Sunday, December 14, 2008

Pakar Ekonomi Sambut Baik LPT

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pakar ekonomi yakin penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion mampu memastikan wang royalti minyak negeri itu diuruskan dengan telus dan sekali gus dapat menjana ekonominya.

Pensyarah Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, idea itu amat baik dan bagi memastikan keberkesanannya, ia perlu dilaksanakan dengan telus dan tidak ada pertindihan dalam matlamat utamanya.

''Penglibatan dan pelaksanaan daripada golongan bijak pandai yang tidak terlibat dalam agenda politik adalah perlu bagi memastikan keberkesanan penubuhan LPT.

''LPT merupakan idea yang berwawasan jauh dan bagi melaksanakannya perlu ada golongan berwibawa dalam pengurusan dan kerajaan perlu menjadi pemantau untuk memastikan keberkesanan lembaga tersebut'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan pada prinsipnya telah meluluskan penubuhan lembaga itu untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri tersebut.

Najib berkata, LPT akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

Haim berkata, pemeriksaan daripada badan kira-kira bebas dan audit profesional perlu ada selain meletakkan kepentingan rakyat Terengganu mengatasi segalanya.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berkata, LPT merupakan inisiatif yang baik bagi negeri Terengganu kerana ia merupakan hasil negeri dan mesti dikembalikan kepada rakyatnya.

''Perlu ada tabung yang ditubuhkan untuk menyimpan hasil daripada pelaburan yang dibuat,'' katanya.

Menurutnya, lembaga seperti itu juga perlu diwujudkan di negeri-negeri yang mempunyai sumber petroleum seperti Sabah dan Sarawak kerana ia merupakan inisiatif yang amat baik.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh juga bersetuju dengan penubuhan LPT yang disifatkannya sebagai satu idea baik tetapi perlu dipastikan pelaksanaannya berada di landasan yang betul.

''Bagi memastikan ketelusan LPT, perlu ada badan-badan lain seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang boleh bekerjasama dengannya.

''Pelaburan dana RM10 bilion itu perlu diuruskan dengan baik dan LPT perlu mencontohi Khazanah dan Petronas serta peranan yang dimainkan haruslah sama seperti mereka,'' katanya.

Menurutnya, LPT juga perlu memainkan peranan utama dan tidak hanya sebagai penyumbang dana sahaja

Katanya, kewujudan lembaga itu akan lebih berkesan sekiranya pelaburan yang dibuat ditumpukan pada Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER) dan memberi kesan kepada negeri-negeri Pantai Timur yang lain.

Thursday, December 4, 2008

Renungan 1

Allah S.W.T ada berfirman yang bermaksud :

"DIA menjadikan kamu dari tanah ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci.DIA mengetahui tentang orang yang bertaqwa."
(Surah An-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombangan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Surah Luqman: 18)

Aku berpesan pada diriku dan izinkan aku berpesan untuk dirimu wahai saudara-saudaraku, ingatlah bahawa ibadah yang kita lakukan tidak sekali2 menjamin kedudukan kita di akhirat kelak. Sesungguhnya yang menjadi jaminan kepada kita adalah MARDHATILLAH (keredhaan Allah)..walaupun sebanyak mana dosa yang kita bawa di depanNya nanti, kalau Allah ingin mengampunkan dan sudi memasukan kita ke syurgaNya maka masuklah kita. Saudaraku, kita sebenarnya terlalu kerdil dan miskin segala-galanya disisi pencipta kita, amalan kita terlalu sedikit untuk diperdagangkan bagi 'membeli' syurga Allah. Dengan itu, marilah kita bersama-sama mencari keredhaanNya dengan penuh kesungguhan. Moga-moga di hari penghitungan nanti Allah 'memandang' kita dengan penuh keihsanan dan kasih sayang.. Amin..

Saudaraku, jadilah seperti Imam Syafie, dia memuliakan orang yang lebih tua, kerana dia menganggap mereka itu lebih banyak ilmu dan tinggi ketaqwaan dari dirinya, dan dia juga memuliakan mereka yang lebih muda darinya kerana dia menganggap mereka itu lebih sedikit berbuat dosa darinya..

Renung-renungkanlah..

Wednesday, December 3, 2008

Melayu

USMAN AWANG

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Mendepani Krisis Ekonomi

Mingguan Malaysia: 16.11.2008

Oleh Haim Hilman Abdullah


Krisis ekonomi yang melanda dunia masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat. Tokoh-tokoh ekonomi, kewangan dan ahli politik di seluruh dunia terus berusaha mencari formula terbaik agar krisis kemelesetan ekonomi terburuk yang pernah melanda dunia pada 1930-an tidak berulang kembali. Hakikatnya masyarakat dunia di setiap lapisan sosio-ekonomi mula terasa keperitan bahang krisis ini.

Bermula dengan krisis pinjaman sub prima di Amerika Syarikat (AS) iaitu satu bentuk pinjaman yang merujuk kepada amalan pemberian pinjaman untuk pembelian rumah kepada peminjam yang secara amnya tidak mampu membayar pinjaman mengikut kadar faedah semasa pasaran telah tidak dapat dibendung lagi.

Kegagalan institusi-institusi kewangan AS mengatasi masalah ini membawa kepada peningkatan jumlah keseluruhan pinjaman sub prima ini. Difahamkan pada March 2007 jumlahnya ialah AS$1.3 trilion iaitu meningkat sebanyak 79 peratus berbanding 2006. Kegagalan ini menyebabkan pembiaya utama pasaran kredit iaitu institusi kewangan mengalami kerugian besar. Ada antara mereka bankrap, diambil alih dan memohon bantuan penyelamat 'bail out' daripada kerajaan AS.

Dari aspek kemanusiaan mungkin langkah memudahkan pemberian pinjaman kepada golongan tidak layak sebagai baik tetapi dari segi prinsipnya tindakan tersebut salah dan berisiko tinggi kerana kegagalan mereka membayar kembali pinjaman mengundang padah yang bukan hanya kepada mereka tetapi AS dan dunia.

Hari ini dunia menyaksikan bagaimana kegagalan institusi-institusi kewangan terkenal yang sering dibanggakan oleh barat dan kerap menjadi penanda aras amalan perbankan dunia tersungkur kerana gagal berpegang kepada etika dan prinsip perbankan sebenar. Polisi perbankan yang lemah, longgar dan mudah dimanipulasi oleh eksekutif-eksekutif kewangan menyebabkan dunia kini di ambang kemeletan ekonomi.

Saham-saham di bursa-bursa saham utama dunia jatuh menjunam. Sebagai contoh Dow Jones Industrial Average (DJIA) mengalami kejatuhan terburuk iaitu jatuh sekitar 4,800 mata dari kadar semasa tertingginya pada 9 Oktober, 2007 iaitu 14,164.53. Pasaran saham Malaysia juga mengalami nasib yang sama apabila indek komposit yang pernah berada pada paras sekitar 1400 mata pada awal tahun 2008 jatuh menjunam ke paras 800 mata.

Apa yang dapat disimpulkan di sini krisis ekonomi hari ini jauh lebih buruk dan teruk berbanding krisis kewangan akibat serangan spekulator kewangan yang melanda Asia pada 1997/98. AS dan dunia mengetahui bahawa krisis ini jika tidak ditangani dengan bijak akan memusnahkan ekonomi dunia. Antara langkah segera yang diambil oleh kuasa besar ekonomi dunia sebagai contohnya AS ialah menyediakan pakej penyelamat bernilai ASS$700 bilion, Great Britain 500 bilion pound, dan China 4 trilion Yuan.

Malaysia yang peka tentang kesan buruk krisis ini turut memperuntukan dana berjumlah RM5 bilion menerusi agensi pelaburannya Valuecap Sdn. Bhd. yang berperanan membeli saham rendah tetapi berpotensi bagi pihak kerajaan. Tindakan ini diharap dapat memberi keyakinan baru kepada pelabur di pasaran saham tempatan. Terbaru kerajaan memperuntukkan dana RM7 bilion lagi untuk menggerakkan projek-projek berimpak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Krisis ini menuntut seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam melindungi negara dari mengalami kesan lebih teruk. Kerajaan pula perlu terus mengenalpasti pendekatan-pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang yang mampu menggerakkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pakej-pakej rangsangan ekonomi harus diperkenalkan dari masa ke semasa.

Hubungan baik sedia ada di antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar diperkukuhkan lagi kerana suasana ekonomi segetir hari ini menuntut kerjasama erat di antara pemerintah dan penggubal dasar kewangan negara. Begitu juga perlunya diwujudkan hubungan baik di antara kerajaan, BNM dan institusi-institusi kewangan negara yang lain agar dasar-dasar baru dapat dibentuk mengikut perubahan persekitaran ekonomi negara dan dunia. Ini akan membantu mereka kekal kompetitif dan mampu menyalurkan pinjaman untuk projek-projek yang mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, pelabur domestik dan FDI (Foreign Direct Investment).

Pelaburan

Di samping itu, usaha menarik lebih ramai FDI menerusi penawaran pakej-pakej pelaburan menarik wajar terus menjadi agenda utama negara. Kemerosotan jumlah FDI akan melembapkan proses pemulihan ekonomi, mengurangkan aliran kemasukan mata wang asing, meningkatkan kadar pengangguran yang turut menjadi punca masalah sosial dan jenayah. Di samping itu, sektor-sektor yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK seperti perkhidmatan, pembuatan dan pertanian perlu terus diberi sokongan. Pakej-pakej rangsangan untuk setiap sektor dan di setiap peringkat perlu dikenalpasti dan dilaksanakan dengan telus.

Kerajaan dan pengusaha industri wajar membentuk kerjasama lebih erat agar kesan daripada apa juga pakej rangsangan yang diperkenalkan benar-benar memberi impak kepada industri tersebut dan negara. Di sinilah penjawat awam dituntut menjadikan diri mereka benar-benar professional dalam memastikan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kecekapan dan ketepatan tindakan mereka mampu mengembalikan kedudukan Malaysia salah sebuah destinasi pelaburan utama di kalangan pelabur domestik dan antarabangsa. Jika usaha ini dapat direalisasikan maka masalah kadar pengangguran tinggi yang dialami oleh negara hari ini dapat dikurangkan.

Rakyat

Dalam persekitaran ekonomi lembab ini golongan rakyat berpendapatan rendah akan menerima kesan paling teruk. Peningkatan kos sara hidup yang bermula dari krisis kenaikan harga minyak baru-baru ini melonjakkan perbelanjaan isi rumah rakyat. Kualiti hidup mereka merosot dan ini menjadikan mereka golongan yang boleh dikategorikan berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Menurut kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan daripada jumlah keseluruhan kajian 495,500 isi rumah. Ini menunjukkan 61 peratus daripada rakyat Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai miskin adalah orang Melayu. Hidup dengan pendapatan sebegitu rendah terutamanya buat mereka yang tinggal di bandar besar pastinya amat memeritkan.

Hari ini kita dapat lihat betapa rendahnya kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu di bandar-bandar besar mahupun di kampung-kampung. Walau apa juga sifat buruk yang dikaitkan oleh kaum lain di negara ini, orang luar ataupun orang Melayu itu sendiri terhadap bangsa bernama Melayu ini tidak harus membuatkan kerajaan mula termakan dengan tuduhan-tuduhan mereka dan mula membiarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan atas alas an kena bersaing secara meritokrasi.

Langkah-langkah pembangunan modal insan di kalangan anak-anak Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya iaitu yang berada dalam golongan miskin dan tercicir perlu dirancang dengan lebih rapi. Latar belakang ibu-bapa golongan ini yang agak rendah pendidikannya seringkali mendorong mereka tidak memberi penekanan terhadap aspek pendidik. Di sinilah tempat terbaik untuk NGO-NGO Melayu yang sering berbicara soal hak Melayu membuktikan keikhlasan mereka dalam membantu anak bangsanya. Kerjasama yang lebih erat di antara kerajaan dan NGO mampu membantu mengurangkan keciciran anak Melayu dalam pendidikan.

