Saturday, January 24, 2009

Pencen: Pekerja Swasta Perlu Diberi Pilihan

Utusan Malaysia

Pencen: Pekerja Swasta Perlu Diberi Pilihan

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Pakar ekonomi meminta kerajaan menyediakan opsyen kepada para pekerja swasta di negara ini sama ada mahu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekali gus atau dalam bentuk pencen yang dibayar setiap bulan.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah itu perlu kerana pencarum mungkin mempunyai perancangan sendiri dalam menentukan kehidupan selepas bersara.

‘‘Jika pencarum ingin mengambil semua simpanan sekali gus selepas bersara, itu terpulang kepada mereka dan pekerja terlibat juga dibenarkan jika mahu menerimanya secara bulanan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat segelintir pencarum yang ingin melaburkan simpanan KWSP mereka ke dalam dana lain termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilihat lebih menguntungkan kerana dividennya lebih tinggi.

Mohd. Fauzi berkata, adalah wajar jika pekerja sendiri yang menentukan pilihan masing-masing dan selepas itu mereka boleh membuat perjanjian dengan KWSP mengenai cara pembayaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam bahawa Kabinet bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan skim pencen bagi pekerja swasta melalui KWSP.

Subramaniam berkata, skim itu akan menjamin pesara sektor swasta mendapat pencen setiap bulan mengikut jumlah caruman di dalam KWSP kerana ketika ini kebanyakan pencarum menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh dua tahun selepas bersara.

Pensyarah Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, pula berpendapat, skim pencen pekerja swasta itu mempunyai kesan positif dan negatifnya.

“Skim itu dilihat dapat membantu pencarum KWSP mempunyai simpanan dalam tempoh lebih panjang selepas bersara kerana hasil kajian yang dilakukan mendapati, ramai pencarum menghabiskan wang KWSP mereka dalam dua tahun selepas memperoleh wang itu,” katanya.

OPR Kini 2.50 Peratus

Utusan Malaysia: 22/01/2009

Oleh Ainul Asniera Ahsan, Daliza Ariffin dan Sarah Nadlin Rohim

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR), penanda aras utama kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus dalam pengurangan yang paling besar pernah diumumkannya.

Kadar OPR baru itu yang menjadikan kos pinjaman lebih murah, juga berada di paras terendah sejak Mei 2004.

Pada masa yang sama, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) turut menurunkan kadar Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga dikurangkan kepada 2.0 peratus daripada 3.5 peratus mulai 1 Februari ini.

Pengumuman itu adalah bertepatan dengan spekulasi penganalisis ekonomi yang meramalkan OPR akan diturunkan sebanyak 50 hingga 75 mata asas pada suku pertama dalam usaha untuk merangsang aktiviti ekonomi.

''Dengan risiko pertumbuhan perlahan, pengurungan OPR dan SRR bertindak sebagai penyokong kepada persekitaran kewangan yang lebih kukuh kepada ekonomi domestik,'' kata kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM di sini hari ini.

Kali terakhir BNM menurunkan kadar OPR adalah pada 24 November tahun lalu, sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus buat pertama kali sejak April 2006 daripada paras 3.50 peratus sebelumnya.

BNM dalam kenyataannya berkata, industri ekonomi utama sedang mengalami kemelesetan dan keadaan ini telah menyebabkan timbulnya risiko yang besar terhadap pertumbuhan global.

''Penguncupan permintaan dan dagangan global serta penurunan harga komoditi dunia telah meninggalkan kesan kepada pendapatan eksport negara-negara rantau, termasuk Malaysia.

''Faktor penguncupan itu telah diburukkan oleh krisis berpanjangan pasaran kewangan dunia,'' katanya.

BNM berkata, penurunan yang ketara dalam ekonomi global dijangka memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Malaysia.

''Kemerosotan nyata dalam permintaan luar negeri telah mengakibatkan penguncupan eksport dan aktiviti pelaburan swasta yang sederhana. Perkembangan ini juga memberikan kesan terhadap keadaan pasaran pekerja.

''Dalam keadaan ini, pelaksanaan segera langkah dasar adalah penting ke arah memastikan ekonomi Malaysia terus mencapai pertumbuhan yang positif pada tahun ini,'' jelasnya.

Berikutan itu, pertumbuhan yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah mengakibatkan inflasi terus berkurangan kepada 4.4 peratus pada bulan Disember 2008.

''Penurunan ini dijangka berterusan berikutan keadaan permintaan yang lebih lemah dan inflasi diimport yang lebih rendah,'' katanya.

Sambil menyatakan sistem perbankan Malaysia terus kukuh, BNM menambah, pihaknya akan terus berusaha ke arah memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada kredit dan penurunan kadar faedah melalui kos pinjaman yang lebih rendah.

