mustahil pendekatan yang sama akan digunapakai kepada unit-unit amanah lain juga.

Hamad Kama Piah juga berkata, selain ASM, terdapat dana lain seperti unit Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Didik, Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Nasional 2 yang masih lagi belum habis dilanggani bumiputera.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid yang tidak menyetujui langsung langkah itu, berkata PNB tidak seharusnya ketandusan idea untuk menarik penyertaan bumiputera melanggan unit-unit amanah yang dijualnya.

Jelasnya, sebagai sebuah firma yang gah, PNB tidak boleh sekadar menjual produk tetapi juga perlu mempunyai kepakaran memasarkan produk-produknya khusus kepada golongan bumiputera.

''PNB tidak boleh berterusan mengguna pakai pendekatan yang berhati-hati kerana tindakan seumpama itu tidak membantu meningkatkan kefahaman atau menarik penyertaan kaum bumiputera.

''Sebab itulah, kaum bumiputera masih kurang memahami industri unit amanah dan apabila pemahaman kurang, inilah yang terjadi (kurang penyertaan bumiputera),'' jelas beliau.

Penganalisis ekonomi tempatan, Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid juga tidak setuju dengan pendekatan yang bakal diambil PNB kerana dianggap sebagai liberal dan mampu menjejaskan matlamat asal penubuhannya.

Katanya, PNB yang kini berusia 30 tahun sepatutnya mengakui hakikat bahawa kaum bumiputera masih lagi terkebelakang dalam aspek kuasa beli kerana bangsa itu bukan pemain utama dalam ekonomi negara.

''Dalam konteks sebagai sebuah negara berbilang bangsa memang menjadi satu keperluan memperuntukan kuota-kuota khusus bagi setiap bangsanya.

''Dan kuota itu perlu dihormati termasuklah dalam konteks isu ini,'' ujar beliau.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berpendapat, biarpun masih terdapat dana-dana amanahnya yang lain, cadangan PNB itu seolah-olah meminggirkan kepentingan hak bumiputera.

Jelasnya, meskipun tindakan itu baik untuk pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka pendek tetapi langkah itu seperti menarik balik keistimewaan orang Melayu.

''Dalam memacu ekonomi negara, memang perlu dasar liberalisasi tetapi sekiranya terlalu liberal dalam semua aspek ekonomi, ia akan memberi ancaman kepada kaum bumiputera sebagai kaum majoriti,'' tambahnya.

Haim Hilman berkata, sepatutnya kegagalan PNB menjual apa sahaja produk bagi kuota bumiputera tidak timbul sekiranya PNB mengubah strategi pelaburannya dengan membuka penyertaan kepada entiti yang dikuasai oleh bumiputera.

''Ia tidak setakat kepada Syarikat Milik Kerajaan tetapi juga koperasi, majlis zakat dan pertubuhan milik bumiputera.

''Mungkin dengan cara ini lebih baik daripada tertumpu kepada individu sahaja," katanya.

Saturday, July 11, 2009

SME Corp. Malaysia perlu gigih bangunkan PKS

Utusan Malaysia: 11.07.2009

KUALA LUMPUR 10 Julai - Langkah kerajaan menjenamakan semula Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMIDEC) kepada SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dilihat mampu untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Tokoh-tokoh serta penganalisis ekonomi berpendapat, SME Corp. Malaysia perlu dipimpin oleh golongan professional dan kakitangan yang boleh menunjukkan prestasi.

Seorang tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, mana-mana badan berkanun di negara ini perlu bebas berdikari dan menunjukkan prestasi sekiranya mahu dihargai oleh orang ramai.

''Nama boleh ditukar untuk menunjukkan perbezaan tetapi mereka hendaklah mempunyai kehendak dan semangat untuk membantu golongan pengusaha kecil dan sederhana.

''Golongan ini tidak seharusnya dipinggir semata-mata untuk menjaga kepentingan golongan korporat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ramon menambah, peruntukan lebih perlu diberikan kerajaan untuk disalurkan kepada PKS bagi memfokus penjanaan ekonomi dan perniagaan tempatan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penjenamaan semula SMIDEC untuk membangunkan sektor PKS yang kompetitif dan berdaya tahan dalam menangani krisis ekonomi.