Kesanggupan sedemikian akan mengeluarkan NGO- NGO tersebut dari tanggapan serong masyarakat yang seringkali beranggap sebahagian daripada NGO Melayu tidak lebih daripada menjadi platform untuk tokoh-tokoh tertentu menonjolkan diri dalam usaha menempatkan dirinya dalam arena politik negara. Di samping itu adalah diharapkan kerajaan tidak sesekali tunduk kepada mana-mana desakan agar mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan orang Melayu. Ketegasan kerajaan dituntut dan rakyat pasti menghukum kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan.

Minyak

Terdapat beberapa langkah yang boleh kerajaan ambil untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat. Adalah perlu kerajaan menyegerakan penurunan harga minyak. Jika mengikut harga pasaran semasa minyak dunia, kerajaan boleh menurunkannya ke paras sekitar RM1.70 seliter atau lebih rendah. Sebagai negara pengeluar minyak, adalah menjadi hak rakyat untuk menikmati rahmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Penurunan ini pasti mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan pengusaha di semua sektor dan industri. Rakyat akan dapat menikmati kembali hidup yang lebih berkualiti dan begitu juga dengan pengusaha industri yang pastinya mampu membantu mereka mempertingkatkan semula daya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa. Melengah-lengahkan penurunan harga minyak akan hanya memburukkan imej kerajaan di mata rakyat kerana majoriti rakyat adalah mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan tidak sewajarnya terlalu bersifat pelindung kepada pengusaha-pengusaha minyak dengan memberi alasan mereka akan kerugian jika harga minyak diturunkan ke paras lebih rendah.

Kerugian adalah lumrah dalam perniagaan tetapi kerugian itu pastinya boleh dielak jika pengusaha mengamalkan strategi perniagaan yang betul di samping menawarkan kualiti perkhidmatan bermutu.

Pada dasarnya sekarang adalah peluang terbaik untuk kerajaan mengotakan janjinya membela rakyat. Kegagalan akan hanya membuatkan rakyat menghukum kerajaan dengan lebih keras lagi dalam pilihan raya akan datang. Isu minyak ini dengan jelas berjaya dieksploitasi oleh pembangkang dalam pilihan raya lalu dan pastinya ia akan digunakan lagi dalam pilihan raya akan datang. Berdolak-dalih dan beranggapan isu ini terlalu awal untuk dieksploitasi memandangkan pilihan raya masih jauh akan hanya membuka ruang kepada pembangkang untuk terus menjatuhkan populariti kerajaan.

Kesan segera penurunan harga minyak dapat dilihat di mana terdapat beberapa pasar raya dan persatuan restoran menurunkan harga barangan. Ini jelas menunjukkan yang warga peniaga bersedia bekerjasama dengan kerajaan kerana mereka turut memahami keperitan hidup rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam hal ini kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus lebih kerap turun ke seluruh pelosok negara iaitu dari Perlis sehingga ke pedalaman Sabah memantau harga barang.

Walaupun ada pasukan pemantau harga tetapi sumbangan mereka masih terbatas. Gunakan juga persatuan-persatuan penduduk sebagai pemantau. Lebih penting langkah penguatkuasaan harus lebih ditonjolkan. Hukum dan dedah mereka yang melakukan kesalahan menjual barang pada harga lebih tinggi berbanding harga kawalan dalam media cetak dan elektronik. Langkah ini dijangka mampu memberi peringatan kepada peniaga.

Di samping itu senarai harga barangan kawalan itu juga perlu disemak dari masa ke semasa. Pastinya kini kerajaan mempunyai perangkaan tentang kadar permintaan dan penawaran untuk setiap barang kawalan tersebut. Maklumat itu boleh atau mungkin telah dikongsi dengan agensi lain bagi memastikan penyelarasan dari segi permintaan dan penawaran barangan serta harga di pasaran dapat dibuat dengan tepat dan menyeluruh. Kepentingan memastikan barangan dijual mengikut harga yang ditetapkan adalah penting kerana majoriti rakyat tinggal di luar bandar dan kebanyakan mereka tidak punya kesempatan atau peluang untuk membeli barang keperluan di pasar raya-pasar raya besar tersebut. Kalau pendekatan ini tidak digembeling maka penderitaan rakyat pasti akan berpanjangan.

Kad Kredit

Jika dilihat dari perspektif cara rakyat berbelanja mungkin beberapa langkah wajar diberi perhatian. Kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan semakin ramai rakyat menanggung beban hutang dan ada yang sampai ke tahap muflis. Gejala ini amat wajar diberi perhatian kerana perancangan kewangan yang lemah akan memusnahkan ekonomi individu, keluarga, bangsa dan negara. Berbelanja di luar kemampuan pastinya membawa permasalahan ini. Krisis subprima yang meletakkan AS dan dunia di ambang kemelesetan ekonomi jelas menunjukkan bahawa sikap suka berhutang iaitu melebihi kemampuan kewangan sebenar adalah sangat berbahaya.

Dalam konteks penggunaan kad kredit di Malaysia yang bagaikan menjadi trend yang melambangkan status dan gaya hidup terutamanya di kalangan golongan muda telah meningkatkan jumlah individu muflis akibat penggunaannya kepada 1873 orang pada 2007. Dilaporkan tunggakan pinjaman kad kredit mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu dan sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Kad kredit adalah ah long elektronik. Kadar faedah yang agak tinggi, sekitar 18 peratus setahun seringkali membuatkan pengguna terbeban terutamanya buat mereka yang tidak berdisiplin dalam membuat pembayaran. Seseorang itu mungkin perlu memiliki kad kredit jika ianya hanya untuk kegunaan semasa kecemasan, membuat transaksi di Internet atau apa juga aktiviti berkaitan kewangan dan sewajarnya berperanan sebagai perantara sementara. Jika tidak ada kemungkinan sedemikian, maka adalah lebih baik tidak memilikinya.

Di samping itu, langkah pencegahan dengan mengenakan syarat-syarat permohonan kad kredit yang lebih ketat wajar dilaksanakan terutamanya dalam konteks persekitaran ekonomi hari ini. BNM mungkin perlu menyemak kembali syarat-syarat yang diguna pakai sekarang. Kerakusan pihak bank mempromosi kad kredit ini amat jelas kerana kad tersebut mudah diperoleh kerana mereka menggunakan ejen-ejen pemasaran yang diragui pengetahuan kewangannya untuk tujuan mempromosi kad kredit mereka.

Apa yang dapat dilihat, tiada langsung aspek nasihat tentang cara penggunaan, kebaikan dan keburukan penggunaannya. Ejen-ejen ini ini lebih cenderung mengejar komisen untuk setiap pelanggan yang berjaya dipengaruhi. Senario ini adalah perkembangan yang sangat tidak sihat dalam persekitaran ekonomi seperti hari ini.

BNM mungkin perlu lebih bertegas kerana peningkatan kos sara hidup dewasa ini mungkin akan menarik lebih ramai individu ingin memiliki atau menambah bilangan kad kredit mereka. Kebebasan memiliki kad kredit tanpa had juga amat membimbangkan kerana pada kebiasaannya setiap individu mempunyai dua atau lebih kad kredit. Apa akan berlaku jika individu itu menggunakan kesemua kadnya dan gagal menjelaskan hutangnya. Oleh itu, tindakan tegas dan semakan semula kelayakan memohon kad kredit adalah diperlukan kerana langkah sedemikian mampu membantu sistem kewangan dan ekonomi negara terus berada di landasan betul.

Dengan kata lain, langkah-langkah mengenal pasti dan usaha untuk meningkatkan daya tahan ekonomi individu, bangsa dan negara harus digembeling secara komprehensif. Masalah kelembapan ekonomi ini tidak harus ditangani oleh satu golongan sahaja. Dengan kata lain institusi kerajaan dan swasta, penguasa dan rakyat jelata, peniaga dan pengguna harus memainkan peranan secara positif iaitu bersama-sama membentuk persekitaran ekonomi domestik yang kondusif dan kukuh. Daya tahan ekonomi sesebuah negara terletak di tangan rakyatnya.

Seluruh rakyat Malaysia wajar bersatu dan melihat kelembapan ekonomi hari ini sebagai satu peluang untuk memperbetul, membina dan mengukuhkan asas ekonomi negara ke tahap lebih baik lagi kerana dengan komitmen sedemikian Malaysia mampu mendepani cabaran kemelesetan eokonomi yang sedang melanda dunia kini.

Cadangan Dr. M Pengerusikan MTEN Janggal

Utusan Malaysia: 22.11.2008

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Beberapa ahli ekonomi berpendapat cadangan melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara (MTEN) adalah janggal.

Pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, mengikut amalan, jawatan itu disandang oleh seorang Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Katanya, majlis yang ditubuhkan ekoran krisis ekonomi 1997-1998 berperanan penting menggerakkan elemen-elemen ekonomi dan perniagaan dalam negara. ‘‘Justeru, jawatan pengerusi MTEN sangat berkait rapat dengan dasar kerajaan, politik dan kuasa.

Namun begitu Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk meminta bantuan dan menggerakkan elemen-elemen ekonomi tersebut, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen semalam, agar Dr. Mahathir dilantik menjawat portfolio itu berdasarkan pengalamannya memimpin negara ketika kegawatan ekonomi 1997 sehingga 1998.

Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas pula berkata, kepakaran Dr. Mahathir dalam bidang ekonomi memang terbukti namun tidak semestinya beliau dilantik mengetuai MTEN.

Menurutnya, Dr. Mahathir telah lama berkhidmat kepada negara dan sudah tiba masanya untuk beliau berehat.

Bukan Masa Ubah Dasar

Utusan Malaysia: 29.10.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

UNTUK rekod, pemilikan ekuiti di kalangan orang Melayu setakat ini cuma berjumlah 18.9 peratus, manakala kaum bukan bumiputera pula sebanyak 40.6 peratus. Selebihnya iaitu kira-kira 40.5 peratus ekuiti dimiliki oleh warga asing.

Jika angka itu diteliti dengan bijak dan tanpa sebarang maksud yang tersembunyi, pastinya ramai yang bersetuju bahawa jumlah 18.9 peratus itu masih terlalu jauh daripada angka 30 peratus seperti yang diperuntukkan kepada bumiputera dalam dasar pemilikan ekuiti.

Justeru, apakah sebenarnya yang menjadi kebimbangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai terhadap dasar pemilikan ekuiti bumiputera yang sebenarnya tidak pun mencapai sasaran sehingga sanggup dipersoalkan?

Adalah satu kedangkalan untuk mengatakan peruntukan ekuiti bumiputera itu mengekang daya saing sesebuah syarikat terutamanya dalam berdepan dengan krisis ekonomi global, sedangkan dasar yang sama juga selama ini melonjak kepada kekukuhan ekonomi negara.

Bagaimana pula dengan puluhan atau mungkin ratusan syarikat senaraian awam yang langsung tidak mempraktikkan dasar peruntukan 30 peratus ekuiti kepada bumiputera tetapi masih dibenarkan beroperasi?

Adakah terlalu sukar untuk melihat toleransi kerajaan itu adalah atas semangat untuk menjaga keharmonian antara kaum dan memberikan ruang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia mengecapi kekayaan negara meskipun ia jelas membelakangkan dasar dan Perlembagaan negara?

Umum mengetahui bahawa meskipun komposisi orang Melayu di negara ini berjumlah 67 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding kaum Cina (25 peratus) dan India (tujuh peratus), namun penguasaan ekonomi orang Melayu sangat terkebelakang.

Selain pemilikan ekuiti yang rendah, kaum bumiputera juga hanya menguasai 20.3 peratus pemilikan syarikat berbanding bukan bumiputera iaitu sebanyak 75.7 peratus.

Malah, daripada aspek penguasaan ekonomi lain seperti pemilikan bangunan komersial, jawatan pengurusan tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), perbandingan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera ibarat langit dan bumi.

Adalah sesuatu yang menyedihkan seperti yang dijelaskan oleh pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sangat lemah selepas pilihan raya umum lalu, secara berterusan dieksploitasi oleh rakan-rakan dalam barisan yang sama.