Sementara itu, tokoh ekonomi tempatan, Datuk Zainal Aznam Yusof berkata, pengurangan OPR itu semenangnya dijangkakan dalam usaha BNM mengukuhkan kedudukan ekonomi domestik.

Beliau berkata, bank pusat itu telah mengguna pakai secara serentak dasar fiskal dan polisi monetari untuk membantu ekonomi daripada terus terjejas.

''Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara 3.5 peratus tahun ini. Meskipun berdepan kesukaran, penurunan OPR ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan berlakunya pertumbuhan negatif,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berharap penurunan OPR dapat membantu institusi perbankan tempatan menyalurkan pinjaman kepada sektor swasta, sekali gus dapat meningkatkan sentimen pengguna.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali pual menyifatkan penurunan OPR itu mengejutkan kerana kebanyakan penganalisis menjangka penurunan hanya antara 25 hingga 50 mata asas sahaja.

Bagaimanapun, penurunan itu tiada gunanya jika institusi perbankan tempatan begitu selektif dalam memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk tujuan perniagaan.

''Dalam keadaan sekarang kepada peniaga-peniaga tidak kira apa kategori memerlukan aliran tunai untuk menyokong perniagaan.

''Tetapi sekiranya bank mengambil sikap berhati-hati untuk mengeluarkan pinjaman, tidak ada gunanya juga,'' katanya.

Berikutan itu, beliau menyarankan supaya BNM 'turun padang' dan memantau secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh golongan peniaga.

Seorang lagi pakar ekonomi, Haim Hilman berkata, pengurangan OPR adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengelak daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

Katanya, penurunan kadar faedah ini akan meningkatkan keyakinan pengguna untuk memohon pinjaman dan seterusnya bakal memberi kesan kepada sektor yang berkaitan.

''Adalah tidak mustahil bagi BNM menurunkan lagi OPR pada suku kedua atau ketiga tahun ini tetapi ia masih tertakluk kepada perkembangan ekonomi ketika itu,'' jelasnya.

Monday, January 19, 2009

Kemas Kini Sumber Manusia

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (Wartawan Utusan)

20.01.2009

KEMUNGKINAN untuk kira-kira 45,000 pekerja daripada pelbagai sektor perkilangan hilang mata pencarian seperti laporan Kementerian Sumber Manusia kelmarin, sememangnya sesuatu yang sudah dijangkakan.

Malah, kira-kira 14,000 pekerja dari pelbagai sektor terutamanya yang berkait secara langsung dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) lebih dahulu kehilangan pekerjaan awal tahun ini selepas ekonomi dunia terjerumus ke kancah kegawatan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu pastinya bertambah, malah mungkin mencecah sehingga 200,000 hingga 400,000 pekerja seperti yang dibimbangi oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) jika mengambil kira ramalan kelembapan ekonomi sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini.

Kemungkinan itu diburukkan lagi dengan kebanjiran pekerja Malaysia di luar negara, terutamanya dari Singapura yang turut kehilangan kerja dan terpaksa mencari kerja baru di tanah air.

Dalam persekitaran yang menuntut perbelanjaan yang tinggi seperti hari ini, kehilangan punca pendapatan bukanlah satu tekanan yang mudah untuk dihadapi.

Beban kewangan yang mendesak boleh mendorong seseorang untuk bertindak lebih jauh, sehingga tergamak melakukan jenayah semata-mata untuk mencari sesuap nasi.

Justeru, krisis pemberhentian kerja ketika ini tidak wajar dipandang sebelah mata. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai isu perdana yang memerlukan penglibatan semua pihak dalam mencari penyelesaian.

Bagaimanapun ketika berdepan dengan kegawatan ketika ini, sektor swasta tidak sewajarnya mengambil pendekatan mudah dengan membuang pekerja sesuka hati.

Sesebuah syarikat lebih-lebih lagi yang bertaraf internasional pastinya mempunyai pelan atau pakej sokongan untuk menyerap sebaik mungkin risiko kegawatan ekonomi tanpa perlu membuang pekerja dalam jumlah yang besar.

Sekiranya pengurangan pekerja dilihat jalan terakhir untuk mengurangkan kos operasi sekali pun, pekerja asing yang lebih mendominasi peringkat bawahan di sektor-sektor swasta seharusnya diberi keutamaan. Merekalah yang seharusnya diberhentikan kerja dan dihantar pulang dan bukannya menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

Bagi syarikat yang beroperasi 24 jam sehari misalnya, waktu operasi itu mungkin boleh dikurangkan bersama-sama tempoh bekerja dengan gaji yang berpatutan.

Pendekatan itu jauh lebih baik bagi mengelak pekerja kehilangan punca pendapatan secara kekal. Pada masa yang sama, ia boleh memberi peluang kepada pekerja melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Dalam hal ini, kerajaan menerusi agensi berwajib boleh memainkan peranan yang lebih agresif mendekati golongan pekerja dengan skim dan bantuan kewangan tertentu untuk mereka menceburkan diri dalam sektor perniagaan secara kecil-kecilan.