SMIDEC yang kini dikenali sebagai SME Corp. Malaysia dijangka akan memulakan operasi pada Ogos ini.

Ia bakal berfungsi sebagai pusat maklumat rujukan setempat, penyelarasan dasar dan program serta pengurusan data informasi berkaitan PKS.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berkata, penjenamaan semula SMIDEC memerlukan pemantauan yang berterusan bagi memastikan PKS dapat diperkembang secara berkesan.

''Semua kakitangan SME Corp. Malaysia perlu jelas dengan matlamat dan visi yang ingin dicapai oleh organisasi tersebut.

''Mereka perlu ada sifat tanggungjawab untuk membangunkan PKS sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara,'' katanya.

Saturday, July 4, 2009

Memanfaatkan Ekuinas

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (04.07.2009)
rencana@utusan.com.myUtusan

JIKA dilihat kepada hasrat kerajaan, negara hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk mencapai kadar pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus.

Sasaran yang diharapkan menjadi kenyataan pada 2010 itu bertujuan memastikan wujudnya pembangunan dan pengagihan yang seimbang antara etnik dan wilayah di negara ini.

Menjelang 2020 pula iaitu ketika negara mencapai status maju, penguasaan ekuiti di kalangan Bumiputera disasarkan sebesar 40 hingga 50 peratus.

Ke arah itu, kerajaan telah menyusun pelbagai program pembangunan ekonomi bertujuan menarik penglibatan masyarakat Bumiputera. Antara yang memberi implikasi lonjakan besar ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan pada 1970.

Merentasi zaman, intipati dasar DEB yang secara pentadbirannya berakhir pada 1990 terus disuburkan menerusi pelbagai dasar pembangunan negara yang lain. Antaranya Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010), Misi Nasional (2006-2020) dan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia.

Ia diperkemas dengan pelbagai agenda pembangunan sektoral lain yang meneruskan kelangsungan semangat DEB.

Namun sesuatu yang pasti, di sebalik pelbagai usaha yang dilaksanakan, kita masih jauh daripada mencapai sasaran 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera.

Penguasaan ekuiti Bumiputera hanya berjumlah 19 peratus ketika ini juga tidak berganjak sejak 19 tahun lalu.

Selain pegangan ekuiti yang rendah, masyarakat Bumiputera juga jauh terkebelakang dalam penguasaan kekayaan dan pengagihan kek ekonomi negara.

Dalam pemilikan syarikat misalnya, Bumiputera hanya menguasai 20.3 peratus berbanding bukan Bumiputera sebanyak 75.7 peratus. Selebihnya ialah pemilikan asing.

Begitu juga dengan pemilikan bangunan komersial yang mana bukan Bumiputera menguasai sehingga 88.3 peratus berbanding hanya 11.7 peratus oleh Bumiputera.

Perbezaan yang nyata juga dapat dilihat daripada purata pendapatan isi rumah yang mana kaum Bumiputera menjana sekitar RM2,711 berbanding RM4,435 (Cina) dan RM3,456 (India).

Secara keseluruhannya, Bumiputera mewakili kumpulan masyarakat dengan tahap sosioekonomi terendah yang paling besar iaitu kira-kira 76 peratus.

Bukan Bumiputera pula sekitar 23.2 peratus sahaja. Jelaslah. meskipun Bumiputera merupakan kaum majoriti, tetapi mereka merupakan masyarakat ekonomi yang minoriti.

Tidak dinafikan pengenalan dasar dan model ekonomi baru terutamanya DEB berjaya melahirkan masyarakat ekonomi Bumiputera yang berdaya saing.

DEB sendiri adalah cerminan kejayaan dasar kerajaan apabila berjaya melonjakkan penguasaan ekuiti daripada dua peratus ketika ia diperkenalkan kepada 19 peratus ketika ini.