Cubaan demi cubaan yang menekan kerajaan untuk melepaskan satu persatu kepentingan orang Melayu katanya, tidak lebih daripada tindakan keterlaluan untuk memperlihatkan kerajaan terutamanya UMNO tidak lagi kuat, walhal parti komponen yang mewakili kaum Cina itulah yang sebenarnya ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

Tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu, isu-isu yang membabitkan kaum bumiputera yang dibangkitkan baik oleh pembangkang apatah lagi di kalangan parti komponen BN sendiri, dilakukan dengan niat seolah-olah untuk mencabar.

Dalam ketika gelora politik masih belum reda kini, sebarang pendirian atau pandangan yang menyentuh mengenai kaum lain, tidak wajar dilontar secara terbuka, apatah lagi oleh seorang pemimpin kanan bertaraf menteri.

Kenyataan-kenyataan berbentuk menjuarai sesuatu kaum dan terserlah cuba untuk meraih populariti, akan hanya mengusutkan lagi suasana politik sedia ada dan memanjangkan perdebatan isu-isu sensitif yang boleh mengeruhkan semangat perpaduan.

Mendominasi

Membincangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan sesuatu kaum oleh mana-mana pemimpin sekali pun, sewajarnya mengambil kira masa dan wadah yang sesuai, dan sesuatu yang jelas kini bukanlah waktu dan ketikanya.

"Apatah lagi ketika kaum bukan bumiputera lebih mendominasi ekonomi dan kekayaan negara, permintaan sebegitu hanya membayangkan sikap tamak segelintir pihak yang masih berasa tidak cukup dengan kelebihan yang dinikmati," ujar Haim.

Mengajak kaum bumiputera untuk bersaing secara adil dan saksama di gelanggang ekonomi terbuka juga bukanlah satu cabaran yang terlalu gerun untuk disahut. Malah, sudah ramai orang Melayu yang membuktikan bahawa mereka juga mampu menguasai ekonomi jauh lebih hebat daripada kaum-kaum yang lain.

Namun, agenda kerajaan khususnya memperkasakan kaum bumiputera terutamanya orang Melayu secara keseluruhannya masih terlalu jauh. Apatah lagi dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi di kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman yang masih terkebelakang.

Menurut Haim, tanpa bimbingan, dorongan, sokongan dan insentif tertentu kepada golongan ini, membuka persaingan secara merit kononnya untuk mempersiapkan diri dalam persekitaran ekonomi global, hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

Justeru, peruntukan khusus kepada bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan atau dasar negara sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya sewajarnya dipertahankan dan dijayakan dengan sebaik-baik mungkin.

Kerajaan juga tambah Haim, pastinya tidak mempunyai halangan untuk menghapuskan peruntukan ekuiti itu setelah benar-benar yakin golongan yang ingin dibantu mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan sokongan tertentu.

Namun sehingga itu, kerajaan perlu kekal dengan tanggungjawab menyediakan sokongan sewajarnya sama ada dalam bentuk pembangunan modal insan, pelaburan dan sebagainya dalam menawarkan ruang dan peluang yang sama kepada semua golongan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, parti mana sekali pun yang memerintah negara perlu memastikan taraf hidup dan sosio-ekonomi kaum majoriti sentiasa dibela dan dipertahankan.

"Kerajaan yang gagal merubah nasib dan masa depan kaum majoriti, adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bagaimana cara pelaksanaan dan penyampaiannya bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh pemerintah," tambah beliau.

Hakikatnya, biar sebanyak mana sekalipun dasar diperkenalkan oleh kerajaan, kaum bukan bumiputera sedikit pun tidak pernah diabaikan, malah masih mampu meraih kekayaan tanpa sebarang halangan.

Sewajarnya juga, dasar-dasar itu tidak dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain, sebaliknya lebih kepada satu usaha untuk meningkatkan taraf sosio bumiputera terutamanya orang Melayu yang realitinya masih jauh ketinggalan.

Bagaimana pula jika kaum bumiputera meminta kerajaan memperkecilkan lagi penguasaan ekonomi bukan bumiputera dengan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera sehingga 50 peratus? Tidakkah tercalar perasaan bukan bumiputera dengan tuntutan sebegitu?

Dengan sekian banyak ancaman ke atas keistimewaan kaum bumiputera dijadikan senjata berkepentingan politik oleh segelintir pihak, orang Melayu tidak lagi boleh sekadar memandang dan membiarkan sesuatu selama ini menjadi hak mereka gugur satu per satu.

Tanpa mengambil kira perbezaan ideologi atau asas perjuangan parti, kaum bumiputera perlu bersatu hati dalam mengekang suara-suara yang berterusan menyerang secara membuta tuli apa yang selama ini menjadi hak dan keistimewaan masyarakat bumiputera.

RM1.92 Harga Terbaik Petrol - Pakar Ekonomi

Utusan Malaysia: 27.10.2008

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pakar-pakar ekonomi berpendapat harga petrol sebaik- baiknya diturunkan ke harga asalnya iaitu RM1.92 seliter bagi merangsangkan ekonomi negara lebih- lebih lagi ketika harga minyak mentah global turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, jangkaan harga petrol mungkin diturunkan sebanyak 15 sen seliter pada akhir bulan ini adalah terlalu sedikit.

Sepatutnya kata beliau, harga petrol boleh diturunkan lagi dan kerajaan mengekalkan harganya pada kadar harga yang lebih munasabah iaitu harga asal, RM1.92 seliter.

''Ini adalah penting untuk merangsangkan ekonomi berbanding harganya diapungkan mengikut harga minyak mentah dunia sekarang sehingga menghilangkan keyakinan pelabur.

''Ini dilakukan dengan kerajaan menampan sebarang perubahan mendadak harga minyak mentah dunia,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Abdul Samad menjangkakan harga petrol dapat diturunkan lagi sebanyak 15 sen seliter pada hujung bulan ini ekoran perkembangan terkini harga minyak dunia yang jatuh merudum di pasaran global.

Mohd. Fauzi berkata, ketika harga minyak di pasaran dunia adalah rendah, kerajaan boleh menyimpan subsidi minyak yang dijimatkan itu.

Subsidi yang dijimatkan itu jelas beliau, boleh digunakan untuk menampan kesan kenaikan harga minyak mentah dunia kemudian hari.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah turut menyifatkan harga petrol boleh dikembalikan pada harga asalnya sebelum ini. ''Mengikut trend merudum harga minyak mentah dunia sekarang, kita boleh balik ke harga asal pada RM1.92 seliter.

''Saya sedar kerajaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tetapi, saya berharap kerajaan dapat menurunkannya kepada antara RM1.80 seliter hingga RM1.90 seliter dan bukannya 15 sen seliter,'' katanya.

Bersedia Tangani Tempias Kegawatan Ekonomi Dunia

Utusan Malaysia: 21.10.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL WARTAWAN UTUSAN)

RUNTUHNYA sistem kapitalis berasaskan riba di Amerika Syarikat (AS) dinilai banyak pihak sebagai kegagalan kepada satu sistem penguasaan kekayaan di kalangan kumpulan tertentu, sekali gus mendesak kepada satu sistem kewangan yang lebih adil dan stabil.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah dalam pandangan serupa turut mengunjurkan kepada perlunya satu sistem yang lebih kompetitif dan telus sebagai asas kepada orde baru ekonomi dunia untuk abad ke-21.

Sistem kewangan Islam yang benar-benar adil serta berlandaskan syariat sepenuhnya ujar beliau, antara kuasa ekonomi baru yang dilihat perlu diberi perhatian. Bagaimanapun, asas kepada sistem itu tambah beliau, perlu dipastikan jelas bagi mengelak pertikaian dan ketidakadilan yang boleh mencemar nama baik Islam sendiri.

Selain itu, penggunaan emas sebagai perantara urus niaga juga wajar dipertimbang secara serius kerana kestabilan nilainya dapat membantu mengimbangi masalah urus niaga yang dipengaruhi oleh penyusutan dan peningkatan nilai mata wang tertentu.

Kebergantungan kepada mata wang tunggal juga boleh dikurangkan dengan meningkatkan perdagangan berasaskan penggunaan mata wang sendiri sebagai contoh menggunakan Ringgit Malaysia (RM) dan Yuen dalam urus niaga di antara Malaysia dan China.

"Bagaimanapun dalam pelaksanaan sistem ini, kekukuhan ekonomi sesebuah negara perlu menjadi asas yang sangat penting kerana ia merupakan faktor utama kepada kestabilan nilai mata wang negara tersebut," jelas beliau.

Sesuatu yang pasti, kebergantungan perdagangan yang tinggi di antara negara-negara ASEAN dengan AS menjadi petunjuk pertama bahawa rantau ini juga berisiko untuk berdepan dengan kelembapan kewangan.

Tanpa boleh mengharapkan pakej penyelamat AS, Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu membentuk kerjasama ekonomi serantau yang lebih erat sebagai penampan kepada menularnya kegawatan daripada lebih memburuk.

Haim turut menarik perhatian mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh China dan India sebagai kuasa besar baru dunia, yang seharusnya lebih aktif dan agresif dalam menggerakkan kembali ekonomi dunia yang agak lembap ketika ini. Dasar dan polisi kewangan serta ekonomi yang kompetitif kedua-dua negara ini yang jumlah penduduknya mewakili 1/3 penduduk dunia mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dunia.

Di peringkat domestik pula, beliau turut menyentuh mengenai kewajaran mewujudkan portfolio Menteri Ekonomi sebagai satu jawatan kanan dalam Kabinet yang bertanggungjawab sepenuhnya melindungi ekonomi negara daripada sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan.

Portfolio itu katanya, boleh membantu meningkatkan lagi tahap daya saing negara di peringkat serantau dan dunia di samping mengenal pasti langkah-langkah penting meningkatkan daya saing sesebuah industri dalam konteks percukaian, subsidi dan sebagainya dengan lebih pantas dan fokus.

Dalam masa sama, kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan juga perlu menggembleng usaha memastikan industri sedia ada bertambah kompetitif manakala industri baru pula dieksploitasi semaksimum mungkin.

Selain kerajaan, sektor perindustrian turut dituntut untuk tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam kekal bersaing sebaliknya perlu tampil dengan inisiatif yang membina daya tahan dan daya saing yang mampan.

Kerajaan dalam pada itu juga, perlu terus menyediakan dana-dana yang boleh menyokong industri tempatan mengembangkan perniagaan sama ada di pasaran tempatan, serantau mahupun antarabangsa.

Malah, pakej-pakej menarik untuk mengekalkan pelabur tempatan dan luar negara juga perlu ditampilkan dari semasa ke semasa bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi utama pelabur-pelabur asing berpotensi.

"Lebih banyak pelaburan masuk ke dalam negara, maka lebih besar kadar pendapatan cukai korporat negara dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan,'' katanya.

Kerajaan juga tambah Haim, perlu memastikan sebarang perjanjian perdagangan tidak hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja dan untuk itu, persetujuan seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), perlu diperhalusi bagi mengelakkan kesan negatif kepada ekonomi negara dalam apa jua perspektif.

Tangguh Aktiviti Jualan Singkat Sementara Waktu

Utusan Malaysia: 22.09.2008

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Aktiviti jualan singkat di pasaran modal tempatan perlu ditangguhkan buat sementara waktu bagi memastikan pasaran kembali stabil ekoran impak yang dihadapinya daripada ketidaktentuan di pasaran antarabangsa.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA), Datuk Dr. PHS Lim berkata, ini kerana pasaran saham tempatan telah mengalami kejatuhan yang besar yang mana Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) menurun daripada paras 1,535 mata sebelum ini kepada paras 991 mata pada minggu lalu.

Lebih memburukkan lagi keadaan, apabila modal pasaran sebanyak RM238 bilion telah dikeluarkan daripada Bursa Malaysia, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.

''Pasaran modal kini semakin lemah dan ia memiliki kurang kecairan yang boleh menahan daripada tekanan jualan singkat dalam pasaran, oleh itu ia akan memberi kesan negatif kepada kestabilan pasaran,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, kerapuhan pasaran kini turut disumbangkan oleh tekanan daripada krisis kewangan global dan juga ketidaktentuan persekitaran politik dalaman negara.