Peluang yang sama juga boleh digunakan untuk menarik minat pekerja swasta terbabit menceburi bidang lain yang berpotensi.

Sebagai contoh di daerah yang terkenal dengan aktiviti pertanian, kerajaan boleh membuka peluang dengan projek-projek yang dirancang dan diusahakan secara berkelompok.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, pensyarah ekonomi di Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah berkata, pihak berwajib terutamanya Kementerian Sumber Manusia perlu menyusun keperluan sumber manusia mencakupi semua peringkat dan lapangan sektor pekerjaan.

Pengemaskinian sumber manusia itu bertujuan mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang terdapat pengurangan. Hakikatnya jika diperhatikan dalam persekitaran kerja yang masih meluas ketika ini, masih terdapat banyak peluang pekerjaan untuk diterokai.

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan rakyat tempatan yang mempunyai sumber kepada peluang pekerjaan itu kerana kekurangan maklumat mengenainya.

Justeru di sinilah perlunya sebuah pangkalan data yang diselenggarakan oleh kerajaan bagi mengenal pasti peluang-peluang pekerjaan yang wujud di seluruh negara.

Pangkalan data yang mirip kepada enjin pencarian kerja itu pula diperluaskan kepada zon-zon yang lebih menyeluruh termasuk di daerah dan bandar di setiap negeri.

"Bagaimanapun pangkalan data ini menuntut kepada komitmen yang tinggi dan menyeluruh daripada agensi kerajaan terutamanya Jabatan Sumber Manusia yang perlu proaktif mendekati industri untuk mencari peluang pekerjaan dan bukan sebaliknya," ujar beliau.

Dalam konteks peranan kerajaan juga, kebimbangan terhadap lebih banyak syarikat yang akan menghentikan operasi perlu ditangani secara menjalin hubungan segera dengan syarikat-syarikat terbabit.

Kerajaan boleh membantu meringankan beban kos menerusi pelbagai insentif seperti pelepasan cukai, suntikan dana dan sebagainya.

Bentuk-bentuk sokongan seperti itu juga perlu diperluaskan tidak hanya kepada syarikat-syarikat kecil, malah syarikat gergasi yang tidak dinafikan turut bergelut untuk mencapai sasaran keuntungan seperti yang diunjurkan.

Jelas Haim, pentingnya intensif secara menyeluruh daripada kerajaan adalah bagi mengelak lebih banyak syarikat terpaksa gulung tikar seterusnya menyaksikan lebih ramai menjadi menganggur.

Pendekatan itu sebenarnya boleh dijadikan strategi serampang dua mata kepada kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan sektor swasta terhadap pekerja asing.

Kerajaan dalam menyalurkan intensif itu perlu mensyaratkan syarikat terbabit mematuhi keutamaan dalam mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja.

Mengikut rekod sehingga tahun lalu, dianggarkan seramai 2.3 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini terutamanya perladangan, perindustrian dan pembinaan.

Pekerja asing ini juga mengisi kira-kira 40 peratus daripada 252,600 peluang kerja baru yang diwujudkan di negara ini setiap tahun, iaitu hampir separuh daripada apa yang seharusnya diisi oleh rakyat tempatan.

Melihat kepada jumlah itu, perlu diakui bahawa limpahan pekerja asing terutamanya dari Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal itu menutup peluang rezeki di kalangan rakyat tempatan.

Justeru, strategi itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan mencapai hasrat mengurangkan jumlah pekerja asing kepada hanya 1.5 juta orang menjelang 2015.

Tempoh yang sukar ini juga boleh digunakan oleh kerajaan dan pihak swasta untuk mencari pendekatan yang sesuai dalam mengatasi polemik kebergantungan sektor swasta kepada pekerja asing.

Isu seperti memilih pekerjaan di kalangan rakyat tempatan serta kos upah buruh murah yang menarik minat sektor swasta kepada pekerja asing perlu dicari penyelesaian yang mampu dipersetujui semua pihak.

Ia bertujuan memastikan pekerja asing tidak lagi kembali mencari rezeki di negara ini selepas berakhirnya kegawatan dan ekonomi rancak semula.

Lebih penting pekerja tempatan juga lebih berminat untuk mengisi peluang pekerjaan yang sebelumnya diisi oleh pekerja asing kerana tawaran gaji yang lebih menarik dan berbaloi.

Namun, dalam sektor pekerjaan swasta yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum, pastinya ada majikan yang tetap berdegil menggaji buruh asing yang murah.

Dalam hal ini, kerajaan terutamanya Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen perlu lebih bertegas dalam isu penguatkuasaan ke atas majikan yang mengingkari undang-undang berkaitan pengambilan pekerja asing.