Bagaimanapun, kadar pemilikan ekuiti Bumiputera itu seakan-akan tepu apabila langsung tidak berganjak sejak 19 tahun lalu. Dalam erti kata yang lain, pemilikan ekuiti Bumiputera statik meskipun persekitaran ekonomi domestik dan global mengalami transformasi yang drastik.

Maka di sinilah perlunya satu suntikan baru kepada model ekonomi sedia ada bagi mengubah senario pemilikan ekuiti Bumiputera yang seolah-olah sudah berada pada 'zon selesa' tersebut. Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini misalnya, dilihat mampu menggalas cabaran itu.

Ekuinas merupakan sebuah institusi pelaburan baru dengan modal awal RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Keyakinan terhadap kemampuan Ekuinas turut disuarakan oleh pensyarah kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Sarminah Samad.

Menurut beliau, sebagai sebuah sayap pelaburan alternatif, konsep yang diunjurkan Ekuinas berupaya memacu penglibatan bumiputera dalam perniagaan bermodal besar dan mencabar.

Antaranya sektor pengangkutan dan logistik yang mana selama ini lebih banyak dikuasai oleh bangsa lain.

Penumpuan juga boleh diberikan kepada perniagaan yang sememangnya dikuasai oleh Bumiputera terutamanya dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS) yang kini dijalankan oleh kira-kira 10,000 syarikat Bumiputera. Bagaimanapun Sarminah menekankan, Ekuinas harus mempunyai konsep atau kerangka yang jelas terutama mencakupi aspek menyeluruh berkaitan perniagaan Bumiputera.

''Ini bagi memudahkan ukuran dibuat ke atas keberkesanan atau kegagalan pelaksanaannya nanti," ujar beliau.

Pandangan yang serupa turut dikongsi oleh pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah.

Bagi Haim, Ekuinas mampu menjadi platform baru yang boleh digunakan untuk meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera dalam agihan ekonomi negara.

Ekuinas juga bakal memberi manfaat kepada sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi. Antaranya pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Langkah kerajaan membenarkan hak kepentingan asing dalam syarikat-syarikat pembrokeran yang akan ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus juga pada dasarnya mampu merancakkan pasaran saham.

Ini pastinya memberi kesan positif kepada produk derivatif seperti opsyen, bon, kontrak dan sebagainya. Beliau menambah, potensi Ekuinas untuk meningkatkan penguasaan ekuiti Bumiputera juga bergantung kepada kemampuan syarikat yang mana kerajaan melabur di dalamnya.

Iaitu mempunyai ekuiti di dalamnya bersaing secara kompetitif. Untuk itu, kerajaan perlu benar-benar telus dalam mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi.

Langkah pengkategorian syarikat boleh diberi perhatian dengan kerajaan memperuntukkan kuota tertentu bagi setiap kategori tersebut.

Pengkategorian mengikut kaedah-kaedah tertentu seperti modal pusingan, sektor, pasaran dan lain-lain juga memastikan dana Ekuinas tertumpu kepada syarikat mega dan sektor tertentu sahaja.

''Langkah ini dapat memperkemas peranan Ekuinas dalam meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera dalam skop sektor yang lebih luas dan menyeluruh," ujar Haim. Dengan peranan yang dimainkan, Ekuinas tidak dinafikan mampu menjadi platform ekonomi baru yang boleh membantu meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera.

Bagaimanapun pada dasarnya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan terutamanya dalam memastikan syarikat yang dipilih benar-benar mempunyai merit yang unggul.

Kerajaan juga perlu berhati-hati supaya strategi ini tidak memberi keuntungan kepada segelintir Bumiputera sama ada pemilik atau pelabur yang menguasai syarikat. Jika tidak, usaha ini akan disalah tafsir sebagai kaedah baru untuk membantu syarikat kroni.

Kerana itu juga Haim menekankan, kerajaan perlu melihat hakikat sebenar pembinaan kekuatan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh. Iaitu menerusi pembabitan setiap lapisan masyarakat. Tertumpu kepada kumpulan tertentu katanya, hanya akan menyuburkan sistem ekonomi kapitalis yang mana kumpulan kaya akan terus kaya dan dan miskin akan terus miskin.