Pada awal tahun lalu, jualan singkat terkawal mula dikuatkuasakan setelah kerajaan membenarkan semula kegiatan berkenaan pada Mac 2006 sebagai usaha menjadikannya sebuah pasaran saham bertaraf dunia.

Ia berdasarkan kepada sistem kewangan negara yang kukuh ketika itu dan memiliki keupayaan yang tinggi untuk mengharungi sebarang risiko kemudahruapan harga atau aliran modal yang mungkin timbul akibat kegiatan seperti jualan singkat.

Pada 1998, jualan singkat dilarang oleh kerajaan apabila merasakan amalan itu disalah guna oleh spekulator semasa krisis kewangan 1997.

Jualan singkat bermakna seseorang pelabur dibenarkan menjual aset atau instrumen yang belum lagi dimilikinya dan seseorang itu perlu memiliki pegangan jangka pendek dengan membeli balik aset atau instrumen kemudiannya.

Biasanya, seseorang pelabur akan menjual pada harga tinggi dan kemudian membeli balik pada harga rendah untuk menjual pegangan jangka pendeknya bagi mendapat keuntungan daripada pasaran yang lemah.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah pula berpendapat, kini adalah masa yang sesuai untuk pihak berkuasa menangguhkan aktiviti jualan singkat bagi memberi ruang untuk menstabilkan pasaran yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, meskipun, ketidakstabilan pasaran tempatan banyak dipengaruhi oleh sentimen daripada krisis global dan dengan penangguhan cadangan itu sedikit sebanyak dapat membantu memulihkan pasaran tempatan. Menurut beliau, melalui tindakan tersebut juga akan dapat mengurangkan aktiviti yang dikuasai spekulator pasaran.

''Bagaimanapun, tindakan menangguhkan aktiviti jualan singkat ini tidak harus dibiarkan terlalu lama kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur khasnya di kalangan pelabur asing. ''Ia perlu dilaksanakan semula mengikut keadaan yang bersesuaian,'' jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazary Rosli berkata, tindakan menangguhkan aktiviti jualan singkat boleh dilaksanakan sekiranya berlaku tekanan jualan yang kuat bagi mengelakkan ia terus memberi kesan yang lebih serius pada pasaran.

Namun, katanya berdasarkan kepada kejatuhan IKKL di bawah paras 1,000 pada Khamis lalu dan kemudian pulih semula keesokan hari mencerminkan pasaran tidak dikuasai tekanan jualan yang terlalu serius.

''Apa yang perlu dibimbangkan kini ialah faktor krisis kewangan global yang akan memberi impak besar kepada pasaran tempatan dan bukannya kepada isu dalaman di pasaran tempatan seperti jualan singkat,'' tegasnya.

Ringankan Kelas Menengah

Utusan Malaysia: 19.08.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

SEBAGAI kumpulan utama yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara, golongan berpendapatan sederhana atau kumpulan pertengahan sewajarnya mendapat perhatian khusus dalam rencana Belanjawan 2009 yang akan dibentangkan pada 29 Ogos ini.

Melainkan golongan berpendapatan rendah atau miskin serta orang kurang upaya (OKU), perancangan bajet kebiasaannya sangat terhad dalam menyentuh insentif kepada golongan pertengahan secara langsung.

Sedangkan kumpulan ini yang kebanyakannya tinggal di bandar-bandar besar merupakan kumpulan yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi lebih-lebih lagi selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Pentingnya Belanjawan 2009 dalam mengembalikan kekuatan ekonomi golongan pertengahan, memandangkan ia secara tidak langsung akan merealisasikan keyakinan kerajaan dalam mencapai sasaran mengurangkan kadar defisit daripada 3.2 peratus tahun lalu kepada tiga peratus tahun ini.

Kerancakan ekonomi di kalangan golongan pertengahan akan turut merancakkan sektor-sektor perindustrian dan perkhidmatan lain seterusnya menarik keyakinan pelabur asing untuk menanam modal di negara ini.

Ia kemudiannya akan menyumbang semula kepada hasil pendapatan negara menerusi pembayaran cukai perniagaan dan cukai-cukai lainnya, sekali gus memberi kekuatan kepada negara untuk menyerap apa jua implikasi ekonomi yang berlaku.

Justeru, adalah sesuatu yang diharapkan oleh kumpulan pertengahan supaya Belanjawan 2009 yang bakal dibentangkan nanti memberikan tumpuan secara khusus kepada mereka untuk kekal menikmati kehidupan berkualiti di sebalik tekanan ekonomi semasa.

Jika diteliti, banyak ruang yang boleh dipraktikkan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup golongan pertengahan dalam rencana Belanjawan 2009 akan datang.

Antaranya menerusi kadar pelepasan cukai-cukai tertentu yang difikirkan munasabah, sementelah kumpulan berpendapatan sederhana terikat dengan beberapa jenis cukai dengan sebahagian besar daripada mereka pula tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawab tersebut.

Mengambil contoh cukai pendapatan misalnya, adalah diharapkan gesaan beberapa pihak sebelum ini termasuk Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) supaya kadar pelepasannya ditingkatkan menjadi kenyataan dalam Belanjawan 2009.

Jika kerajaan pada Belanjawan 2002 pernah mengurangkan cukai pendapatan sebanyak satu hingga dua peratus ke atas kira-kira 91,000 orang, langkah se- rupa juga seharusnya boleh diambil melihat kepada peningkatan kos sara hidup rakyat ketika ini.

Malah, bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika pelepasan cukai pendapatan itu ditingkatkan sehingga 50 peratus, seperti yang dicadangkan oleh pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, dalam memberi ruang kepada rakyat mengimbangi kesan berantai ekoran kenaikan harga minyak yang turut melonjakkan kos di sektor-sektor lain.

Apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga, pelepasan cukai dengan kadar sebegitu sangat membantu dalam mengurus kewangan dengan lebih baik, sesuai dengan tanggungan yang lebih besar. Jumlah pelepasan cukai pendapatan sebanyak 50 peratus itu juga mengambil kira sumbangannya kepada pendapatan ekonomi negara secara keseluruhannya iaitu sebanyak RM10 bilion berbanding keseluruhan hasil negara sebanyak RM147 bilion tahun lalu.

Di samping itu, Haim Hilman menambah, kerajaan juga perlu meneliti keperluan pelepasan cukai perubatan kepada golongan berpendapatan sederhana yang perlu menanggung kos rawatan penyakit kritikal ibu bapa.

MenyaraAnak-anak yang berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana perlu diberi pelepasan cukai khas untuk menyara ibu bapa bagi membolehkan mereka mendapatkan kemudahan rawatan terbaik atau pembantu khas untuk menjaga ibu bapa yang sakit.

Pelepasan cukai itu selain memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana mendapatkan rawatan kesihatan terbaik untuk ibu bapa mereka, juga berperanan menyuburkan ikatan kekeluargaan sekali gus mengelakkan amalan menghantar ibu bapa ke rumah penjagaan orang tua menjadi budaya di kalangan masyarakat kita.

Dalam bidang pendidikan pula, Belanjawan 2009 boleh meringankan beban rakyat kebanyakan menerusi penyusunan semula bentuk bantuan yang disediakan sebelum ini bagi memastikan insentifnya dinikmati oleh kumpulan yang selayaknya, iaitu golongan miskin dan pertengahan.

Mengambil contoh pemansuhan yuran pendidikan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2008 misalnya, ramai ibu bapa yang sebenarnya keliru apabila yuran yang dimaksudkan hanyalah di peringkat kementerian dan bukannya di peringkat sekolah.

Justeru, Belanjawan 2009 sebaik- baiknya hadir dengan mekanisme yang lebih konsisten iaitu pemansuhan yuran pendidikan secara menyeluruh dan ibu bapa di setiap negeri tidak perlu membayar yuran yang berbeza-beza.

"Yuran yang berbeza-beza di peringkat sekolah itu perlu dihapuskan bagi membolehkan ibu bapa menguruskan keperluan lain persekolahan anak-anak mereka seperti tambang bas sekolah yang semakin meningkat atau pembelian buku rujukan dan sebagainya," ujar beliau.

Sesuai dengan peningkatan harga minyak mentah yang menjerut golongan berpendapatan sederhana yang rata-ratanya mempunyai kenderaan sendiri, Belanjawan 2009 juga seharusnya tampil dengan perancangan pembangunan pengangkutan awam yang lebih efisien.

Mengimbau belanjawan tahun lalu yang memperuntukan kira-kira RM12 bilion untuk penambahbaikan sektor pengangkutan awam, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila rakyat kebanyakan mempersoalkan pembaharuan yang telah dilakukan kepada sektor tersebut.

Ini kerana sehingga ke hari ini, sektor pengangkutan awam negara berada pa- da tahap yang tidak mampu menepati indeks kepuasan pengguna dan gagal dijadikan alternatif kepada peningkatan harga minyak biarpun kenaikan kali ini lebih tinggi berbanding sebelumnya.

"Sektor pengangkutan awam secara terancang dan sistematik memerlukan perhatian serius dalam Belanjawan 2009 bukan hanya untuk pembangunan di bandar-bandar besar, tetapi yang menghubungkan antara bandar dan luar bandar sekali gus memastikan manfaatnya kepada rakyat keseluruhan," ujar Haim Hilman.

Paling utama ujar beliau, Belanjawan 2009 juga seharusnya mampu menarik penglibatan sektor korporat terutamanya perbankan untuk bersama-sama kerajaan meringankan beban golongan berpendapatan sederhana yang merupakan pelanggan utama kepada sekian banyak perkhidmatan yang disediakan.

Dalam konteks tanggungjawab terhadap sosial, sektor perbankan menerusi insentif tertentu daripada kerajaan perlu lebih fleksibel dalam perjanjian pemberian pinjaman kewangan terutamanya dalam mengenakan faedah atau tempoh bayaran semula.

Mengambil contoh ketika berlakunya inflasi seperti ketika ini, bank seharusnya bersedia untuk memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman sesuai dengan kemampuan pelanggan dan kembali semula kepada perjanjian asal sebaik keadaan ekonomi pulih.

"Terma-terma perjanjian yang menguntungkan kedua-dua pihak seperti ini perlu diperhalusi bagi mengelak peminjam semakin tertekan dengan beban inflasi dan kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.

Elak Majlis Ekonomi Jadi Gimik Politik

Utusan Malaysia: 08.08.2008

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Majlis Ekonomi yang diumumkan penubuhannya oleh kerajaan perlu dipasti mampu mencapai matlamat penubuhannya supaya ia tidak dilihat sebagai satu gimik politik semata-mata.

Beberapa ahli ekonomi tempatan berkata, kerajaan perlu lebih serius terhadap objektif penubuhan Majlis Ekonomi itu agar usaha menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia dapat diatasi segera.

Menurut mereka, sekiranya struktur dan modus operandi penubuhan majlis berkenaan tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, dikhuatiri Majlis Ekonomi tersebut akan menjadi seperti majlis-majlis lain yang dilihat hanya berperanan sebagai ad-hoc ketika waktu-waktu tertentu.

Berikutan itu, tokoh ekonomi, Datuk Zainal Aznam Yusoff berpendapat, Majlis Ekonomi yang baru dibentuk itu perlu lebih fokus terhadap keutamaan dalam objektif penubuhannya.

Menurut beliau, ia penting kerana Majlis Ekonomi perlu bertindak dan memberi reaksi segera terhadap perubahan yang berlaku dalam persekitaran ekonomi semasa.

''Saya memberi pendapat begitu kerana saya melihat keputusan penubuhan Majlis Ekonomi ini kerana kerajaan memandang serius terhadap kesan kelembapan ekonomi dunia kepada ekonomi negara,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penubuhan Majlis Ekonomi yang berperanan sebagai badan penasihat bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada negara.

Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dianggotai menteri-menteri ekonomi serta wakil-wakil sektor kerajaan dan swasta itu akan menumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan isu-isu berhubung kenaikan harga barang.

Struktur dan modus operandi majlis itu akan dirangka untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap manakala keputusan-keputusannya dapat dirumuskan dengan cepat agar segera dilaksanakan.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah juga berkata, objektif penubuhan Majlis Ekonomi itu sangat baik dan bertepatan dalam keadaan sekarang tetapi perlu dipastikan pelaksanaannya dibuat dengan serius.

Untuk itu, beliau mencadangkan agar jawatankuasa di dalam Majlis Ekonomi tersebut dianggotai oleh pelbagai latar belakang merentasi kumpulan fahaman politik dan kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemutus keputusan.

''Majlis Ekonomi ini perlu diletakkan sebagai agenda nasional dan tidak seharusnya dilihat sebagai platform politik. ''Sebab itu, kerajaan perlu memastikan pelan perancangan dalam majlis tersebut dilaksanakan secara komprehensif supaya keputusan yang dihasilkan benar-benar memberi kesan positif kepada negara dan rakyat,'' jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Program Siswazah Pengurusan Persekitaran dan Pakar Pengangkutan Awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor berkata, selain melihat impak kelembapan ekonomi terhadap Malaysia, kerajaan juga perlu menyelesaikan segera isu-isu politik tempatan yang turut menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa ketidakstabilan politik memberi kesan kepada ekonomi kerana ia secara tidak langsung melibatkan minat kuasa besar ke atas Malaysia, apatah lagi kebanyakan pelabur asing itu adalah di kalangan peserta negara berkuasa besar.

''Ketidaktentuan politik tempatan menyebabkan para pelabur asing semakin berhati-hati dan dikhuatiri sekiranya masalah ini tidak diatasi segera ia akan menjejaskan ekonomi negara,'' ujar beliau.

Elak Pertindihan Bidang Kuasa

Utusan Malaysia: 07.08.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)


SETELAH berada di sekitar tiga ke empat peratus dari awal tahun ini hingga Jun lalu, kadar inflasi semasa ketika ini direkodkan mencecah sehingga 7.7 peratus, kesan daripada kenaikan harga makanan dan minyak mentah di pasaran dunia.

Ia melebihi jangkaan lima peratus oleh Bank Negara, sekali gus menjadi satu angka yang boleh dianggap agak tinggi dan cukup untuk menggambarkan beban kos yang ditanggung oleh pengguna ketika ini.

Lebih membimbangkan, kadar inflasi diramal akan terus meningkat sehingga pertengahan tahun depan, meletakkan golongan miskin dan berpendapatan rendah kekal sebagai mangsa yang terhimpit dengan taraf hidup yang semakin tinggi.

Hakikatnya inflasi selama ini ditangani oleh Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi dan Majlis Membanteras Inflasi Negara, namun cabaran kepada ekonomi negara ketika ini terlalu hebat dan sukar untuk ditangani.

Lalu, apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi yang bertindak sebagai badan penasihat dalam menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi negara, ia pastinya memberikan harapan baru kepada pemulihan taraf hidup rakyat.

Melihat kepada struktur dan modus operandi seperti yang digariskan, ia secara jelas mencakupi satu bentuk tindakan pemulihan ekonomi yang sangat luas dan lebih fokus serta mencakupi pelbagai bidang utama.

Malah, objektif yang digariskan oleh Majlis Ekonomi jika diteliti dengan mendalam berfungsi sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang ditubuhkan bagi mengatasi krisis ekonomi pada 1997 dan 1998, sekali gus diharapkan mampu memainkan peranan yang sama dalam menangani cabaran inflasi ketika ini.

Menaruh keyakinan yang tinggi terhadap peranan yang bakal digalas oleh Majlis Ekonomi, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, penubuhannya perlu memberi penekanan kepada isu semasa seperti penyelerasan harga minyak serta pembangunan di koridor dan wilayah yang telah dirancang.

Paling utama, Majlis Ekonomi perlu memberi perhatian kepada usaha untuk mengatasi kelembapan ekonomi dalam negara serta global dan merangsang kembali pertumbuhannya sekurang-kurangnya sehingga 10 peratus.

Kadar pertumbuhan ekonomi itu jelas Mohd. Fauzi, bukanlah sesuatu yang sukar melihat kepada potensi dan ruang yang ada di dalam serta luar negara untuk diberikan tumpuan sepenuhnya.

Mengambil contoh sektor pertanian misalnya, cabang ekonomi itu boleh digerakkan semaksimum mungkin dengan suntikan teknologi tinggi serta projek tanaman bernilai tinggi yang mampu memberikan pulangan yang lumayan.

Sektor lain yang boleh diberi tumpuan oleh Majlis Ekonomi jelas beliau, termasuk meningkatkan pengeluaran produk di kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memastikan kualiti produk menepati piawaian antarabangsa.

''Memperkasakan IKS perlu menjadi agenda utama untuk menggalakkan pengeluaran produk dalam negara dan mengembalikan semula kuasa membeli di kalangan pengguna pada harga yang berpatutan.

''Ini sekali gus dapat menurunkan semula kadar inflasi dalam negara, malah jika sektor ini diberikan tumpuan sepenuhnya, ia mampu menurunkan kadar inflasi sekitar ke dua hingga tiga peratus," katanya.

Dalam masa yang sama jelas Mohd. Fauzi, tumpuan kepada pembangunan IKS juga perlu mampu melonjakkan kepada perhubungan perdagangan antarabangsa terutamanya dengan kuasa ekonomi besar ketika ini iaitu China dan India, apatah lagi ketika kadar pertukaran ringgit negara berada pada tahap kompetitif.

Malah, sokongan kepada IKS itu juga perlu diperhebat sehingga mampu mencipta peluang pekerjaan yang baru ketika beberapa pelabur asing mula menguncupkan operasi di negara ini.

PerhatianMengambil contoh penutupan beberapa syarikat luar negara seperti yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini, Majlis Ekonomi perlu memberi perhatian serius kepada usaha mengekalkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Mohd. Fauzi turut menarik perhatian mengenai perlunya ditubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai Sistem Risikan dan Maklumat Pasaran di bawah Majlis Ekonomi, yang menurut beliau sangat penting dalam menilai dan memantau perkembangan semasa ekonomi global.

Badan itu tambahnya, akan bertindak mengumpul maklumat seterusnya mencadangkan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan ketika berdepan dengan sebarang perubahan ekonomi global.

''Mengambil contoh pergerakan turun-naik harga minyak mentah ketika ini, badan ini dapat menjangkakan bentuk pergerakan harga komoditi untuk tempoh enam bulan atau setahun misalnya, sebelum kerajaan boleh mengambil keputusan sama ada untuk mengembalikan semula subsidi bahan bakar itu di pasaran tempatan,'' katanya.

Sebetulnya, tanpa maklumat risikan seperti itu, kerajaan tidak boleh secara fleksibel mengubah subsidi yang diberikan kerana tidak pasti sama ada penurunan harga minyak mentah ketika ini akan kekal atau sekadar petunjuk awal bahawa ia akan kembali melonjak sehingga mencecah AS$200 dolar setong seperti yang diramal sebelum ini.

Meskipun negara masih menyaksikan kadar pertumbuhan ekonomi, namun hakikatnya ia tidak cukup kuat untuk menarik pelabur asing menanam modal dan keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Justeru, senario itu perlu diteliti dan dikaji dengan melihat pertumbuhan pelaburan serantau negara-negara jiran terutamanya serta negara-negara lain seterusnya membandingkan pula dengan kedudukan dan pencapaian negara.

Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh Majlis Ekonomi dan seperti yang ditekankan Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, badan itu juga perlu membekalkan input kepada kerajaan dalam membentuk satu sistem pembangunan ekonomi yang lebih baik dan menyeluruh.

Namun, apa yang seharusnya menjadi tumpuan Majlis Ekonomi tambah Haim Hilman, sebarang tindakan yang dilaksanakan perlu menyentuh kebajikan dan keperluan rakyat kebanyakan terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

''Sebab itu saya sangat suka sekiranya Majlis Ekonomi dapat mengkaji semula mekanisme yang komprehensif dalam menyusun pemberian subsidi minyak atau penetapan harga bahan mentah itu supaya lebih realistik dalam konteks yang mampu membawa manfaat kepada rakyat terutamanya golongan miskin.

''Langkah ini sangat penting dalam mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan mengembalikan semula kelegaan hidup mereka yang terhimpit ekoran kenaikan harga minyak serta kenaikan berantai lainnya yang dihadapi ketika ini," katanya.

Beliau menambah, Majlis Ekonomi itu juga perlu berperanan mengekalkan kualiti hidup sedia ada yang dinikmati oleh rakyat selama ini, dan bukannya mencadangkan tindakan yang mengajak rakyat menurunkan taraf hidup mereka.

Mengaitkannya dengan cadangan beralih kepada kenderaan awam misalnya, kesediaan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam seharusnya tidak dikaitkan dengan langkah berjimat cermat sebaliknya sebagai melambangkan rasa bangga kepada keselesaan dan kualiti sektor itu.

Malangnya, apa yang berlaku ketika ini, rakyat diajak untuk menggunakan pengangkutan awam kerana kualiti dan taraf hidup yang jatuh dan lebih malang lagi apabila sektor itu pula tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

''Perkara-perkara seperti ini termasuk meningkatkan kecekapan sektor pengangkutan awam perlu diberi perhatian yang serius oleh Majlis Ekonomi, sementelah kita sendiri sehingga kini tidak menggerakkan sektor berkenaan secara menyeluruh dan berkesan," katanya.

Seperkara yang menjadi kebimbangan Haim Hilman, penubuhan Majlis Ekonomi itu hanya untuk mengatasi kelembapan ekonomi semasa dan bukannya satu badan dengan peranan pemulihan secara jangka masa panjang.

Dalam situasi seperti itu katanya, setiap tindakan yang diambil kerajaan pastinya hanya bersifat sementara atau sekadar mendepani cabaran dan isu ekonomi mengikut apa yang berlaku ketika ini dan bukannya bersifat menyeluruh.

Paling ditakuti juga, apabila Majlis Ekonomi itu tidak ubah seperti sekian banyak jawatankuasa yang ditubuhkan sebelum ini yang pada akhirnya menyaksikan pertindihan tanggungjawab tetapi tanpa sebarang tindakan.

''Sesuatu yang pasti, jawatankuasa ini seharusnya dianggotai oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang yang diamanahkan dan tidak didominasi oleh ahli politik supaya hasilnya mampu mencapai ke tahap menyelesaikan masalah," katanya.

Kereta Elektrik: Pakar Ekonomi Sokong

Utusan Malaysia: 23.07.2008

Oleh Aizawati Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pengeluaran kereta elektrik oleh Proton di Malaysia dilihat sebagai satu kejayaan besar yang bakal dicapai oleh negara khususnya dalam usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol.

Beberapa orang pakar ekonomi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini melihat langkah yang bakal diambil Proton itu sebagai satu tindakan yang amat baik dan bakal memberi impak positif kepada rakyat serta industri pemotoran negara.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, pada ketika rakyat dibelenggu dengan kenaikan harga petrol yang cukup membebankan, kerajaan telah tampil dengan idea yang cukup baik dan sihat apabila mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik.

Katanya, seiring dengan matlamat kerajaan untuk membantu mengurangkan beban rakyat, Proton juga perlu memastikan pengeluaran kereta elektrik itu kelak mampu memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat khususnya golongan sederhana dan bawah.

"Sehubungan itu, Proton perlu mengkaji secara mendalam mengenai hal ini khususnya kumpulan sasaran penjualan kereta tersebut agar hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat tidak tersasar,'' katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik di Malaysia selewat-lewatnya tahun depan bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel.

Kereta yang menggunakan bateri yang perlu dicas tenaga elektrik selama enam jam di rumah itu mampu dipandu sejauh 320 kilometer. Kuasanya dapat bertahan sehingga 36 jam. Kos untuk menggerakkan kereta itu hanya 18 sen sekilometer.

Menurut Haim, Proton juga disarankan agar meluaskan pasaran penjualan kereta bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa sebagai usaha meningkatkan pengeluaran yang akan dapat membantu mengurangkan kos pembuatan kereta elektrik itu.