''Sebaliknya, sistem ekonomi berteraskan keadilan sosial harus menjadi falsafah pembangunan ekonomi negara dan ia amat tidak wajar menjadi retorik semata-mata," ujar Haim.

Wednesday, July 1, 2009

Langkah positif pelaburan, pertumbuhan ekonomi

Utusan Malaysia: 02.07.2009

KUALA LUMPUR 1 Julai - Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) perlu dilihat sebagai langkah positif untuk meningkatkan pegangan bumiputera yang selama ini gagal mencapai matlamatnya.

Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Shawaludin Mohd. Din berkata, semua pihak harus bersikap positif dan tidak mengamalkan sikap terlalu melindungi kepentingan bumiputera sehingga menjadi rintangan kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) juga merupakan satu langkah yang sesuai untuk menarik pelabur asing khususnya dalam era ekonomi global yang lebih terbuka sekarang.

"Ini untuk memberi peluang dan layanan adil kepada pelabur asing yang secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pelabur datang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Ekuinas, institusi pelaburan baru dengan modal awal RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Ia akan menjadi satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, fungsi yang gagal dilaksanakan oleh FIC sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.

Shawaludin memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan meliberalisasi dasar ekonomi negara seperti yang dilakukan negara lain di rantau ini.

Jelasnya, halangan 30 peratus pemilikan ekuiti itu telah menyebabkan pelabur asing tidak berminat untuk datang ke Malaysia dan memilih negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura untuk melabur.

"Kita tidak perlu terlalu mementingkan statistik pencapaian ekuiti pegangan bumiputera yang tidak pernah tercapai selama ini," ujar beliau.

Sebaliknya katanya, apa yang patut difikirkan sekarang adalah pulangan lebih besar melalui peluang pelaburan yang dapat dijana nanti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Ng Kee Leen mengalu-alukan usaha kerajaan meliberalisasikan ekonomi negara dengan membuka lebih peluang kepada pelaburan asing.

Jelasnya, langkah tersebut berupaya meyakinkan pelabur asing terhadap polisi pelaburan negara yang mesra pelabur.

"Ini akan memberi kesan baik kepada semua sektor ekonomi negara termasuk sektor pembinaan," ujarnya.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berkata, penubuhan Ekuinas akan membantu menebarkan taburan ekonomi yang adil kepada masyarakat

Menurut beliau, FIC selama ini tidak menonjol dan dilihat gagal memainkan peranannya.

"Kenapa FIC tidak berjaya? Persoalan ini perlu dikaji dan dijadikan panduan bagi menjayakan pelaksanaan Ekuinas.

"Penubuhan Ekuinas diharap tidak menumpukan kepada meningkatkan ekuiti bumiputera semata-mata tetapi ia perlu menyeluruh untuk meningkat penguasaan ekonomi bumiputera secara global," ujarnya.

Katanya, perancangan yang lebih komprehensif perlu difikirkan bagi memastikan objektif untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dapat dicapai.

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah berhati-hati terhadap pelaksanaan perkara itu agar tidak menjejaskan pegangan ekuiti bumiputera suatu hari nanti.

Mengulas isu sama, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera yang dikatakan tidak meningkatkan ekonomi golongan itu secara menyeluruh.

Menurutnya, pemansuhannya tidak akan memberikan impak kepada ekonomi negara sebaliknya pengenalan Ekuinas akan diaplikasikan untuk menjayakan konsep 1Malaysia bagi menyokong model ekonomi baru.

"Sudah sampai masanya kita mencari satu model ekonomi baru yang benar-benar dapat meningkatkan pembangunan ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

"FIC sebelum ini hanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja. Jika ia masih dikekalkan, ekonomi negara tidak akan berkembang kerana tiada penambahbaikan," jelasnya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan model ekonomi baru seperti Ekuinas adalah penting bagi memberi keuntungan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.