Jelasnya lagi, faktor-faktor tersebut diyakini akan dapat mempengaruhi harga kereta tersebut di pasaran dan sekali gus Proton mampu menawarkan harga yang berpatutan bersesuaian dengan kemampuan rakyat Malaysia. "Proton perlu ada strategi yang baik dan perancangan yang rapi jika mahu melihat idea ini dapat direalisasikan pada tahun depan,'' ujarnya.

Tambah beliau, penghasilan kereta elektrik itu juga dapat memberi kesan yang baik kepada industri hiliran dan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat.

Pengerusi Pusat Dasar Kajian Umum, Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan sebagai satu kejayaan yang besar dan penghasilan kereta elektrik itu merupakan satu pengenalan baru yang bakal memberi kesan positif kepada rakyat.

"Saya amat mengalu-alukan langkah yang diambil oleh kerajaan ini kerana ia diyakini akan dapat membantu rakyat berjimat cermat,'' katanya. Beliau memberitahu, kereta elektrik tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi berbanding kereta yang menggunakan petrol.

Katanya lagi, idea tersebut sangat praktikal dalam situasi negara dibelenggu dengan kenaikan harga petrol yang tinggi. Malah menurut Ramon, usaha itu juga bakal memberi 'nyawa' yang lebih panjang kepada Proton untuk bersaing di dalam industri pemotoran.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah ketika dihubungi berkata, pengeluaran kereta elektrik oleh Proton akan dapat membantu rakyat mengurangkan kos hidup yang semakin meningkat.

"Kereta elektrik tidak memerlukan pembiayaan penyelengaraan yang tinggi berbanding kereta petrol yang enjinnya lebih kompleks untuk dijaga. "Malah pengguna juga tidak perlu mengisi minyak pada setiap hari kerana kita hanya perlu mengecas baterinya di rumah,'' katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada syarikat pengeluar kereta tempatan itu agar mengenakan harga kenderaan tersebut pada paras yang berpatutan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mampu memilikinya.

Tambah Rebat Belum Tentu Ringan Beban Rakyat

Utusan Malaysia: 18.07.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

BELUM pun selesai satu pusingan pemberian rebat tunai kepada pemilik kenderaan, sudah kedengaran permintaan pihak tertentu supaya jumlahnya ditingkatkan.

Tambahan pemberian rebat tunai tidak dinafikan merupakan satu langkah yang menggembirakan rakyat, apatah lagi bagi golongan berpendapatan rendah yang hanya memiliki motosikal. Dengan rebat tunai sebanyak RM150, jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat hari ini.

Justeru jika tambahan rebat tunai itu dilaksanakan kelak, ia perlu dipastikan mencapai sasaran untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, manakala rebat tunai untuk pemilik kereta pula ditambah mengikut kewajaran dan kesesuaian.

Namun perlu diakui, tambahan rebat tunai bukanlah penyelesaian jangka masa panjang dalam meringankan beban rakyat kebanyakan.

Tindakan itu jika boleh dinilai, hanya menjadikan kerajaan sebagai mangsa keadaan kepada senario kenaikan harga minyak mentah dunia yang tidak membayangkan tanda-tanda untuk berkurang.

Seandainya harga minyak mentah dunia mencecah ke paras AS$200 (RM648) setong seperti yang diramalkan pakar ekonomi dalam masa terdekat, adakah kerajaan perlu sekali lagi meningkatkan rebat tunai?

Mekanisme subsidi kepada rakyat ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada mengurangkan beban peningkatan harga minyak mentah yang dinaikkan sebanyak 78 sen bermula 5 Jun lalu.

Sedangkan hakikatnya, rakyat kebanyakan terpaksa mencerap lebih banyak kesan sampingan daripada kenaikan harga minyak itu termasuk harga barang makanan dan perkhidmatan yang melambung.

Mengambil contoh mudah kenaikan harga beras, sayur-sayuran dan barangan makanan lain serta tambang perkhidmatan seperti bas, kesan berantai itulah yang semakin menyempitkan nafas dan poket rakyat kebanyakan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Lebih malang, golongan itu yang kebanyakannya tidak berkenderaan atau sekadar mempunyai motosikal hanya layak menuntut rebat tunai yang rendah iaitu RM150, jumlah yang sangat kecil nilainya jika dibandingkan dengan taraf perbelanjaan seharian ketika ini, apatah lagi untuk tempoh setahun.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mampu pun untuk memiliki motosikal sendiri, apakah kewajaran mereka untuk menuntut rebat tunai dan apakah pula alasan mereka untuk mengelak daripada kesan kenaikan minyak?

Perlu untuk diketahui golongan berpendapatan rendah dan miskin di negara ini sangat tinggi jumlahnya iaitu mencecah 30 peratus daripada penduduk.

Sebahagian besar daripada mereka tinggal di bandar-bandar utama termasuk di sekitar Lembah Klang dan Johor Baharu, yang diketahui sangat tinggi kos sara hidup. Lalu desakan hidup ketika ini pastinya lebih menghimpit golongan itu sekali gus menuntut perhatian menyeluruh daripada kerajaan melebihi pemberian rebat tunai semata-mata.

Dalam memastikan matlamat pemberian subsidi benar-benar mampu meringankan beban golongan miskin, kerajaan menurut Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, perlu mengenalpasti golongan itu dan memberikan bantuan secara langsung.

Antara langkah yang difikirkan wajar dan sering dicadangkan sebelum ini ialah pemberian kupon atau kad subsidi kepada golongan miskin bagi membolehkan ia ditukarkan dengan barangan keperluan terutamanya makanan di kedai-kedai terpilih.

Dalam usaha yang sama, kerajaan juga perlu menyelaras dan memperkemas bantuan tunai yang diberikan menerusi agensi seperti jabatan kebajikan masyarakat dan pusat zakat bagi memastikan tidak ada golongan miskin yang tercicir.

''Langkah itu boleh dilakukan dengan membina pangkalan data rakyat miskin bagi membolehkan kerajaan memantau bantuan yang diberikan supaya sesuai dan berpatutan dengan tanggungan dan keperluan setiap isi rumah," katanya.

Seperkara yang menarik perhatian seperti yang dijelaskan oleh Haim juga ialah kemampuan kerajaan untuk mengubah keanjalan turun naik harga minyak mentah dalam negara.

Dengan pendapatan daripada sumber- sumber lain seperti perolehan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk syarikat yang mencatatkan keuntungan luar biasa, kerajaan seharusnya fleksibel dalam menetapkan harga siling minyak termasuk bersedia menurunkan harganya.

''Mengambil contoh cadangan tambahan rebat tunai misalnya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan menggunakan peruntukan baru itu bagi menampung subsidi minyak semasa sekali gus mengurangkan harganya.

''Penurunan harga minyak itu biarpun dalam jumlah yang kecil seperti 20 sen atau 30 sen memberikan kesan yang sangat besar dan menyeluruh terutamanya kepada sektor perindustrian sekali gus mengelak kenaikan harga barang makanan dan perkhidmatan yang melampau," katanya.

Haim turut menyentuh mengenai larangan penjualan minyak kepada warga asing terutamanya di negeri bersempadan yang ditarik semula ekoran kenaikan harga yang disifatkan satu kerugian kepada negara.

Larangan itu katanya menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM700 juta apabila terpaksa menanggung subsidi kepada rakyat asing sedangkan jumlah itu boleh digunakan semula untuk menambah peruntukan subsidi minyak negara.

Tidak menolak tindakan melarang penjualan minyak itu mampu menjejaskan pengusaha stesen minyak, namun kerajaan boleh menanganinya menerusi pemberian insentif lain termasuk peluang meneroka cabang perniagaan baru.

Menyentuh mengenai mekanisme penyelesaian jangka masa panjang dalam mendepani krisis kenaikan harga minyak pula, Haim berkata, kerajaan wajar menumpukan kepada pendekatan berorientasikan teknologi.

Apatah lagi ketika harga minyak mentah dunia dilihat berada pada paras 'selesa' ke- tika ini, usaha mencari tenaga alternatif perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah.

Antara langkah yang difikirkan wajar ialah membentuk kerjasama yang lebih erat dengan negara serantau serta dengan negara-negara maju yang sudah pun merintis penggunaan teknologi tenaga alternatif.

Tuesday, December 2, 2008

Perlu Fokus Perbelanjaan Anjal Domestik

Utusan Malaysia: 14.07.2008

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kerajaan perlu memberi fokus kepada keanjalan perbelanjaan domestik dalam usaha memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan rakyat dapat menyerap kenaikan harga minyak dunia yang dijangka terus melambung sehingga mencecah AS$150 (RM486) setong tidak lama lagi.

Para penganalisis ekonomi berkata, walaupun terbeban dengan kenaikan harga petrol dan diesel, namun mereka percaya rakyat mampu menyerap kenaikan bahan api itu secara perlahan-lahan.

Keupayaan rakyat berhadapan dengan kenaikan bahan api itu diperkukuhkan lagi apabila kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan lagi harga bahan api sehingga akhir tahun ini meskipun harga minyak global tidak menunjukkan tanda-tanda akan susut.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, keutamaan kepada perbelanjaan domestik perlu dilakukan untuk memastikan rakyat Malaysia tidak takut berbelanja terutama dalam keadaan nilai ringgit yang semakin mengecil kerana barangan semakin mahal.

Menurut beliau, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan pemantauan terhadap kawalan kenaikan barangan makanan dibuat dengan serius dan berkala supaya dapat menangani kenaikan harga melampau sehingga menjejaskan kos sara hidup.

Selain itu, kerajaan juga harus segera memperbaiki mutu perkhidmatan awam agar ia dapat dijadikan kenderaan alternatif terbaik dalam menangani kesan kenaikan minyak, katanya.

''Kalau dua masalah utama ini boleh diatasi segera oleh kerajaan, saya yakin ia akan dapat melegakan rakyat yang masih dalam proses menyelaraskan pendapatan dan perbelanjaan mereka.

''Apa yang lebih penting ialah kerajaan perlu memastikan rakyat tidak takut berbelanja untuk mengelakkan ekonomi menjadi statik kerana ia akan meletakkan ekonomi negara dalam keadaan yang lebih 'sukar','' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berkata, kerajaan sepatutnya bertindak lebih pantas dalam menghadapi kemungkinan berlaku lonjakan harga minyak seperti yang diramalkan.

Katanya, kerajaan perlu lebih cepat dan cekap dalam menyediakan pelan-pelan dalam menghadapi krisis kenaikan minyak dunia supaya ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Tambah beliau, dalam keadaan sekarang, kerajaan sudah sepatutnya membuat persediaan dalam memastikan keperluan bekalan makanan utama mencukupi supaya rakyat masih mampu membeli pada harga yang berpatutan.

''Bekalan makanan perlu diutamakan untuk menggelakkan kejadian krisis kekurangan bekalan makanan berlaku seperti yang berlaku pada minyak masak dan beras sebelum ini.

''Sekiranya masalah ini tidak cuba diatasi segera, saya khuatir ia akan memberi ancaman kepada kerajaan,'' ujarnya.

Penganalisis teknikal MIMB Investment Bank, Pong Teng Siew pula meminta kerajaan segera mengumumkan langkah awal yang akan dilakukan dalam menghadapi krisis kenaikan harga barangan.

Beliau meramalkan Malaysia akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar sekiranya harga minyak global mencecah paras antara AS$150 (RM486) dan AS$200 (RM648) setong, khususnya golongan berpendapatan rendah.

''Persediaan kerajaan ini perlu supaya rakyat dapat bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan kerana kita tidak pasti sama ada kerajaan mampu terus menanggung kenaikan harga minyak itu bersendirian,'' ujarnya.

Rakyat Lega Bank Setuju Struktur Semula Pinjaman

Utusan Malaysia: 11.07.2008

KUALA LUMPUR 10 Julai – Lanjutan tempoh bayar balik pinjaman akan menyebabkan jumlah yang perlu dilangsai lebih tinggi tetapi para peminjam akan bernafas lebih lega kerana memiliki lebihan wang dalam tangan. Langkah itu dilihat sebagai memudahkan peminjam merancang semula kewangan dengan lebih baik.

Menurut Pengerusi Persatuan-Persatuan Bank Malaysia, Datuk Seri Abdul Hamidy Abdul Hafiz berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang. Secara peribadi, beliau menyifatkan penstrukturan semula pembiayaan itu menguntungkan terutama peminjam yang berpendapatan rendah dan sederhana.

‘‘Saya tidak melihat penstrukturan ini membebankan peminjam kerana dari aspek kontrak pinjaman tidak berubah termasuk pengenaan kadar faedah, yang berubah hanya tempoh pembiayaan.

‘‘Konsepnya mudah sahaja, kalau sebelum ini peminjam membayar sebanyak RM700 sebulan tetapi dengan penstrukturan ini, peminjam lebih lega kerana jumlah yang dibayar berkurang kepada RM500 cuma tanggungan tempoh pembayaran terpaksa dilanjutkan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Difahamkan cadangan itu masih belum diperincikan sepenuhnya.

Abdul Hamidy berkata demikian ketika mengulas mengenai persetujuan bank untuk melaksanakan penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman perumahan bagi meringankan beban peminjam.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah pula tidak menafikan langkah itu akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar lebih daripada persetujuan tempoh awal.

Namun, jelas beliau, dalam keadaan ekonomi yang lembap dengan kadar inflasi yang tinggi, penstrukturan pembayaran balik pinjaman ini merupakan langkah bijak dan amat bersesuaian dengan keadaan semasa.

Cadangan Tidak Masuk Akal

Utusan Malaysia: 25.06.2008

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pakar- pakar ekonomi tempatan menyifatkan cadangan ahli Parlimen pembangkang supaya tender cari gali minyak di negara ini dibuka kepada syarikat asing untuk mendapatkan royalti lebih tinggi sebagai satu pandangan yang tidak masuk akal.

Malah, mereka berpendapat, ia hanya akan memberi peluang dan ruang kepada syarikat asing mengaut kekayaan khazanah negara yang mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian dalam jangka panjang.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, tiada sebab mengapa negara perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat asing meneroka minyak negara sedangkan Petronas mampu melakukannya.

Malah, tambah beliau, Petronas telah membuktikan keupayaan dan mencatatkan kejayaan tersendiri dalam industri itu sehingga mendapat pengiktirafan sebagai antara syarikat minyak yang menguntungkan di dunia.

Beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, tindakan membenarkan lebih banyak syarikat asing meneroka minyak negara tidak ubah seperti menyerahkan kekayaan sendiri kepada orang lain.

"Sungguhpun cadangan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan royalti yang lebih tetapi siapakah yang boleh memberi jaminan syarikat asing mampu menjalankan perniagaan dengan telus apatah lagi sekiranya ia membabitkan soal minyak.

"Lagipun, saya tidak nampak mengapa kita perlu mengalirkan kekayaan Malaysia yang tidak sebanyak mana kepada syarikat asing. Jadi saya berpendapat cadangan tersebut tidak bijak untuk dilakukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Idea membuka tender kepada syarikat asing itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam daripada Pas, Khalid Abdul Samad ketika membahaskan usul penstrukturan semula subsidi minyak dan isu kenaikan harga barang di Dewan Rakyat, semalam.

Khalid dalam ucapan perbahasannya berkata, kerajaan sepatutnya membuka tender cari gali minyak kepada syarikat asing selain Petronas bagi mewujudkan daya saing sebenar dalam industri petroleum tempatan dan menjanjikan pulangan royalti lebih tinggi.

Pakar kewangan Islam, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani pula berkata, cadangan yang dikemukakan itu tidak relevan memandangkan Petronas telah menjalinkan kerjasama dalam kerja-kerja cari gali minyak dengan syarikat asing seperti Shell sejak sekian lama.

Beliau berkata, kerjasama itu agak terbatas dengan peraturan sedia ada kerana Malaysia tidak pernah membuka peluang cari gali secara sewenang-wenangnya kepada syarikat asing.

"Sumber minyak Malaysia semakin terhad dan saya tidak nampak cadangan yang dikemukakan itu logik untuk dilaksanakan."Lagipun, saya tidak nampak mengapa kita perlu membenarkan sumber yang semakin mahal itu dieksploitasi oleh syarikat asing," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pembayaran royalti yang tinggi bukan satu jalan penyelesaian dalam menghadapi pengurangan subsidi minyak akibat kenaikan bahan api itu di peringkat global.

Beliau berkata, dalam keadaan lonjakan harga minyak yang berterusan, tiada satu negara pun di dunia sanggup menampung subsidi seiring dengan kenaikan minyak global. "Saya tidak nampak sejauh mana Malaysia mampu bertahan menyerap kenaikan minyak, meskipun menerima royalti tinggi daripada syarikat minyak (sekiranya cadangan berkenaan dilaksanakan).

"Ini kerana sekiranya kita terus-menerus meningkatkan subsidi ke atas bahan bakar itu, negara akan mengalami krisis ekonomi dan untuk jangka panjang seluruh rakyat akan mengalami kerugian," katanya.

Perbaiki Pengangkutan Awam

Uutsan Malaysia: 15.06.2008

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pakar-pakar ekonomi menggesa kerajaan segera memperbaiki sistem pengangkutan bagi mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak pada awal bulan ini.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah mencadangkan supaya lorong-lorong bas dan teksi perlu diperbanyakkan di semua rangkaian jalan raya di ibu kota. Menurut beliau, langkah itu perlu bagi memastikan jadual sistem pengangkutan awam menjadi lebih tepat dan tersusun.

''Saya perhatikan masih banyak bas awam yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan hal ini menyebabkan para penumpang akan lewat tiba ke destinasi masing-masing,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Haim Hilman menambah, subsidi untuk pengangkutan awam juga perlu diperbanyakkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi memperbaiki sistem pengangkutan awam sedia ada.

Katanya, peruntukan itu boleh digunakan untuk memperbanyakkan pengangkutan awam yang lain seperti monorel dan teksi selain memperluaskan sistem rangkaian transit aliran ringan (LRT).

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh berkata, laluan monorel, LRT dan bas perlu mempunyai integrasi antara satu sama lain.

Melalui sistem yang berintegrasi, orang ramai berpeluang menikmati satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan moden seperti di Amerika Syarikat dan Jerman.

''Kita mahu setiap penumpang dapat turun bas dan pada masa yang sama dapat menggunakan perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama.

''Pengangkutan awam negara ini perlu diselaraskan oleh satu badan khas yang menjaga keseluruhan sistem perkhidmatan di negara ini,'' katanya.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.

Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Urus Beban Kos Minyak

Utusan Malaysia: 05.06.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)


SELEPAS sekian lama menikmati bahan bakar, makanan dan barangan komoditi pada harga yang relatifnya lebih rendah berbanding negara lain di dunia, rakyat kini perlu menerima hakikat bahawa keistimewaan daripada subsidi itu meskipun masih ada, namun tidak sama dengan apa yang dinikmati sebelum ini.

Paling ketara, kesan itu akan terasa secara rasminya bermula hari ini, seiring dengan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel yang agak tinggi iaitu masing-masing 78 sen dan RM1.

Apa yang diharapkan dalam pelaksanaan mekanisme subsidi baru itu, kerajaan benar-benar telah mengenal pasti kumpulan sasaran yang selayaknya menikmati menerusi pengelasan penduduk sama ada berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi.

Daripada pengelasan itu pula, perlu juga diambil kira ialah jumlah tanggungan dan pendapatan isi rumah serta kos sara hidup yang boleh disetarakan dengan kawasan tempat tinggal sama ada di bandar, pinggir bandar atau luar bandar.

Aspek lain yang wajar diperhatikan adalah terdapat rakyat berpendapatan rendah atau miskin yang turut tinggal di bandar, dan bukan sedikit pula penduduk di luar bandar atau pinggir bandar yang kaya-raya.

Daripada perspektif pengguna, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh rakyat dalam menangkis kenaikan harga minyak dan bahan makanan dunia meskipun sering diingatkan untuk lebih berjimat cermat.

Lebih kepada mangsa percaturan ekonomi dunia, rakyat sebenarnya sangat bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan dalam memastikan nilai ringgit mereka masih tinggi di sebalik kenaikan harga tersebut.

Justeru, mekanisme subsidi baru yang diumumkan kerajaan memerlukan satu bentuk sokongan dan timbal balas positif yang segera buat rakyat bagi mengelak timbulnya situasi yang tegang apatah lagi pelaksanaannya memakan masa yang panjang.

Bagi Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, di sebalik debar dan gusar menerima harga baru bahan bakar itu, perasaan rakyat perlu diredakan dengan satu jaminan yang positif oleh kerajaan.

Jaminan itu jelas beliau, adalah kesediaan kerajaan untuk menurunkan kembali harga minyak kepada paras yang dinikmati oleh rakyat sebelum ini sekiranya harga minyak mentah dunia turun ke paras sewajarnya.

Apatah lagi, jaminan itu sangat diperlukan oleh pengguna tertentu yang sedia berkompromi untuk membeli petrol mengikut harga pasaran dalam penstrukturan subsidi baru yang diperkenalkan kerajaan.

"Rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan bersedia untuk mengkaji bagi memberikan semula subsidi seperti sebelum ini sekiranya harga minyak mentah mencatatkan paras yang difikirkan wajar dan sesuai. Fleksibiliti sebegini selain membina tanggapan positif rakyat terhadap kerajaan, turut memastikan daya tarikan pelabur asing ke negara ini kekal tinggi," katanya.

Haim Hilman menambah, pengapungan harga minyak seperti dilaksanakan kerajaan dalam membendung kenaikan harga petrol sewajarnya ditampung dengan kecekapan sistem pengangkutan awam.

AlternatifRakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah katanya, perlu disediakan alternatif kepada kenaikan harga petrol dengan pilihan kepada pengangkutan awam yang berkesan dan mesra pengguna.

Malangnya jelas beliau, isu itu tidak diberi perhatian dan dibincangkan dengan serius oleh kerajaan sebaliknya rakyat dikejutkan dengan hasrat syarikat pengusaha bas yang bercadang untuk menaikkan harga tiket sehingga 100 peratus, baru-baru ini.

"Apa yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah merangka satu mekanisme dalam menyalurkan subsidi dengan jumlah yang sewajarnya bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam sehingga mampu menarik rakyat menjadikannya sebagai salah satu pilihan," ujar beliau.

Dalam mengurus peruntukan subsidi yang kini berjumlah RM56 bilion pula, kerajaan tambah Haim Hilman, perlu menilai semula projek-projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (RMK-8 dan RMK-9) dengan memberi tumpuan kepada projek utama yang berkaitan dengan rakyat.

Di samping memastikan pelaksanaan setiap projek itu berjalan lancar dan menepati kumpulan sasaran, ia juga perlu bebas daripada unsur rasuah dan mengelak wujudnya ketirisan oleh mana-mana pihak.

Pentingnya mengawal ketirisan itu ujar beliau, bertujuan memastikan perbelanjaan projek itu diurus tanpa pembaziran dan lebih utama memberikan hak yang sewajarnya kepada wang rakyat yang digunakan.

"Kerajaan dalam memastikan langkah penjimatan dalam pelaksanaan projek RMK-8 dan RMK-9 ini boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa profesional yang akan memantau setiap pelaksanaan projek pembangunannya," jelasnya.

Haim Hilman turut mencadangkan antara satu usaha mega yang boleh diambil kerajaan adalah melancarkan kempen yang berkonsepkan sektor swasta berganding bahu dengan kerajaan dalam memastikan harga barang kekal murah.

Mengambil tema 'Industri Bersama Kerajaan' sebagai contoh, kempen itu jelas beliau, boleh dilaksanakan dengan kerajaan memberikan insentif tertentu kepada syarikat dan industri yang sanggup mengekalkan harga barangan atau menjual dengan lebih murah.

Antara insentif yang difikirkan sesuai ialah pengecualian cukai yang lebih besar, pinjaman modal perniagaan dengan bentuk bayaran semula yang menarik serta keutamaan dalam promosi kerajaan di peringkat antarabangsa.

Kerajaan pada peringkat ini juga tambah beliau, wajar memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan perkhidmatan utiliti lain terutamanya takrif elektrik dan air.

Kenaikan harga bahan bakar tidak seharusnya dijadikan alasan oleh syarikat penyedia utiliti bertaraf syarikat milik kerajaan (GLC) yang sudah sedia mengaut keuntungan berbilion ringgit, dengan menjadikan pengguna sebagai mangsa dalam mengekalkan keuntungan mereka.

"Syarikat-syarikat ini juga perlu diajak dalam agenda atau kempen 'industri bersama kerajaan' dalam membendung kenaikan harga barang di samping memberi penekanan kepada mereka mengenai aspek tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.

Ketika ditanya apakah kemungkinan harga minyak mentah di pasaran dunia akan turun bagi membolehkan kerajaan mengembalikan semula subsidi petrol seperti asal, Haim Hilman menjelaskan, kenaikan mendadak harga bahan bakar itu sebenarnya banyak dicetuskan oleh spekulasi.

Walaupun hakikat bahawa minyak mentah ketika ini semakin berkurangan tidak boleh dinafikan, namun penyusutan bahan bakar itu boleh ditampung sekiranya pengagihannya di peringkat global diuruskan secara sistematik.

Atas keperluan itu katanya, selain melaksanakan strategi subsidi bagi keperluan dalam negara, Malaysia juga boleh memainkan peranan yang bersifat global dengan membawa usul berkenaan mekanisme pengurusan minyak mentah yang sistematik ke peringkat antarabangsa. Antara yang boleh dicadangkan adalah mengkaji perbezaan keperluan minyak mentah setiap negara dengan mengenalpasti jumlah yang dihasilkan oleh negara pengeluar serta punca penyusutannya.

"Kerjasama serantau dan global ini amat penting kerana toleransi dan timbang rasa yang wujud di kalangan negara di seluruh dunia dapat memastikan negara yang miskin tidak akan terus miskin dan rakyat yang kebuluran juga tidak akan terus kebuluran," ujarnya.

Dalam pendekatan bersifat global mengekang kenaikan harga bahan makanan ekoran bekalan yang terhad pula, Haim Hilman berpendapat, kerajaan perlu memperluaskan jaringan kerjasama dengan negara-negara pengeluar dan tidak hanya memberi tumpuan kepada negara tertentu sahaja.

Mengambil contoh bagi bekalan beras misalnya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada Thailand semata-mata sebaliknya perlu mengenal pasti negara pengeluar di belahan dunia lain.

"Begitu juga dengan bekalan gula, tepung dan minyak serta barangan komoditi lain yang memerlukan rantaian kerjasama perdagangan yang luas dalam memastikan bekalan stok penimbal negara sentiasa mencukupi seterusnya mengekalkan harganya di pasaran," jelasnya.

Inflasi Naik Mendadak?

Utusan Malaysia: 05.06.2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Peningkatan harga petrol dan diesel sebanyak 40 peratus yang berkuat kuasa esok dibimbangi akan mengakibatkan peningkatan inflasi secara mendadak.

Para penganalisis ekonomi tempatan berkata, kebimbangan tersebut berdasarkan kenaikan harga petrol dan diesel itu amat mengejutkan kerana 'terlalu tinggi'.

Menurut mereka, walaupun kenaikan harga bahan api itu memang sudah diramalkan namun tidak menyangka kerajaan akan menaikkan harga petrol sehingga 78 sen kepada RM2.70 seliter dan diesel sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter berbanding RM1.58 sekarang.

Penganalisis teknikal MIMB Investment Bank, Pong Teng Siew berkata, dalam keadaan sekarang kenaikan itu wajar dianggap tinggi dan dijangka memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi pada jangka pendek dan sederhana.

Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel sepatutnya mengambil kira seluruh aspek dan bukan hanya kepada penggunaan minyak dalam kenderaan sahaja.

Harga minyak yang tinggi sudah pasti akan memberi impak bukan sahaja kepada perbelanjaan pengguna tetapi turut menjejaskan ekonomi.

''Kenaikan harga petrol dan diesel akan menjejaskan ekonomi kerana bakal meningkatkan harga barang, makanan dan pengangkutan, sekali gus menjejaskan kos hidup rakyat Malaysia.

''Dengan kenaikan bahan bakar ini, saya menjangkakan Indeks Harga Pengguna pada bulan Jun akan meningkat 0.5 hingga 0.6 peratus kepada tiga hingga empat peratus berbanding 2.6 peratus sekarang.

''Walaupun kita perlu bersikap realistik dalam menghadapi kenaikan harga minyak tetapi kenaikan sepatutnya dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya rakyat Malaysia dapat menerima (kenaikan) secara perlahan-lahan.

''Atau dengan kata lain, kerajaan perlu menaikkan harga minyak mengikut kenaikan harga pasaran global dan bukan seperti yang diamalkan sekarang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah juga menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 40 peratus itu adalah besar dan bakal menjejaskan sosioekonomi rakyat.

Paling terkena tempias dengan kenaikan harga minyak ialah golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.

''Golongan inilah yang akan paling terasa kesan kenaikan minyak kerana kenaikan itu mengakibatkan peningkatan harga barang.''Meskipun kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak tetapi insentif itu tidak akan dinikmati oleh golongan yang tidak memiliki kenderaan.

''Sebab itu, kenaikan harga minyak tidak boleh hanya berpandukan kepada penggunaan minyak dalam kenderaan sahaja,'' ujar beliau. Tokoh ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berpendapat kenaikan harga bahan api itu adalah tepat dan kena pada masanya kerana ia boleh mengurangkan beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

''Ini adalah hakikat yang perlu diterima oleh rakyat Malaysia kerana pengurangan subsidi minyak akan melindungi golongan miskin dan mengurangkan 'subsidi secara haram' yang selama ini dinikmati oleh golongan kaya,'' katanya. Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan akan menggunakan penjimatan subsidi untuk penggunaan asas komoditi bagi golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, harga minyak dunia hari ini jatuh kepada AS$123.72, susut 59 sen disebabkan oleh kejatuhan mendadak mata wang dolar. Harga komoditi itu mencecah paras tertinggi dalam sejarah kepada AS$135.09 ketika diniagakan di pasaran hadapan New York pada 22 Mei lalu.

Syarikat Kecil Terancam

Utusan Malaysia: 02.06.2008
(Tajuk Utama Muka Hadapan)

Oleh Amran Mulup

KUALA LUMPUR 1 Jun – Pertumbuhan ekonomi negara boleh tergugat jika kerajaan sekadar memberikan subsidi minyak kepada pengguna dan mengabaikan syarikat-syarikat kecil yang bukan bertaraf multinasional.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah khuatir jika subsidi minyak tidak diberikan kepada syarikat-syarikat kecil termasuk yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS), ada kemungkinan banyak syarikat terbabit terpaksa gulung tikar.

Menurut beliau, adalah sukar bagi syarikat-syarikat itu meneruskan operasi atau bersaing di pasaran terbuka jika kerajaan tidak memberikan subsidi minyak.‘‘Tanpa subsidi kerajaan, secara tidak langsung kos operasi dan pengeluaran akan meningkat hingga mengakibatkan barang-barang yang dijual juga mengalami kenaikan harga.

‘‘Syarikat terbabit tidak akan mampu untuk bersaing dengan syarikat multinasional di pasaran terbuka yang masih menawarkan harga yang rendah dan ini memaksa mereka menutup operasi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Haim Hilman mengulas mengenai langkah kerajaan memperkenalkan satu mekanisme baru Ogos ini bagi menangani beban kewangan yang semakin meningkat kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia. Di bawah mekanisme itu, subsidi minyak hanya akan diberikan kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan bakar itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah ke peringkat jualan daripada di peringkat pengeluaran sekarang. Mengulas lanjut, Haim Hilman berkata, ada kemungkinan besar banyak syarikat IKS yang rata-ratanya milik bumiputera akan menutup operasi mereka.

‘‘Kita sedia maklum kebanyakan IKS adalah milik bumiputera. Tanpa subsidi minyak daripada kerajaan sudah tentu mereka tidak mampu bersaing dengan syarikat multinasional,’’ katanya. Jika ini terjadi, jelasnya, pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas seterusnya mengundang gejala sosial seperti jenayah, mencuri dan rompakan.

‘‘Apabila syarikat tutup, ramai orang akan menganggur dan kesempitan wang boleh menjurus kepada berlakunya jenayah,’’ katanya. Sehubungan itu, Haim Hilman mencadangkan agar kerajaan mengambil kira syarikat bukan multinasional untuk turut diberikan subsidi.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan satu mekanisme baru mengkategorikan syarikat-syarikat tertentu yang wajar mendapat subsidi minyak. Katanya, prinsip kesaksamaan dan keadilan dalam pembahagian subsidi juga wajar diberikan kepada industri-industri kecil tertentu supaya mereka yang benar-benar layak mendapat subsidi. Bagi syarikat multinasional pula katanya, adalah wajar bagi yang berkemampuan membayar lebih mengikut harga pasaran.

Kerajaan Tidak Terdesak Naikkan Harga Minyak

Utusan Malaysia: 20.05.2008

Oleh Ainul ASniera ahsan

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan dijangka tidak terdesak untuk menaikkan harga minyak dalam waktu terdekat walaupun harga komoditi itu diramalkan terus meningkat berikutan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan mata wang negara itu.

Beberapa tokoh, pensyarah dan penganalisis ekonomi tempatan berkata, jangkaan dibuat berdasarkan kepercayaan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terus dibelenggu beban akibat kenaikan kos yang berpunca daripada kenaikan harga minyak. Selain itu, masyarakat Malaysia dilihat masih memiliki kecenderungan tinggi dengan mengharap agar subsidi yang ditanggung oleh kerajaan diteruskan.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah tidak menafikan kerajaan sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi, namun yakin negara akan terus menanggungnya dalam satu tempoh tertentu.

Beliau yang enggan mengulas mengenai tempoh yang dimaksudkan itu berkata, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana ia akan menimbulkan tekanan semula kepada kerajaan.

''Parti pembangkang telah berjaya menimbulkan isu kenaikan harga barang dan minyak semasa pilihan raya lalu walaupun isu yang dibangkitkan adalah kurang tepat.

''Jadi, sekarang bukan waktu terbaik untuk berbuat demikian, namun saya percaya kerajaan mempunyai penanda aras tertentu (harga minyak) untuk menaikkannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Jumlah subsidi minyak yang ditanggung oleh kerajaan sekarang ialah RM45 bilion berbanding RM35 bilion pada awal tahun ini.

Harga runcit seliter petrol RON97 pada November 2007 di Malaysia ialah RM1.92 berbanding di Indonesia (RM2.57), Thailand (RM3.19), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07) dan United Kingdom (RM7.03).

Penganalisis tempatan, Pong Teng Siew pula berkata, walaupun kerajaan kini dalam keadaan 'mampu bertahan' namun rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga bahan bakar itu.

Beliau berkata, dengan mengambil kira kenaikan harga minyak global yang kini berada di paras AS$126 setong (RM404 setong), kenaikan harga minyak yang perlu dihadapi rakyat Malaysia ialah 30 peratus atau kira-kira 60 sen. ''Ini adalah hakikat yang perlu difahami oleh rakyat kerana kerajaan tidak akan sampai bila-bila mampu terus menanggung peningkatan subsidi minyak,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia, Tan Sri Ramon Navaratnam pula bimbang langkah kerajaan yang terus bertahan dalam menaikkan harga minyak akan terus menjejaskan kehidupan golongan kurang mampu.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya bersikap realistik, pragmatik dan berhemat dalam menghadapi isu kenaikan harga minyak. ''Kenaikan harga minyak bukan kawalan Kerajaan Malaysia atau mana-mana negara tetapi ia membabitkan isu dunia.

''Saya khuatir sekiranya peruntukan besar terus diberikan kepada subsidi minyak, perkara-perkara lain yang seharus diberi keutamaan akan dipinggirkan,'' tegas beliau. Lagipun, katanya, golongan kurang mampu tidak menikmati subsidi minyak seperti mana golongan mampu.